Sepanjang 21 tahun hidup, saya
telah banyak melancong bersama keluarga baik di dalam atau di luar negara.
Pelbagai pengalaman dan ragam yang dapat saya perolehi sepanjang kami sekeluarga
melancong. Pengalaman melancong di dalam negara yang paling memberikan impak
kepada saya dan keluarga adalah pengalaman melancong ke Sandakan, Sabah pada penghujung
Januari 2014 selama 4 hari 3 malam.
Tujuan kami sekeluarga ke Sandakan,
Sabah adalah untuk melawat kakak saya yang menjalani Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN) berikutan kakak saya mendapat pelepasan cuti selama 3 hari. Saya
sebagai anak paling tua yang ada di rumah telah bertindak untuk mencari hotel
untuk kami sekeluarga diami. Saya telah memilih hotel yang berdekatan dengan
lapangan terbang dan kem PLKN kakak saya iaitu, The Pavilion Hotel, Sandakan.
Ibu saya telah membeli ticket kapal terbang 3 bulan sebelum penerbangan.
Perasaan gembira dan teruja memenuhi kami sekeluarga kerana kami tidak pernah
menginjakkan kaki ke Sabah. Saya telah menyenaraikan beberapa tempat menarik
yang ingin saya lawati.
Hari yang dinantikan telah tiba,
penerbangan kami adalah pada jam 10 30 pagi dan kami telah berada di lapangan terbang
LCCT ketika itu seawal 7 30 pagi. Kami bersarapan di LCCT dan mendaftar masuk
bagasi kami. Penerbangan ke Sandakan, Sabah adalah selama 2 jam dengan menaiki Air Asia. Peristiwa yang berlaku
sepanjang penerbangan ini telah sedikit sebanyak meninggalkan kesan kepada
kami. Hal ini dikatakan sedemikian berikutan terlalu banyak situasi air pocket telah berlaku dan penerbangan
ke Sabah itu adalah pengalaman yang paling dahsyat pernah kami lalui. Kapal
terbang yang dinaiki kami bagaikan mahu terhempas dan alat bantuan pernafasan
oksigen telah terkeluar berikutan gegaran yang amat kuat selama lebih kurang.
Pramugari dan Pramugara yang bertugas juga kelihatan cemas pada ketika itu.
Alhamdulillah keadaan kembali tenang apabila juruterbang berjaya mengawal keadaan
kembali. Kami selamat tiba di Lapangan Terbang Sandakan.
Setibanya kami di Sandakan, bapa saya
terus pergi mendapatkan perkhidmatan kereta sewa bagi memudahkan perjalanan
kami sepanjang kami berada di Sandakan, Sabah. Kami telah menyewa sebuah kereta Avanza untuk
memuatkan kami 5 ahli keluarga dan seorang rakan kakak saya yang mahu mengikuti
kami. Setelah selesai urusan untuk menyewa kereta, kami telah beredar ke hotel.
Berikutan kami kurang mendapat tidur pada hari tersebut, kami telah bersepakat
untuk berehat sahaja di bilik hotel untuk hari pertama kami di Sandakan. Makan
malam kami juga adalah di dalam hotel berkenaan.
Hari kedua kami di Sandakan adalah
hari di mana kami akan menyambut kakak dan rakannya di kem PLKN. Kami telah bergerak
seawal 9 30 pagi. Setelah menjemput kakak, bapa saya terus membawa kami ke
Sandakan Harbour Square. Penunjuk arah kami pada ketika itu adalah 100 peratus
berdasarkan Google map. Perjalanan
kami berjalan lancar tanpa ada sebarang kesesakan. Disebabkan waktu kami
melancong di Sabah adalah pada Tahun Baru Cina, maka terdapat banyak tarian
singa berlangsung dikedai-kedai sekeliling Sandakan Harbour Square. Pengalaman
ini adalah sesuatu yang baru buat kami kerana kami jarang keluar rumah ketika
Tahun Baru Cina, dan perkara ini secara tidak langsung telah memberikan
pengalaman baru buat kami. Disebabkan masa yang lama digunakan kami untuk
mencari parking kami hanya dapat
meluangkan masa di Harbour Square sehingga jam 3 petang sahaja. Setelah itu
kami singgah di restoran berhampiran hotel kami dan pulang ke hotel pada jam 6
petang.
Hari ketiga adalah hari yang paling saya
nantikan berikutan pada hari ini kami sekeluarga akan ke tempat yang telah saya
senaraikan. Kami telah bergerak dari hotel seawal 7 30 pagi untuk ke Pusat
Rehabitasi Orang Utan Sepilok. Mujur setelah kami sampai, belum ramai lagi
pengunjung yang berada di situ dan kami tidak perlu beratur panjang untuk membeli
tiket. Kami berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana orang utan
hidup di dalam habitatnya. Kami juga diberikan pendedahan dan penerangan oleh
petugas tentang orang utan. Kira-kira jam 2 30 petang kami keluar dari Pusat
Rehabitasi tersebut dan terus bergerak ke Taman Buaya. Di taman ini terdapat
lebih 3000 ekor buaya dan hampir kesemuanya adalah hasil tangkapan di sekitar
Sabah. Terdapat seekor buaya yang berjaya menarik perhatian kami kerana saiznya
yang terlalu besar dan apabila kami membaca penerangan tentang buaya tersebut,
buaya tersebut telah memakan 4 manusia sebelum berjaya ditangkap dan diletakkan
di dalam taman buaya berkenaan. Terdapat juga laluan seakan jambatan kayu dan
dibawahnya terdapat berpuluh ekor buaya.
Setelah jam
menunjukkan jam 5 petang kami segera keluar dari taman buaya tersebut dan terus
bergerak ke Puu Jih Shih temple.
Lokasinya yang terletak di atas bukit menjadikannya sebagai tarikan pelancong
untuk melihat pemandangan kesuluruhan di Bandar Sandakan. Kami juga berpeluang
untuk melihan matahari terbenam di tokong berkenaan. Pada hari tersebut kami
pulang ke hotel sedikit lewat iaitu pada jam 10 malam.
Pemandangan dari Puu Jih Shih |
Pada hari
keempat kami telah kembali ke Sandakan Harbour Square untuk membeli barang
kelengkapan dan stok makanan untuk kakak saya setelah kembali ke kem PLKN. Kami
telah menghantar kakak kami pada jam 12 tengahari.
Bagi kami yang amat susah untuk bercuti
bersama jumlah ahli keluarga yang lengkap berikutan adik-beradik saya yang
belajar di tempat yang berjauhan serta tarikh cuti kami tidak sama, peluang
seperti inilah yang kami gunakan. Iaitu apabila kami perlu menghantar salah
seorang dari kami untuk belajar di negeri lain. Kami manfaatkan peluang itu
untuk beriadah bersama keluarga. Kami sekeluarga juga lebih gemar untuk
bergerak sendiri kerana ianya lebih mudah dan lebih selesa untuk kami bergerak
ke sana sini. Walaubagaimanapun, kami berasa sedikit kesal berikutan kami
sekeluarga amat susah untuk menangkap gambar ketika kami bercuti. Tidak banyak
kenangan yang dapat kami tunjukkan kepada saudara-mara atau rakan-rakan
melainkan sebuah keychain yang kami beli ketika kami melancong. Oleh itu,
amatlah digalakkan untuk anda menangkap gambar sebanyak yang mungkin agar ianya
dapat diabadikan bersama.
Dalam banyak negeri di Malaysia, Sabah merupakan salah satu negeri yang saya belum pergi lagi. Seronok baca pengalaman cik.
ReplyDeleteWow bestnyaaa. Teringin nak pergi sabah sebab nak try seafood di sana and their seafood murahhh.
ReplyDelete