Nama Penulis:
Nurul Nabihah Binti Mohd Nizam Yeo (A170885)
Mersing
merupakan tempat kelahiran saya yang mana ia merupakan salah satu daerah di
bawah jajahan takluk Johor. Negeri Johor mempunyai 10 buah daerah dan Mersing
merupakan salah satu darinya. Mersing merupakan bandar yang terletak
berhampiran Laut China Selatan dan menjadi kawasan tumpuan jeti ke pulau-pulau
yang terletak di dalam daerah ini.
Pada
tahun 2016, saya dan keluarga telah bercuti ke Pulau Rawa yang terletak di
Mersing, Johor. Pulau Rawa adalah pulau karang yang kecil dan indah yang
dimiliki oleh keluarga kesultanan Johor. Ia juga merupakan sebuah pulau yang
sangat cantik dan privasi berbanding pulau-pulau yang lain. Saya sangat gembira
apabila rancangan untuk bercuti di Pulau Rawa ini akhirnya menjadi kenyataan.
Ini kerana, keluarga saya pernah beberapa kali membuat rancangan untuk bercuti
di pulau tersebut tetapi gagal dek kerana terdapat masalah yang tidak dapat
dielakkan. Walaupun ini hanyalah percutian selama 2 hari satu malam, tetapi
saya sangat bersyukur dan terlalu gembira sehingga perasaan tersebut tidak
dapat digambarkan dengan kata-kata. Ini kerana, saya dibesarkan dengan kawasan
yang berhampiran dengan pantai dan boleh dikatakan Mersing dikelilingi oleh
laut kerana mana-mana tempat yang saya pergi, pasti akan ada pantai. Jadi saya
memang suka dengan pantai kerana kecantikan alam semula jadi yang sangat indah
seperti airnya yang berwarna biru dan pemandangannya yang boleh membuat sesiapa
sahaja jatuh cinta.
Beberapa hari sebelum bertolak, saya
membuat persiapan dengan mengemas pakaian dan keperluan semasa di sana.
Keperluan tersebut adalah seperti barang mandian, barang kosmetik dan juga
ubat-ubatan. Sebelum ini, kakak saya sudah pun menempah sebuah resort iaitu
Alang’s Rawa kerana risau resort akan penuh walaupun kami pergi pada hari
bekerja dan khuatir harga bilik akan berbeza jika kami menempahnya pada saat
akhir. Pulau ini hanya memiliki dua buah resort iaitu Alang’s Rawa dan Rawa Island.
Tibalah hari kejadian yang mana kami bertolak pada pukul 12 tengahari.
Perjalanan ke Pulau Rawa mengambil masa selama 30 minit tetapi ia juga bergantung
kepada keadaan laut. Sesampainya kami disana, kami terus mendaftar masuk ke
bilik. Saya sangat teruja apabila masuk ke bilik kerana tema biru putih resort
tersebut sangat cantik dan sesuai dengan kawasan pantai. Walaupun resort
Alang’s Rawa tidak mempunyai penghawa dingin, tetapi saya tidak begitu peduli
kerana niat saya ke sana untuk menikmati keindahan pulau itu dan kami hanya
menggunakan bilik tersebut untuk membersihkan diri serta tempat untuk bermalam
sahaja.
Aktiviti pertama yang kami lakukan
adalah mandi laut. Walaupun pada masa itu cuaca agak panas, kami tetap
meneruskan niat untuk mandi laut kerana waktu yang ada tidak mencukupi jika
kami melengahkannya. Selain daripada terkenal dengan keindahannya, Pulau Rawa
juga terkenal dengan kehadiran water
slide yang berada di persisiran pantai. Water
slide ini hanyalah untuk kegunaan tetamu Resort Rawa Island sahaja tetapi jika tetamu Rawa Island tidak
menggunakannya, tetamu yang lain dibenarkan untuk menggunakannya. Ini kerana
pihak pengurusan Rawa Island Resort ingin mengutamakan tetamu mereka terlebih dahulu.
Saya dan keluarga berpeluang menggunakan water
slide kerana kami pergi pada hari bekerja jadi tidak ramai pelancong yang
berada di pulau tersebut.
Kemudian kami mandi untuk membersihkan
diri, solat serta makan di resort. Masing-masing kelihatan penat tetapi puas kerana
dapat bermain air di pulau ini. Petang itu kami hanya menikmati pemandangan
matahari terbenam. Suasananya yang cantik mampu membuatkan air mata saya gugur.
Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menikmati keindahan alam semula jadi
yang sangat indah.
Selepas maghrib, abang saya dan yang
lain membuat persiapan untuk membuat barbeku. Kami menjamu selera sambil
ditemani bunyi ombak yang seolah-olah sedang menghiburkan kami. Setelah siap
makan dan berkemas, saya mengajak beberapa orang yang lain untuk duduk di luar
resort dan menikmati masa yang tersisa. Kami menikmati setiap saat masa berada
di sana sambil bercerita tentang kehidupan masing-masing.
Pada keesokkan harinya, kami sempat
untuk mandi laut memandangkan kami mendaftar keluar pada pukul 3 petang. Alang’s
Rawa mempunyai dua waktu untuk mendaftar keluar iaitu pada pukul 11 pagi dan
juga 3 petang. Jadi bagi sesiapa yang berasa tidak puas untuk menikmati
keindahan pulau tersebut bolehlah memilih untuk mendaftar keluar pada pukul 3
petang. Akan tetapi, bot menghala ke Jeti Mersing hanya ada pada pukul 10 pagi
dan 2 petang. Jadi rancanglah waktu anda dengan sebaiknya.
Antara tips yang dapat saya
kongsikan adalah bagi pelancong luar dari Mersing, jika anda membawa kenderaan
sendiri, letaklah kereta anda di kawasan yang disediakan dan sebanyak Rm18
dikenakan untuk sehari. Selain itu, jika hendak pergi ke Pulau Rawa, pilihlah
antara bulan Mac hingga bulan Oktober kerana pihak pengurusan resort di sana sendiri
yang menyarankan percutian pada waktu ini. Bagi sesiapa yang mempunyai bajet
sedikit tetapi mahu pergi ke pulau ini, janganlah ambil pakej makanan
sebaliknya ambillah pakej bilik sahaja. Ini kerana makanan dan minuman di sana
agak mahal. Jadi sebaiknnya bawalah bekalan makanan dan minuman sendiri.
Seterusnya, bekalan air untuk bilik
mandi sedikit payau sebab ia merupakan air laut yang telah diproses. Jadi untuk
keselesaan sendiri, bawalah air mineral lebih untuk memberus gigi dan mencuci
muka. Bayaran tunai tidak diterima atas apa-apa pembelian atau perkhidmatan,
malah semua caj akan dibawa terus ke bil bilik anda dan semasa hendak mendaftar
keluar nanti barulah buat pembayaran untuk setiap caj yang anda gunakan. Bagi
yang membawa anak kecil, anda boleh membuat aktiviti bersama anak anda seperti
memberi ikan makan dan juga bermain air sambil dikelilingi ikan di bawah jeti.
Pengetahuan tambahan untuk anda adalah bot laju menghala ke Pulau Rawa ada dua
waktu iaitu pada jam 9 pagi dan 12 tengahari. Manakala bot laju menghala ke
Jeti Mersing hanya ada pada jam 10 pagi dan 2 petang, tetapi masa ini juga
tertakluk kepada keadaan air pasang pada ketika itu.
Kesimpulannya, terdapat banyak lagi
aktiviti yang boleh dilakukan seperti snorkeling,
mendaki, menyelam dan juga berkayak. Oleh kerana kesuntukan masa, jadi kami
tidak dapat melakukan aktiviti yang lain. Akhirnya, pesanan saya, rancanglah
percutian anda dengan sebaiknya supaya perjalanan percutian anda berjalan
dengan lancar dan memberikan seribu satu makna di hati walaupun percutian yang
singkat. Selain itu, pilihlah tempat yang mesra keluarga dan bersesuaian dengan
keadaan keluarga seperti jika ada anak kecil, pilihlah tempat yang selamat dan
sesuai dengan umur mereka.
Waaaa menariknye.. Tq untuk info ni awak
ReplyDeleteThe best info about mersing 👍
ReplyDeletewah..cerita yang menarik..thanks utk info nya.
ReplyDeleteTerima kasih untuk maklumat tentang pulau rawa ni. Selepas membaca artikel ni, terus fikiran saya ingin pergi melancong ke maldives malaysia ini. Terima kasih sekali lagi !
ReplyDelete