Take a tour of this blog to feel the absolute experiences in Malaysia and the world.
Travelling in the company of those we love is home in motion. -Leigh Hunt
The best education you will never get is travelling. Nothing teaches you more then exploring the world & accumulating experiences. -Mark Paterson
Travel is like an endless university. You never stop learning. -Harvey Lloyd
Of all the books in the world, the best stories are found between the pages of a passport. - A. Nonymous
HOME MALAYSIA ABROAD TIPS PRESENTATION MYLINK DIGITAL LIBRARY ABOUT US

Sunday, October 13, 2019

SARAWAK, BUMI KENYALANG

Nama Penulis: Winnie Anak Nihet (A171933)


Setiap pertengahan tahun iaitu dalam kitaran bulan Jun, ayah akan membawa kami sekeluarga bercuti di Kuching, Sarawak. Bandar Kuching merupakan Ibu Negeri dan bandar terbesar di Sarawak. Bandar Kuching terkenal dengan pelbagai keunikan iaitu dari segi budaya, bangunan, tempat dan makanan. Setiap keunikan yang ada di Bandar Kuching tidak membuat kami sekeluarga berasa jemu untuk ke sana setiap tahun. Saya akan menceritakan pengalaman ke sesuatu tempat yang berada di Kuching yang sentiasa saya ingati dan ingin pergi sekali lagi. Persiapan sebelum pergi bercuti ke
Kuching amatlah kami utamakan. Ibu sentiasa membekalkan makanan untuk dimakan ketika dalam perjalanan. Kami menggunakan kereta yang mengambil masa 6 jam dari Sibu ke Kuching. Kami bergerak pada pukul 11pagi dan tiba di Bandar Kuching kira-kira pada pukul 5petang.
            Setibanya kami di Bandar Kuching, kami singgah di restoran 69 untuk makan. Kami terus pergi ke tempat yang ramai pelancong kunjungi iaitu Kuching Waterfront untuk melihat keindahan sungai Sarawak. Sungai mempunyai keistimewaan tersendiri di Sarawak. Sungai Sarawak merupakan salah satu tarikan pelancongan dan sungai terpanjang di Malaysia. Sungai Sarawak merupakan salah satu pengangkutan utama di Sarawak kerana faktor muka buminya yang bergunung-ganang dan berbukit bukau menyukarkan proses pembinaan jalan raya. Saya menjelaskan serba sedikit mengenai Sarawak. Di sana kami dapat melihat pelbagai gerai yang dibuka yang menjual pelbagai jenis barang dan makanan di tepi jalan Kuching Waterfront. Keindahan pemandangan bot-bot kecil yang digunakan oleh pelancong dan penduduk untuk pergi menyeberangi sungai Sarawak. Pemandangan yang menarik yang kami sekeluarga tunggu-tunggu ialah air pancut berirama yang berlatarbelakangkan Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak. Air pancut berirama akan dipersembahkan 2 atau 3 kali setiap malam untuk mengindahi suasana tebing Kuching Waterfront yang dikelilingi penduduk dan pelancong yang ingin menyaksikan persembahan tersebut termasuk kami sekeluarga.



            Di samping itu, selepas sarapan kami sempat singgah di Tasik Biru yang terletak di pertengahan perjalanan ke Bandar Kuching. Lokasinya terletak di tepi jalan raya dan mudah diakses dari kawasan tempat letak kenderaan. Tasik biru merupakan tempat perlombongan emas yang sangat terkenal di Kuching, Sarawak. Tasik ini amat cantik dan tasiknya kelihatan sangat biru seperti air laut. Di sini ada nmenyediakan perkhidmatan paddling bot dan kayak sambil menikmati keindahan di tasik biru. Tasik biru sesuai menjadi tempat untuk berehat seketika dan kami sekeluarga mengambil gambar sebagai kenangan di tempat tersebut.


Pada waktu petang, Kami sekeluarga dapat merasa sendiri berjalan kaki pergi ke Jambatan Darul Hana yang terkenal di Kuching Waterfront. Melalui jambatan ini, kami dapat berjalan kaki menyeberangi yang menuju ke tempat seperti taman orkid Kuching dan Astana Negara. Suasana dari jambatan Darul Hana menarik perhatian kami sekeluarga terutamanya ketika matahari mula terbenam. Kami sempat singgah di kedai kek lapis yang terkenal di Kuching iaitu Dayang Salhah Kek Lapis Sarawak. Kami wajib singgah di kedai Dayang untuk membeli kek lapis Sarawak yang popular. Kek Lapis Dayang Salhah yang terletak di Kampung Gersik ini merupakan salah satu nama yang amat terkenal dan banyak kali menjadi tumpuan penduduk di sekitar tersebut dan juga pelancong di luar. Kami perlu menaiki sampan untuk sampai ke kedai kek lapis ini namun sangat berbaloi. Di sini terdapat pelbagai perisa dan warna yang boleh di pilih. Harganya lebih murah daripada kedai-kedai yang lain. Terdapat juga kek batik yang konsepnya hampir sama walaupun proses pembuatannya amat rumit. Pelbagai perisa yang kami beli seperti kek coklat vanilla, kek masam manis, kek mint dan lain-lain.



            Keesokan harinya pada jam 9 pagi, kami menuju ke Mom Laksa Patanak Cafe untuk menikmati juadah di sana. Di kawasan Kuching terkenal dengan makanan seperti laksa Sarawak, mee kolok dan mee jawa. Mee kolok sentiasa menjadi makanan kegemaran kami sekeluarga sehingga kini. Perjalanan diteruskan dengan memasuki sempadan Malaysia Indonesia iaitu Pasar Serikin. Pasar Serikin agak jauh dari Bandar utama Kuching iaitu 1 jam. Walaupun agak jauh dari Bandar Kuching, keinginan untuk melihat sendiri Pasar Serikin yang menjadi tumpuan warga Bandar Kuching bahkan pelancong asing datang ke Pasar Serikin untuk mencari barangan kraftangan pada harga yang lebih murah. Di pasar Serikin dipenuhi gerai-gerai orang Malaysia dan Indonesia yang menjual pelbagai jenis barang dan makanan. Di sini ramai yang membeli barang-barang seperti kraf tangan untuk di bawa balik terutamanya pelancong. Pelbagai jenis barang yang dijual iaitu tikar rotan, tikar kulit kayu, rotan yang dianyam, kain batik dan lain-lain. Kami sekeluarga suka pergi ke pasar Sarikin kerana kepelbagaian barangan dan makanan yang dijual dan harga murah serta boleh tawar menawar. Kami sekeluarga berasa seronok datang ke Pasar Serikin kerana dapat melihat suasana tulen kebudayaan orang-orang Sarawak dari pelbagai etnik yang datang ke Pasar Serikin untuk berniaga.



             Kami bergerak ke lokasi seterusnya iaitu Sarawak Culture Village yang mengambil masa 45minit dari Bandar Kuching, Sarawak. Pada masa ini, tiket masuk dewasa dikenakan bayaran sebanyak Rm50. Manakala, kanak-kanak dikenakan bayaran sebanyak Rm25. Kampung Budaya Sarawak terletak di kawasan kaki Gunung Santubong yang mempunyai pelbagai mitos yang tersendiri. Kami mula bergerak ke Taman Arca dengan pemandangan yang menarik dan terus menghala ke jambatan kayu. Keseluruhan kampung dibina mengelilingi tasik buatan manusia. Kami melihat terdapat beberapa ukiran batu yang pelik di beberapa tempat ketika kami berjalan melalui setiap rumah. Ukiran ini telah menjadikan kampung budaya sebagai tempat yang unik dari zaman moden sekarang. Selain dapat melihat pelbagai jenis rumah yang ada, kami juga dapat menyaksikan persembahan tarian, alat tradisional dan juga makanan tradisional setiap etnik di Sarawak. Contoh alat tradisional yang kami cuba ialah sumpit dan hanya dikenakan sebanyak Rm2.
Terdapat muzium di dalam kawasan Kampung Budaya Sarawak yang mempamerkan tradisi Sarawak yang kaya dengan pelbagai warisan budaya. Muzium ini memperkenalkan rumah-rumah budaya yang mempunyai pelbagai bangsa seperti rumah panjang, rumah bidayuh, rumah iban, rumah orang ulu, rumah penan, rumah melanau, rumah melayu dan rumah cina. Rumah panjang terkenal di Negeri Sarawak yang mempunyai deretan bilik bersebelahan yang disambungkan dengan sebuah ruang serambi yang panjang dan ianya digunakan untuk aktiviti-aktiviti seperti mengukir kayu dan menganyam bakul. Apa yang menarik dalam Kampung Budaya Sarawak ialah kegiatan yang dilakukan oleh penduduk suku kaum Sarawak iaitu memproses sagu dan menghasilkan kraftangan menggunakan kreativiti sendiri. Kraftangan ini menjadi salah satu punca pendapatan bagi suku kaum Sarawak.
Selain itu, pelbagai jenis paparan yang dapat kami lihat seperti pakaian, kraftangan, gaya hidup dan kediaman tradisional masyarakat etnik utama Sarawak. Kami sekeluarga juga berkesempatan untuk menyaksikan persembahan kebudayaan yang akan dipersembahkan sebanyak 2 kali sehari. Kraftangan seperti manik dan pua kumbu ialah sejenis tekstil tradisonal masyarakat iban yang popular di Sarawak.  Kampung budaya menjadi tempat yang ideal untuk orang dari luar Negara yang ingin mengetahui budaya yang terdapat di Malaysia khususnya di Sarawak. Selepas penat mengelilingi kawasan budaya Sarawak, kami sekeluarga singgah di restoran yang juga berada dalam kawasan tersebut. Pelbagai makanan yang dihidangkan di restoran tersebut terutamanya makanan tradisional masyarakat Sarawak.






Seterusnya, kami bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Uptown Kuching.  Uptown Kuching seperti pasar malam yang menjual pelbagai produk. Contohnya, makanan, pakaian, cenderahati dan sebagainya. Terdapat pelbagai jenis makanan yang terdapat di uptown menyebabkan kami datang untuk membeli makanan. Makanan yang terkenal di uptown ialah Laksa Sarawak, Mee kolok dan beberapa menu yang popular di Malaysia seperti char kueh teow, laksa penang dan sebagainya. Yang paling popular di Kuching Sarawak adalah mee kolok dan laksa Sarawak.


 Pada hari berikutnya, kami akan bergerak ke Damai Beach Resort Kuching. Lokasinya tidak mengambil masa yang lama kira-kira 40 minit jika menggunakan kereta. Resort di tepi pantai ini menawarkan 8 jenis penginapan untuk tetamu yang bermalam seperti baruk suite, seaview deluxe room, longhouse suite, chalet dan sehinggalah penginapan yang paling mewah iaitu presidential suite. Dengan ruangan bilik yang moden dan dekorasi dalamannya yang mempunyai sentuhan kebudayaan Sarawak menyebabkan Damai Beach ini menjadi tempat kegemaran kami sekeluarga. Damai Beach Resort mempunyai kolam mandi di tepi pantai sesuai untuk orang dewasa dan kanak-kanak bersuka ria dan riadah petang. Suasana yang tenang di Damai Beach Resort sesuai untuk acara korporat seperti seminar dan hari keluarga. Kami menginap selama 3hari 2 malam sebelum balik ke Sibu. 


Melancong adalah aktiviti yang merehatkan minda bersama keluarga ketika musim cuti. Sebelum melancong, keluarga perlu tahu perancangan percutian supaya tidak membazir, dan memastikan percutian berjalan dengan lancar. Perancangan kewangan adalah penting bagi mengelakkan daripada kekusutan selepas percutian. Selain itu, dokumen penting disediakan sebelum pergi bercuti. Pastikan dokumen penting seperti kad pengenalan, tiket kapal terbang dan passport yang merancang untuk bercuti jauh dibawa bersama. Nikmati percutian dengan seronok bersama keluarga tanpa ada rintangan dan masalah. Secara keseluruhan tempat yang kami kunjungi semasa percutian amatlah seronok. Tempat yang kami kunjungi sesuai untuk siapa-siapa yang ingin merancang percutian di Kuching, Sarawak. Lokasi percutian ini sememangnya memberi pengalaman dan kenangan yang sangat menarik. Jadikan percutian sebagai sebuah kenangan yang indah yang tidak dapat kita lupakan.


No comments:

Post a Comment