Take a tour of this blog to feel the absolute experiences in Malaysia and the world.
Travelling in the company of those we love is home in motion. -Leigh Hunt
The best education you will never get is travelling. Nothing teaches you more then exploring the world & accumulating experiences. -Mark Paterson
Travel is like an endless university. You never stop learning. -Harvey Lloyd
Of all the books in the world, the best stories are found between the pages of a passport. - A. Nonymous
HOME MALAYSIA ABROAD TIPS PRESENTATION MYLINK DIGITAL LIBRARY ABOUT US

Tuesday, October 15, 2019

CAMERON HIGHLANDS, PAHANG

Nama penulis: Nurfatihah Binti Baharom (A169589)


Percutian yang masih tidak saya lupakan sehinga kini adalah bercuti selama 3 hari 2 malam di Cameron Highlands. Percutian tersebut merupakan pengalaman pertama kali saya menjejak Tanah Tinggi Cameron yang menjadi tarikan utama pelancongan. Cameron Highlands sangat terkenal dengan pemandangan ladang tehnya yang menghijau dan berbukit-bukau. Sebulan sebelum percutian, abang saya telah membuat tempahan awal penginapan di sebuah hotel bajet yang terletak ditengah-tengah pekan Brinchang. Kereta juga turut dihantar ke pusat servis kereta lebih awal bagi memastikan perjalanan kami sekeluarga ke destinasi berjalan lancar. Popular dengan tempat peranginan bersuhu sejuk, pemilihan pakaian yang bersesuaian harus diambilkira bagi memastikan percutian kami dalam keadaan baik.

            Seawal pagi kami bertolak dari rumah menelusuri lebuhraya. Cuaca sangat cerah. Perjalanan kami berjalan lancar tanpa sebarang kesesakan lalulintas. Semasa dalam perjalanan, kami singgah di sebuah kawasan perhentian rehat dan rawat (RnR) bagi mengisi perut sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang dituju. Setelah beberapa jam, kami tiba dipersimpangan keluar Cameron Highlands. Jalan yang kami lalui itu keadaannya agak mencabar kerana struktur jalan yang bengkang-bengkok seperti ‘ular kena palu’. Saya yang duduk ditempat penumpang belakang sudah berasa pening dan meminta abang saya untuk membuka tingkap kereta kerana pada asalnya kereta yang kami naiki menggunakan penghawa dingin.
Suasana disekitar perjalanan itu sungguh nyaman dan menenang kerana dikelilingi hutan tebal di kiri kanan jalan. Perjalanan kami ditemani bunyi unggas kerana tiada siaran radio mahupun talian telefon disekitar jalan tersebut. Sedang saya leka menikmati pemandangan, saya melihat binaan ditepi jalan. Rupa-rupanya kawasan itu merupakan kawasan petempatan orang asli. Saya melihat sebuah pondok ditepi jalan, menjual kraftangan orang asli, madu, hasil hutan dan banyak lagi. Orang asli di sekitar Cameron Highlands juga turut menyumbang secara tidak langsung dalam sektor pelancongan di Cameron Highlands. Ianya suatu perkara yang menarik perhatian saya.
Sewaktu perjalanan juga saya dapat melihat sebuah tempat yang menjadi tumpuan para pelancong iaitu sebuah kawasan air terjun yang cantik, Lata Iskandar. Kami tidak singgah di kawasan tersebut kerana cuaca pada ketika tidak mengizinkan. Kami meneruskan perjalanan seperti biasa dan tepat waktu tengahari kami tiba di sebuah pekan di Cameron Highlands. Tempat pertama yang kami tuju adalah mencari lokasi penginapan yang telah ditempah awal. Hotel tersebut terletak di tengah pekan Brinchang berdekatan dengan lokasi pasar malam yang popular. Setelah puas meronda pekan Brichang, akhirnya kami jumpa kawasan penginapan kami iaitu sebuah hotel bajet, Parkland Hotel. Kami mengambil keputusan untuk berehat sebentar, menunaikan solat dan makan.


Setelah berehat, kami meneruskan aktiviti pertama kami melawat kawasan ladang teh yang menghijau dan menenangkan. Kami sempat bergambar dan berjalan-jalan di tengah kawasan ladang teh. Setelah puas menikmati pemandangan ladang teh, kami pergi ke Lavender Garden. Lavender Garden menjadi tempat tarikan pelancong kerana dekorasi tamannya yang cantik kerana terdapat pelbagai jenis bunga antaranya lavender, rosemary dan pelbagai tumbuhan renek yang boleh dilihat disana. Kami juga dapat merasai pengalaman memetik buah strawberi di kawasan tanaman strawberi. Strawberi yang kami petik, kami nikmati apabila tiba dibilik hotel.




Cameron Lavender Garden bukan sahaja menanam tumbuh-tumbuhan seperti bunga, malah ia juga turut mempunyai tarikan lain seperti tanaman sayuran secara hidroponik, rumah lebah, ukiran arca yang menarik, kiosk makanan, gerai cenderamata dan sebagainya. Setiap pengunjung yang melawat ke Cameron Lavender Garden akan dikenakan bayaran tapi ianya tidaklah terlalu mahal dan sangat berpatutan terurtamanya buat si penggemar fotografi ataupun kaki gambar kerana pemandangannya yang sangat cantik dan nyaman.









Seterusnya, kami berjalan-jalan ke Rose Valley iaitu sebuah tempat yang menanam pelbagai jenis pokok bunga mawar dan tumbuhan lain seperti herba dan berbagai jenis tanaman berbunga. Suasana di Rose Valley sungguh harum dan mendamaikan kerana kami dikelilingi tanaman ros yang sedang mekar berbunga. Untuk masuk ke Rose Valley juga turut dikenakan bayaran setiap seorang tetapi tidaklah terlalu mahal dan ianya sangat berbaloi. Setiap pelawat di Rose Valley adalah dilarang sama sekali memetik tumbuhan disana. Pelawat hanya dibenarkan bergambar sahaja. Kawasan Rose Valley agak besar dan terdapat tempat duduk untuk berehat di dalamnya.







 Pada malamnya, kami berjalan-jalan di pasar malam yang terletak di pekan Brinchang. Pasar malam Brinchang menjadi tarikan pelancong kerana terdapat pelbagai pilihan sama ada dari segi makanan, sayuran segar, cenderamata dan sebagainya boleh didapati disana. Kami sempat membeli beberapa cenderamata di pasar malam tersebut. Harga yang ditawarkan juga adalah berpatutan.
Pada hari terakhir kami di Cameron Highlands, kami sekeluarga mengambil peluang untuk kawasan membeli-belah seperti di Kea Farm dan lain-lain. Memandangkan cuaca yang agak panas pada masa itu, saya dapat merasai aiskrim strawberi yang dibeli oleh abang saya. Selain itu, saya sempat membeli sebuah bantal berbentuk strawberi, rantai kunci dan bunga lavender untuk dibawa pulang sebagai buah tangan. Abang dan kakak saya membeli teh berperisa strawberi, keledek, bunga ros dan sebagainya untuk dibawa pulang. Setelah puas membeli-belah kami mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Pengalaman ini sungguh bermakna kerana memberi ruang kepada kami sekeluarga mengeratkan silaturrahim antara kami disamping dapat menenangkan fikiran dari kesibukan kerja dan belajar. Jika diberi peluang pada masa akan datang, saya pasti akan ke Cameron Highlands lagi kerana masih banyak tempat yang belum saya lawati.





No comments:

Post a Comment