Take a tour of this blog to feel the absolute experiences in Malaysia and the world.
Travelling in the company of those we love is home in motion. -Leigh Hunt
The best education you will never get is travelling. Nothing teaches you more then exploring the world & accumulating experiences. -Mark Paterson
Travel is like an endless university. You never stop learning. -Harvey Lloyd
Of all the books in the world, the best stories are found between the pages of a passport. - A. Nonymous
HOME MALAYSIA ABROAD TIPS PRESENTATION MYLINK DIGITAL LIBRARY ABOUT US

Tuesday, October 15, 2019

SEGAMAT DAN KLUANG, JOHOR

Nama penulis: Nurlia Nasuha binti Mohd Ruzi (A169718)

        Sewaktu saya dibangku sekolah rendah, lebih kurang dalam umur 12 tahun saya pernah bersama-sama ahli keluarga saya pergi  melancong di dalam negara, iaitu di Segamat, Johor. Seingat saya pada waktu itu ialah di waktu musim cuti persekolahan dimana adik-adik saya dan ibu bapa saya meluangkan masa bersama-sama untuk ke situ. Tempoh keberadaan kami sekeluarga adalah selama 3
hari 2 malam sahaja. Walaupun selama 3 hari 2 malam banyak pengalaman dan memori indah yang dapat kami coretkan pada waktu itu. Selain daripada melancong, kami juga dapat menziarahi keluarga kepada kawan ibu saya kerana kami menumpang disana untuk menjimatkan perbelajaan kami.
            Persediaan kami sebelum bertolak ke Segamat mengambil masa sehari sahaja di rumah untuk persediaan yang perlu dibawa kesana. Sehari sebelum bertolak, saya melihat ibu dan ayah saya agak sibuk mengira perbelanjaan yang ingin digunakan semasa berada disana. Ibu saya merancang apa yang ingin dibeli dan ayah saya merancang perbelanjaan bahan api, tol dan juga merancang jadual waktu perjalanan dan mencari laluan yang sesuai untuk kami sampai ke destinasi dengan selamat. Selain itu, ayah juga melakukan pemeriksaan kereta yang ingin dipandunya nanti agar keselamatan kami terjamin dan dapat pergi dan pulang dengan selamat.
           Hari pertama, kami memulakan perjalanan di awal pagi, pada pukul 7 pagi. Sepanjang perjalanan kami merasa amat teruja dan gembira kerana dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga tersayang. Perjalanan kami mengambil masa selama kira-kira 2 jam lebih sahaja. sesampainya disana kami sekeluarga terus bergerak ke rumah kawan ibu saya. Kami diberikan bilik untuk beristirehat dan tidur malam disitu. Selepas kami berehat-rehat lebih kurang 1 jam, kami dihidangkan dengan makan tengah hari oleh tuan rumah rumah yang mesra dipanggil Mak Ita. Mak Ita menyediakan hidangan tengah hari yang amat menyelerakan dan kami pun makan bersama-sama keluarga Mak Ita juga. Seusai makan tengah hari, Mak Ita mengajak kami untuk ke kebun yang berada dibelakang rumahnya, kerana kebetulan pada waktu itu adalah musim buah. Kami mengutip banyak buah dibelakang rumahnya. Antaranya buah rambutan, durian, duku dan juga buah manggis.
           Seterusnya, kami membawa buah-buahan itu balik ke rumah Mak Ita. Mengutip buah-buahan di dudun kecil Mak Ita adalah satu kenangan yang manis yang dapat kami ciptakan pada hari pertama kami sampai dirumah Mak Ita dan saya juga dapat belajar menggunkan galah dengan cara yang betul buat pertama kalinya. Disebelah petang pula, kami keluar ke pekan untuk mencari persediaan makan malam untuk dimasak dan dimakan bersama-sama. Sesudah berbelanja di pekan, kami singgah di taman rekreasi untuk bersantai-santai sebentar. Di taman rekreasi tersebut terdapat tasik kecil yang penuh dengan ikan air tawar, ramai pengunjung yang memberi ikan tersebut makan termasuk kami sekeluarga. Pada ketaika itu, saya merasa amat teruja kerana dapat melihat ikan yang sangat banyak berebut-rebut untuk mendapatkan makanan.
             Senja sudah pun tiba, matahari pula mula menenggelamkan dirinya. Kami pulang ke rumah dan bersiap-siap membersihkan diri kami sementara menunggu waktu magrib. Selepas menunaikan solat magrib, kami bersiap-siap untuk makan malam pula. Saya dan ibu menolong Mak Ita membuat persiapan makan malam bersama-sama. Manakala ayah dan Pakcik Atan berborak-borak di luar rumah. Tidak lama selepas itu, kami pun makan bersama-sama. Pakcik Atan mengajak kami sekeluarga untuk menaiki keretapi segamat pada hari esok. Saya dan adik beradik saya berasa amat gembira dan tidak sabar kerana kami tidak pernah menaiki keretapi sebelum ini. Selesai makan dan berborak-borak kami semua masuk tidur dalam keadaan yang sangat letih tetapi teruja kerana esok kami akan menaiki keretapi.
          Hari kedua, kami bangun di awal pagi untuk bersiap-siap ke bandar Segamat. Kami keluar rumah seawal jam 8 pagi, pada pagi tersebut, kami bersarapan di luar sahaja dan selepas itu barulah kami bergerak ke stesen keretapi, lebih kurang 15 minit kami menunggu keretapi untuk sampai. Waktu pertama kali saya melihat keretapi itu, saya dan adik saya berasa amat teruja dengan bunyi dan gegaran yang dihasilkan keretapi tersebut. Apabila memasuki kedalam koc keretapi tersebut ibu dan ayah saya duduk dikerusi yang disedediakan tetapi saya dan adik-adik saya tidak dapat duduk dengan diam kerana terlalu teruja, kami berjalan-jalan di dalam keretapi itu tanpa rasa penat, kami dapat melihat pemandangan di sekitar kawasan Segamat dengan lebih luas lagi.
          Perjalanan kami menaiki keretapi adalah untuk menuju ke destinasi keluar dari kawasan  Segamat, iaitu Kluang. Kluang terkenal juga dengan kopinya iaitu Kluang Rail Coffee. Kopinya adalah hasil buatan sendiri dan rata-rata pengujung di situ adalah orang yang bukan berasal dari kluang mahupun Johor itu sendiri tetapi dari pelbagai negeri yang datang semata-mata untuk menghirup aroma kopinya yang enak dan lazat itu. Selepas itu, kami bertolak pula ke tempat menarik yang seterusnya iaitu di Laman Kreatif Kluang, di tempat ini terdapat banyak lukisan mural dan graffiti yang amat sinonim sekali dalam sektor pelancongan. Kebanyakkan unsur mural dan graffitinya banyak berkisarkan sejarah dan aktiviti di kawasan Kluang itu sendiri.

Restoran kopi yang terkenal di Kluang
           Seterusnya, tidak sah jika pergi makan angin tanpa membeli-belah maka kami tidak lepaskan peluang untuk masuk kedalam Kluang Mall. Keluasan Kluang Mall agak besar seperti “shopping mall” yang lain. Di dalam Kluang Mall terdapat banyak kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan keperluan dan beraneka makanan. Selepas habis meneroka satu Kluang Mall lebih kurang pukul 4 ke 5 petang, kami merancang untuk pulang ke Segamat semula dengan menaiki keretapi sepertimana kami bertolak pada pagi tadi. Dalam keretapi, kami berasa amat penat tetapi puas hati kerana dapat juga berjalan-jalan dengan menaiki keretapi. Kali ini, saya hanya duduk dengan cermat didalam keretapi tersebut kerana penat berjalan seharian sambil memandang keluar tingkap menikmati suasana senja di dalam keretapi.

Grafitti di Lorong Seni, Kluang
        Kami tiba di Segamat dalam keadaan bulan sudah mula terang, kami singgah di sebuah kedai makan berhampiran untuk makan malam sebelum pulang kerumah. Habis sahaja makan, kami terus pulang ke rumah Mak Ita. Seperti biasa, kami membersihkan diri dan bersiap-siap untuk tidur. Tetapi pada malam itu, semua orang kelihatan masih segar lagi, terutamanya ibu dan ayah saya termasuklah tuan rumah itu sendiri. Mereka mengambil peluang untuk keluar ke Uptown Segamat untuk menghabiskan sisa-sisa percutian dimalam akhir kami di Segamat. Kami pergi ke uptown itu dengan menaiki kereta. Tetapi saya dan adik-beradik saya tidak mengikuti mereka kerana berasa sangat letih seharian berjalan. Kami ditemani dengan anak-anak Mak Ita yang lain di rumah. Sebelum terlena dibuai mimpi, saya berasa gembira kerana dapat menaiki keretapi dan ia merupakan sejarah pertama saya kerana itulah pertama kali saya menaiki keretapi ketika kanak-kanak.
               Hari ini merupakan hari ketiga, di mana hari terakhir kami berada di Segamat. Pada hari terakhir ini kami tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi taman bunga yag terkenal di bandar Segamat ini. Ya, Taman Bunga Batu Hampar merupakan kawasan riadah yang paling terkenal pada waktu pagi mahupun petang. Taman bunga ini terdapat pelbagai jenis pokok bunga dengan beraneka warna yang sangat ceria dan sedap mata memandang. Haruman pokok bunga disitu juga amat menarik perhatian kami semua. Yang paling istimewanya, terdapat Istana Higgap Khas untuk kerabat diraja Johor untuk menginap setiap kali datang kesini apabila terdapat acara yang baginda perlu mencemar duli di kawasan Segamat. Selain melawat taman bunga, kami juga sempat melawat tempat bersejarah iaitu makam Bendahara Tepok. Makam beliau tidak jauh dari pusat bandar dan taman bunga Batu Hampar tadi. Kawasan makan ini merupakan kawasan pekuburan yang menempatkan makam bendahara terakhir di abad Kesultanan Melayu Melaka dahulu kala. Walaupun makan ini sudah berpuluh-puluh tahun tetapi ia masih kelihatan kemas dan tidak usang untuk kita lawati dan lebih mengetahui sejarahnya.


            Selepas itu, kami pulang semula ke tumah Mak Ita pada zohor. Kami solat dan makan tengah hari bersama-sama. Selesai makan, kami mula mengemas pakaian kami dan bersiap sedia untuk pulang ke rumah asal kami. Walaupun rasa berat hati kami untuk meninggalkan Segamat, tetapi saya terpaksa akur kerana ini bukan tempat tinggal kami namun Mak Ita beritahu agar datang kesini semula apabila berkelapangan. Saya tersenyum riang. Kami membawa banyak buah tangan dari Segamat hasil dari perbelanjaan kami sekeluarga sepanjang berada di Segamat dan Kluang. Tidak lupa juga buah-buahan yang telah kami petik dan pungut dibelakang rumah Mak Ita kelmarin. Mak Ita juga membekalkan kami dengan sedikit makanan untuk kami makan alas perut semasa dalam perjalanan ppulang nanti. Kami sekeluarga bersalam-salaman dengan keluarga Mak Ita dan Pakcik Atan serta berterima kasih dengan mereka kerana sudi melayan kami sebagai tetamu dirumahnya untuk 3 hari 2 malam.


             Dalam perjalanan pulang, kami sekeluarga mengimbau semula kenangan di Segamat dan bergelak ketawa bersama apabila teringat kisah yang mencuit hati, selepas melalui beberapa daerah dari Segamat, kami sampai di daerah Tangkak, dimana daerah itu terkenal dengan kainnya yang murah dan pelbagai jenis. Ibu saya tidak melepaskan peluang tersebut. Ibu meminta ayah untuk berhenti dimana-mana kedai kain untuk ibu membeli kain ela dengan harga yang murah untuk kami pakai di lebaran yang akan datang nanti. Ayah pula terpaksa akur dengan permintaan ibu, kami adik beradik tertawa kecil melihat gelagat ayah yang sanggup melayan kerenah ibu. Lebih kurang dua jam lebih saya menemani ibu mencari dan memilih kain akhirnya ibu berjaya juga menyelesaikan buruannya membeli kain yang murah-murah di Tangkak. Ayah menarik nafas lega dan kelihatan segar semula selepas melihat ibu telah tamat berbelanja. Kami meneruskan perjalanan pulang semula.
           Ini adalah pengalaman melancong saya yang paling manis dan menarik serta yang pertama bagi saya kerana dapat meluangkan masa dengan semua ahli keluarga saya. Jika boleh diputarkan waktu ingin sahaja saya kembali ke masa tersebut kerana semua yag indah ada di dalamnya. Saya sedar walaupun keluarga saya bukan orang yang berduit tetapi mereka cuba untuk membawa kami adik-beradik untuk pergi berjalan-jalan bersama-sama. Mereka tetap menjadi yang terbaik dalam keluarga kami. Walau apa pun yang berlaaku, apabila saya sudah berjaya mencapai cita-cita saya, saya berazam untuk membawa mereka melancong ke luar negara pula terutamanya untuk mengerjakan haji dan umrah.

   


No comments:

Post a Comment