Take a tour of this blog to feel the absolute experiences in Malaysia and the world.
Travelling in the company of those we love is home in motion. -Leigh Hunt
The best education you will never get is travelling. Nothing teaches you more then exploring the world & accumulating experiences. -Mark Paterson
Travel is like an endless university. You never stop learning. -Harvey Lloyd
Of all the books in the world, the best stories are found between the pages of a passport. - A. Nonymous
HOME MALAYSIA ABROAD TIPS PRESENTATION MYLINK DIGITAL LIBRARY ABOUT US

Friday, October 11, 2019

TERENGGANU, NEGERI CANTIK BUDAYA MENARIK

Nama penulis: Aina Shakina binti Abu Bakar (A169626)


Saya berasal dari sebuah negeri yang terletak di pantai timur Malaysia iaitu dari negeri Pahang. Kedudukan Pahang yang berhampiran dengan negeri Terengganu memberi suatu kelebihan kepada saya untuk melancong ke negeri yang terkenal dengan keenakan makanan laut yang segar ini. Jarak dari Kuantan ke Kuala Terengganu adalah sebanyak 229 km dan mengambil masa perjalanan
kira-kira 2 jam 30 minit.
Saya dan keluarga kerap ke Kuala Terengganu sejak dari saya kecil. Hal ini kerana saya mempunyai bapa saudara yang menetap di Kuala Terengganu. Bapa saudara saya sangat arif dengan tempat menarik dan mesti dilawati oleh sesiapa sahaja yang melancong ke Kuala Terengganu. Oleh itu, bapa saudara saya akan bertindak sebagai pemandu pelancong dan membawa kami melawati pelbagai tempat tarikan pelancong. Antara tempat menarik yang wajib kami lawati adalah semestinya Pasar Payang. Tempat ini merupakan tempat membeli belah yang menjadi kesukaan kaum ibu khususnya kerana Pasar Payang menyediakan pelbagai jenis barangan yang boleh dibeli untuk dijadikan cenderamata selain terdapat barangan kelengkapan rumah seperti periuk belanga. Selain itu, Pasar Payang juga mempunyai banyak pilihan pakaian yang berunsurkan batik kerana negeri ini terkenal dengan aktiviti seni mencanting batik. Pasar Payang turut menjual pelbagai jenis makanan yang menjadi kesukaan rakyat tempatan. Pelbagai jenis kerepok lekor, kerepek, serunding dan sebagainya yang boleh didapati di bahagian bawah Pasar Payang ini. Pelancong juga boleh tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang paling murah kerana para peniaga disini sangat ramah dan mesra pelanggan. Satu nasihat saya, jika ingin berkunjung ke tempat ini para pelancong tidak digalakkan untuk berkunjung pada musim cuti kerana tempat ini akan dipenuhi oleh orang ramai dan sudah pasti anda tidak mahu membeli belah dalam keadaan yang tidak selesa kerana tempat ini agak sempit dan panas. Oleh itu, kepada sesiapa yang berhasrat untuk berkunjung ke tempat ini anda digalakkan untuk membawa kipas tangan atau kipas elektronik yang bersaiz sederhana untuk mengelakkan anda daripada berada dalam keadaan yang panas kerana kemungkinan anda untuk dibasahi peluh adalah sangat tinggi. Selain itu, dibelakang Pasar Payang ini terdapat sebuah perkampungan cina yang telah dinaik taraf dan dijadikan sebagai suatu tarikan baharu apabila terdapat pelbagai lukisan grafiti pada dinding bangunan seperti lukisan tokoh terkenal dan bermacam-macam lagi. Bahagian atas lorong di perkampungan ini turut dihiasi dengan warna-warni payung yang tergantung dan ia sangat cantik.


Pasar Payang
Lorong di Kampung Cina
   Tempat menarik di Terengganu yang seterusnya adalah Masjid Terapung dan Masjid Kristal. Masjid Tengku Tengah Zaharah merupakan nama sebenar bagi Masjid Terapung. Masjid ini sangat menarik kerana ia dibina diatas air di muara Sungai Ibai dan menyebabkan ia terapung di permukaan air. Pantulan masjid ini di permukaan air menghasilkan suatu pemandangan yang sangat cantik. Selain itu, Masjid Kristal yang terletak dalam kawasan pelancongan iaitu Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu dibina daripada kaca dan keluli. Masjid ini merupakan masjid pintar yang pertama di Malaysia kerana ia dilengkapi dengan prasarana teknologi dan liputan WiFi yang membolehkan pengunjung menggunakan kemudahan akses internet bagi membaca al-Quran elektronik. Taman Tamadun Islam pula merupakan sebuah taman tema yang mengetengahkan keunggulan warisan dan seni bina Islam dari seluruh pelosok dunia. Taman tema ini mempunyai banyak replika masjid yang terunggul dari seluruh dunia yang dapat pelancong lihat di Pulau Wan Man ini. Saya berasa sangat teruja ketika berkunjung ke tempat ini kerana seni bina masjid ini sangat cantik dan mengagumkan.

Masjid Terapung

Masjid Kristal
Seterusnya, setiap kali ke negeri Terengganu ini kami sekeluarga pasti akan berkunjung ke Pantai Batu Buruk untuk menikmati suasana pantai yang bersih dan meriah dengan pelbagai aktiviti menarik. Kunjungan terakhir saya ke pantai ini pada Disember lepas agak mengejutkan saya kerana terdapat banyak perubahan baik yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan. Antaranya terdapat aktiviti menarik yang baru disediakan seperti menaiki ATV, kereta kuda serta pelancong juga boleh menunggang kuda pada harga yang berpatutan. Saya juga berkesempatan untuk menaiki ATV ini selama 20 minit dengan bayaran sebanyak RM 25. Saya dan adik menaiki kenderaan ini dan kami menikmati pemandangan dan angin kuat di sepanjang pesisir pantai. Saya berasa sangat seronok kerana ia merupakan suatu pengalaman yang baru bagi saya untuk menaiki kenderaan ini. Selain itu, rumah atau pondok kecil yang terletak di persisiran pantai juga telah diberi nafas baharu apabila ia telah dicat semula dengan pelbagai warna yang terang dan ceria serta ia menjadi salah satu tempat untuk anak muda mengambil gambar yang berlatarbelakangkan pemandangan ini.

ATV

Rumah Kayu
Jika berkunjung ke Terengganu, makanan yang melambangkan negeri ini sudah pasti jawapannya ialah keropok lekor. Makanan ini sangat mudah ditemui di sekitar Kuala Terengganu. Akan tetapi kerepok lekor Losong merupakan keropok yang terkenal di kalangan masyarakat tempatan dan pelancong luar. Oleh itu, restoran yang menjual keropok lekor Losong ini biasanya akan dipenuhi oleh pembeli yang sanggup beratur sehingga ke luar kedai untuk mendapatkan kerepok lekor yang panas kerana ia dibuat di situ dan rasanya yang sangat sedap. Kerepok lekor juga turut dijual dalam bentuk bungkusan vakum agar ia tahan lebih lama. Bagi pelancong yang ingin menjamu hidangan berasaskan makanan laut, restoran di kawasan Seberang Takir sangat disarankan kerana ia menghidangkan pelbagai jenis makanan laut yang segar kerana ia merupakan kawasan perkampungan nelayan. Harga makanan yang ditawarkan juga sangat murah dan berpatutan.


Keropok Lekor
Kesimpulannya, sepanjang percutian kami di Terengganu saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana masih mempunyai keluarga, masa yang cukup dan berada dalam keadaan yang sihat untuk melancong dan melihat ciptaan Tuhan yang sangat indah. Saya juga merancang untuk kembali ke Kuala Terengganu lagi kerana terdapat mercu tanda yang baru iaitu jambatan angkat yang memaparkan kehebatan seni binanya dan menjadi tarikan baru bagi pelancong. Saya berhasrat agar saya sekeluarga mampu untuk melancong ke pelbagai tempat yang menarik lagi dan meneroka banyak lagi perkara yang menyeronokkan. 







No comments:

Post a Comment