Take a tour of this blog to feel the absolute experiences in Malaysia and the world.
Travelling in the company of those we love is home in motion. -Leigh Hunt
The best education you will never get is travelling. Nothing teaches you more then exploring the world & accumulating experiences. -Mark Paterson
Travel is like an endless university. You never stop learning. -Harvey Lloyd
Of all the books in the world, the best stories are found between the pages of a passport. - A. Nonymous
HOME MALAYSIA ABROAD TIPS PRESENTATION MYLINK DIGITAL LIBRARY ABOUT US

Thursday, October 17, 2019

TANAH SUCI MEKAH DAN MADINAH

Nama penulis: Aida Amira Binti Mohd Amin (A171932)


Pengalaman melancong kami sekeluarga bukan sahaja di dalam negara Malaysia malah kami telah merasai pengalaman melancong ke luar negara juga. Saya akan menceritakan pula pengalaman kami sekeluarga dalam menunaikan ibadah umrah sekaligus mengunjungi tempat-tempat menarik yang terdapat di negara Mekah, Madinah dan Turki. Pengalaman ini merupakan salah satu pengalaman yang paling tidak akan aku lupakan sampai bila-bila dengan pelbagai kenangan manis yang telah kami sekeluarga perolehi sepanjang berada di negara-negara tersebut.
 Saya akan menceritakan serba sedikit pengalaman sebelum, semasa dan selepas kami berada di sana.

“Satu kenangan yang masih bermain-main difikiranku dan tidak dapat dilupakan sehingga kini dan sentiasa dalam memori.” Hatiku berbicara sendiri. Pada tanggal 21 Februari 2018 yang lalu, kami sekeluarga telah pergi menunaikan umrah buat pertama kalinya. Kami telah memilih tarikh tersebut kerana pada tarikh itu telah bermulanya cuti persekolahan selama dua minggu, amat sesuai bagi ibu bapaku yang merupakan guru sekolah dan adik-adikku yang masih bersekolah. Malah, pada tarikh tersebut keadaan cuaca di Mekah dan Madinah adalah sejuk dan kering. Baiklah, pertama sekali saya akan menceritakan pengalaman serta persediaan sebelum menunaikan umrah. Perkara pertama yang ibu bapaku lakukan ialah mencari syarikat travel yang menawarkan pakej umrah khas 13 hari dan 12 malam iaitu Syarikat Andalusia Travel & Tours. Syarikat ini mempunyai banyak cawangan di seluruh Malaysia dengan menawarkan pelbagai pakej pelancongan ke luar negara termasuk umrah. Malah, syarikat ini juga menawarkan harga yang sangat berpatutan mengikut pakej yang disediakan serta perkhidmatan yang baik untuk semua.
“Nanti kita boleh jalan-jalan dekat Turki sekali tau.” Kata bapaku kepada kami semua. Ya, pakej yang kami ambil ini adalah pakej umrah dengan transit satu hari di Istanbul, Turki. “Yeay best nye, betul ke mama?” Soal adik kepada ibuku dengan penuh teruja. Bukan itu sahaja, harga bagi pakej yang kami ambil ini juga sangat berbaloi dan berpatutan iaitu sebanyak RM5100 bagi seorang dewasa dan RM4500 bagi seorang kanak-kanak. Selain itu, pakej ini juga telah menawarkan pelbagai perkhidmatan bagi semua urusan seperti visa, penginapan, makan dan minum, set beg pakaian, insuran, cukai lapangan terbang, transportasi yang diuruskan sepenuhnya oleh pihak Andalusia. Kita hanya perlu sediakan sendiri passport antarabangsa, 4 keping gambar berukuran passport, kad suntikan ACYW135 yang mendapat pengesahan dokumen kerajaan atau swasta dan barangan keperluan semasa berada di sana (pihak Andalusia akan menyenaraikan semua barang keperluan yang perlu dibawa). Kami juga telah menghadiri kursus umrah yang disediakan seawal 3 minggu sebelum tarikh penerbangan. Ia merupakan salah satu perkara penting sebagai persiapan sebelum menunaikan umrah buat pertama kali. Hal ini kerana, kursus ini juga bertujuan untuk memberi pengetahuan dan panduan kepada mereka yang akan menunaikan umrah.


Setelah segala persiapan telah dilaksanakan, maka tibalah hari yang dinantikan iaitu hari penerbangan yang juga merupakan pengalaman pertama kami untuk menaiki kapal terbang ke luar negara. “Alhamdulillah, segala urusan telah dipermudahkan dan kita berpeluang untuk menunaikan umrah di Tanah Suci.” Kata seorang mutawif kepada para jemaah. Setibanya kami di lapangan terbang KLIA, semua jemaah Andalusia diminta untuk berkumpul bagi mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh mutawif yang akan membawa kami di sana nanti. Memandangkan kami semua akan berhenti transit di Istanbul terlebih dahulu, jadi syarikat penerbangan yang telah kami naiki ialah Turki Airlines. “Tak sabarnya nak naik kapal terbang.” Kata adikku dengan penuh gembira. Ia merupakan satu pengalaman yang tak akan kami lupakan. Kami telah berlepas lebih kurang jam 8 malam dari KLIA. Perjalanan kami dari KLIA ke Istanbul mengambil masa lebih kurang 10 jam. Sepanjang perjalanan itu tidak terasa jauhnya seperti 10 jam mungkin disebabkan kami yang begitu teruja untuk pertama kalinya merasai pengalaman ini. Kami amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak Turki Airlines, yang mana pramugari dan pramugaranya begitu peramah dan baik layanannya. Selain itu, keadaan dalam kapal terbang juga amat selesa serta makanan dan minuman yang disediakan juga cukup menarik yang mana mereka menyediakan makanan masakan Turki.



TRANSIT DI ISTANBUL, TURKI
Setelah 10 jam perjalanan, akhirnya kami telah pun sampai di lapangan terbang Turki pada jam 6 pagi dan kami terus menunaikan solat Subuh di sana. Setelah selesai semua dan kami diminta untuk berkumpul bagi mendengar taklimat perjalanan aktiviti kami di Istanbul. Kemudian kami terus bergerak ke luar lapangan terbang untuk menaiki Tour Bus Turki dengan dibawa oleh seorang pemuda Turki yang juga merupakan pemandu pelancong di sana. “Wah, seronoknya kat sini sejuk!” kata aku sendirian. Perkara pertama yang aku amat teruja ialah keadaan cuaca di sana amatlah sejuk, ia merupakan satu pengalaman baru yang aku rasai. Kami perlu memakai pakaian sejuk/tebal serta sarung tangan tebal untuk memanaskan badan serta menyesuaikan keadaan cuaca di sana. Sepanjang perjalanan kami di dalam bas tersebut kami dapat melihat pemandangan yang indah di Istanbul iaitu dapat melihat seni bina bangunan yang unik, pemandangan laut yang cantik, kehidupan masyarakat Turki dan sebangainya.



Lokasi pertama yang telah dibawa oleh pemandu pelancong untuk kami lawati ialah Dataran Hippodrome. Hippodrome merupakan satu binaan seperti tugu serta salah satu daripada bahagian yang terpenting dalam Sultanahmet. Di sini anda boleh temukan berbagai jenis tempat tarikan yang menarik di Istanbul yang wajib dilawati. Dataran ini cukup cantik untuk dijadikan lokasi bergambar sebagai kenangan, yang mana terdapat taman-taman kecil dipenuhi tumbuhan yang segar. Ia juga menyediakan kerusi untuk berehat dan bersantai serta terdapat banyak kafe dan gerai yang boleh kita nikmati hidangan unik di Turki. Lokasi kedua yang telah kami kunjungi ialah Grand Bazaar. Ia merupakan bazar besar yang menjadi lokasi berjual beli yang telah lama wujud di Istanbul. Bagi pelancong yang suka membeli belah, ia merupakan satu lokasi menarik yang wajib kita kunjungi. Bazar ini menempatkan 5000 buah kedai di dalamnya dan merupakan pasar tertutup terbesar di dunia. Bazar ini menawarkan pelbagai jenis barangan seperti perhiasan, permaidani, rempah ratus, barangan antik dan seramik lukisan tangan dengan harga berpatutan.   
   “Wah, Malisia ya Malisia bagus bagus.” Kata salah seorang peniaga Turki ketika melihat kami jemaah Malaysia. Ya, ia merupakan salah satu kenangan manis yang tidak dapat kami lupakan, di mana para peniaga Turki ini amat teruja apabila melihat pelancong Malaysia yang berkunjung ke tempat mereka. Malah, mereka sangat baik dan peramah ketika melayan kami warga Malaysia di sana, sesetengah daripada mereka juga ada yang pandai berbahasa melayu. Ia membuatkan kami lebih seronok dan selesa berada di sana. Kami sekeluarga telah membeli sedikit buah tangan dan cenderahati di bazar tersebut sebagai kenangan. Kemudian, kami meneruskan aktiviti kami iaitu pergi ke lokasi terakhir di Masjid Biru/Blue Mosque, kami berpeluang untuk menunaikan solat di sana. Ia juga dikenali sebagai Sultan Ahmed Mosque merupakan masjid yang dibina pada abad ke-17 dan ia masih lagi aktif digunakan sebagai tempat beribadat hingga kini. “Wah, cantiknya masjid ni besar pulak tu.” Kataku dalam hati. Masjid ini dihiasi dengan jubin seramik dalam pelbagai reka bentuk tulip dan tingkap kaca berwarna serta reka bentuk yang rumit dan unik. Masjid ini dinamakan masjid biru sempena jubin biru yang ada pada kubah dan bahagian atas rekaan dalamannya.
Setelah hampir satu hari kami berada di Istanbul Turki, maka berakhirlah perjalanan aktiviti kami. Pengalaman ini merupakan satu pengalaman yang berharga dalam hidupku walaupun dapat merasainya dalam masa yang singkat saja. Kemudian kami dibawa kembali ke lapangan terbang Turki untuk meneruskan penerbangan kami ke Madinah pula. Penerbangan ke Madinah mengambil masa selama 4-5 jam dari Istanbul. Tibanya kami di Madinah, perkara pertama yang mungusik perasaan ini ialah apabila melihat suasana di sana seakan tidak percaya bahawa kami berpeluang untuk menjejakkan kaki di tanah suci madinah. “Terasa sebak di hati dan tidak terungkap dengan kata-kata rasa syukur kehadrat Ilahi.” Bisik hatiku sayu. Kami telah meneruskan perjalanan kami menaiki bas ke hotel penginapan kami di Madinah. Hotel yang kami duduki ini tidak begitu jauh dengan Masjid Nabawi sekitar 100 meter berjalan kaki sahaja.




PENGALAMAN DI MADINAH AL MUNAWARRAH



Tempoh kami berada di Madinah adalah selama 5 hari 4 malam. Apa yang dapat saya katakan, Madinah merupakan satu tempat suci yang menempatkan Masjid Nabawi. Satu tempat yang sangat tenang dan selesa keadaannya yang tidak sesak dengan kenderaaan. Kehidupan masyarakat Madinah yang baik dan peramah terutamanya para peniaga di sana melayan pelanggan dengan penuh sopan. Mereka juga amat teruja apabila melihat jemaah Malaysia yang datang berkunjung ke gerai mereka. Sepanjang berada di hotel Madinah, segala perkhidmatan, makan dan minum yang disediakan sangat baik dan berpuas hati. Aktiviti hari kedua kami di Madinah ialah ziarah sekitar Masjid Nabawi (Optional) dan pada sebelah malam semua jemaah bersedia selepas Subuh untuk makan pagi di hotel. Kemudian kami meneruskan aktiviti dengan melawat kebun kurma dan jemaah boleh membeli belah di kebun kurma. Sewaktu berada di kebun kurma tersebut, kami berpeluang untuk bergambar kenangan di sekitar kebun kurma yang indah. Malah, di sana terdapat gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis kurma yang sukar didapati di Malaysia.
Pada hari ketiga, sekitar jam 07:30 pagi jemaah diminta berkumpul di lobi untuk dibawa menziarahi ke tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Quba’ (masjid pertama yang didirikan oleh Rasullullah s.a.w.), Jabal Uhud, Masjid Qiblatain iaitu (masjid yang mempunyai 2 kiblat. Pelbagai aktiviti dan ibadah sunat yang telah kami laksanakan pada hari tersebut, dan pengalaman ini memang tidak dapat dilupakan sehingga kini. Sewaktu berada di masjid Quba` kami menghadapi satu cabaran di mana keadaan di sana sangat sesak dengan jemaah yang lain sehingga bertolakan antara satu sama lain ketika ingin memasuki masjid dengan cuaca pada ketika itu hujan lebat. Namun begitu, ia tidak menjadi halangan buat kami untuk meneruskan aktiviti di sana, kita perlu banyak bersabar dan sentiasa berzikir tenangkan hati.


PENGALAMAN DI MEKAH AL MUKARRAMAH
Pada hari keempat, jemaah bersiap sedia untuk bertolak ke Makkah pada jam 02:00 petang dengan berpakaian ihram lengkap. Dijangka tiba di Makkah pada jam 09:00 Malam, sampai sahaja di Mekah mula urusan check in (berehat). Selepas berehat jemaah akan dipimpin oleh mutawwif untuk mengerjakan Umrah. Pengalaman berada di Mekah agak berbeza berbanding di Madinah. Ini kerana, keadaan di mekah agak sesak dengan kenderaan ynag banyak dan asap debu yang tebal. Cabaran yang kami telah lalui di sana ialah sakit tekak, batuk, selsema dan ada juga yang demam. Keadaan cuaca di sana pada ketika itu tidak terlalu panas tetapi sejuk dan kering. Oleh itu, kita perlu menjaga kesihatan diri dengan memakai mask atau purdah bagi wanita serta sediakan ubat-ubatan ketika berada di sana.



Pada hari kelima iaitu hari kedua di Mekah, kami diberikan kebenaran untuk melakukan aktiviti bebas (beribadah di masjidil haram). Alhamdulillah kami diberi peluang untuk menjejak kaki ke Tanah Suci Mekah dengan perasaan syukur kehadrat Ilahi. Perkara pertama yang membuatkan saya begitu sebak dan tidak dapat dilupakan ialah sampai sahaja di masjidil haram, air mataku terus mengalir tanpa sedar apabila terus melihat binaan kaabah di depan mataku. Perasaan ini sememangnya tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Pada hari keenam, selepas sarapan pada jam 7:30 pagi jemaah akan di bawa menziarahi ke Jabal Nur (Tempat Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu pertama), ke Padang Arafah, Mudzalifah dan Mina. Seterusnya ke Jabal Tsur dan Jabal Rahmah serta ke Masjid Jaaranah untuk berniat Umrah bagi sesiapa yang ingin mengerjakan Umrah. Jemaah akan dipimpin oleh Mutawwif untuk menunaikan Umrah kali kedua.
Pada hari ketujuh, sekali lagi kami diberikan kebenaran untuk melakukan aktiviti bebas. (Optional: Ziarah Ta'if). Pada hari itu, kami sekeluarga mengambil peluang untuk meluangkan masa bersama dan melaksanakan ibadah sebanyak yang mungkin di masjidil haram. Peluang ini pasti kita tidak akan mensia-siakannya kerana pahala setiap perbuatan atau ibadah yang kita lakukan di sana akan dilipat gandakan berbanding di tempat lain. Pada hari kelapan, selepas sarapan pagi jemaah akan dibawa melawat ke beberapa tempat bersejarah di Hudaibiyah seperti Ladang Unta dan anda akan dapat merasai keenakan susu Unta segar dan singgah di Masjid Hudaibiyah. (Lawatan ke Ladang Unta tertakluk kepada kebenaran dari Kementerian Kesihatan Malaysia). Jemaah akan dipimpin oleh Mutawwif untuk menunaikan Umrah kali ketiga.         
Pada hari kesembilan dan sepuluh, kami akan melakukan aktiviti bebas dan mengambil peluang ini untuk melakukan ibadah sepenuhnya di masjidil haram. Sekaligus kami tidak akan melepaskan peluang untuk melihat dan duduk di hadapan kaabah untuk berdoa dan solat di sana. Selain itu juga, kami mengambil peluang ini untuk membeli makanan arab yang pelbagai di kedai-kedai berdekatan sesudah beribadah. Malah, kami juga berpeluang untuk membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Pada hari kesebelas, selepas tawaf wada' dan solat Zuhur jemaah akan berkumpul di lobi hotel pada jam 01:30 petang. Pada pukul 02:00 petang, jemaah akan bertolak ke lapangan terbang Jeddah untuk keberangkatan pulang ke Kuala Lumpur. Pada hari kedua belas, kami mula bergerak pulang ke Kuala Lumpur pada jam 02:25 pagi dan dijangka tiba di KLIA pada jam 04:00 petang (waktu tempatan).
Maka, berakhirlah kisah pengalaman saya melancong di dalam negara dan di luar negara bersama keluarga dari kecil hingga kini. Setiap pengalaman dan kenangan yang saya dapat rasai ini merupakan yang terindah dan tidak dapat dilupakan sampai bila-bila. Saya berharap agar diberi peluang lagi untuk mengunjungi tempat-tempat yang menarik seperti ini untuk mencipta kenangan indah bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Tidak kira pengalaman melancong di dalam mahupun di luar negara, semuanya pasti akan menjajikan pengalaman yang menarik. Pelbagai kenangan manis dan cabaran atau halangan yang telah ditempuhi sepanjang perjalanan melancong. Setiap persediaan dan persiapan yang lengkap perlu dipastikan sebelum memulakan perjalanan ke mana-mana destinasi kita pergi. Diharapkan agar cerita saya dapat memberi inspirasi untuk melancong buat anda yang membacanya. Marilah kita sama-sama menghargai setiap sumber dan khazanah yang ada di bumi ini dengan memulakan perjalanan sebagai seorang peneroka. Sekian, terima kasih.
             


5 comments:

  1. Alhamdulillah, thank you for your sharing ��

    ReplyDelete
  2. Perkongsian yang sangat baik terutamanya buat kami yang ingin menunaikan umrah buat pertama kali ☺

    ReplyDelete
  3. Terima kasih atas perkongsian ini ��

    ReplyDelete
  4. Best nya dapat pegi satu family, nanti nak plan umrah macam ni jugak la, tq sharing

    ReplyDelete
  5. Best nye pakej umrah ni transit istanbul!!

    ReplyDelete