Melancong merupakan aktiviti yang sering dilakukan untuk
mengeratkan hubungan kekeluargaan. Hal ini kerana dengan melancong sesebuah
keluarga dapat melakukan aktiviti dan meluangkan masa bersama. Pengalaman
melancong semasa kecil, remaja dan dewasa pastinya mempunyai perbezaan. Hal ini
kerana ketika kecil kita lebih kepada ingin bersuka ria dan kemungkinan
kenangan yang diperolehi semasa melancong tidak dapat kita hargai sepenuhnya.
Selain itu, pengalaman melancong semasa kecil kemungkinan tidak kekal di memori
kita sehingga dewasa.
Berbeza sekiranya kita melancong ketika diusia remaja atau dewasa.
Hal ini kerana kita akan lebih menghargai pengalaman melancong tersebut.
Seterusnya memori tersebut juga akan tersemat di dalam ingatan kita untuk
dijadikan kenangan. Selain itu, sewaktu kecil segala persiapan sebelum
melancong dilakukan oleh ibu bapa sepenuhnya. Berbeza dengan pengalaman dari
segi persiapan melancong sewaktu remaja dan dewasa. Dari sinilah kita akan
belajar cara untuk menguruskan sesuatu percutian.
Pengalaman
melancong yang pernah saya lalui bersama keluarga ialah semasa kami sekeluarga
melancong ke negeri Melaka. Ketika itu saya diusia remaja iaitu 18 tahun. Idea
untuk ke Melaka tercetus daripada kakak saya yang memberikan idea untuk kami
bercuti. Hal ini kerana kami sekeluarga telah sekian lama tidak meluangkan masa
bersama, Kami sekeluarga membuat perancangan untuk ke negeri Melaka hanya dalam
masa seminggu sebelum ke destinasi. Hal ini kerana negeri Melaka hanya terletak
150 kilometer daripada tempat tinggal kami. Perancangan kami pada awalnya untuk
ke sana selama tiga hari dua malam iaitu daripada hari jumaat sehingga hari
ahad. Namun begitu atas hal-hal yang tidak dapat dielakkan kami terpaksa untuk
menyingkatkan percutian kami selama dua hari satu malam sahaja iaitu daripada
hari sabtu sehingga ahad sahaja. Walaupun perancangan kami untuk bercuti
dilakukan dalam waktu yang singkat
namun, kami tetap membuat persiapan awal sebelum ke destinasi kami.
Sehari sebelum kami bertolak ke sana, kami membuat persiapan dengan mengemas
pakaian yang perlu untuk dibawa ke sana.
Setelah
tiba pada hari yang kami akan bertolak ke Melaka. Ibu mengejutkan kami seawal
tujuh pagi untuk melakukan persiapan. Saya membantu ibu untuk menyiapkan mee
goreng dan roti sardin sebagai sarapan kami pada pagi tersebut. Kami juga
membawa sedikit bekalan roti sardin untuk dimakan di dalam kereta sewaktu dalam
perjalanan nanti. Selepas mengambil sarapan kami memasukkan bagasi pakaian dan
barang-barang keperluan ke dalam kereta. Kami memulakan perjalanan seawal jam
sembilan pagi. Kami bergerak lebih awal adalah kerana untuk mengelakkan
kesesakkan lalu lintas. Hal ini adalah kerana pada waktu hujung minggu
kebiasaannya jalan akan sesak lebih-lebih lagi trafik kearah Melaka kerana
Melaka juga merupakan antara pusat pelancongan dan menjadi tarikan pengunjung.
Perjalanan kami mengambil masa selama dua jam. Sepanjang perjalanan juga kami
telah singgah di kawasan rawat dan rehat yang berada di Seremban dan juga di
Ayer Keroh Melaka. Hal ini kerana dua kawasan rawat dan rehat ini merupakan
antara yang terkenal dan besar yang menjadi daya tarikan sebelum kami sampai ke
Melaka. Kami tiba di kawasan hotel pada jam sebelas pagi. Oleh kerana masih
awal dan belum tiba waktu untuk kami daftar masuk ke hotel. Kami mengambil
keputusan untuk singgah di pantai Klebang. Pantai Klebang merupakan salah satu
daya tarikan pelancong di sana.
Kawasan Rawat dan Rehat Seremban |
Kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh |
Perjalanan kami dari kawasan hotel ke Pantai Klebang
mengambil masa dalam sepuluh minit. Di Pantai Klebang terdapat ramai pelancong
yang terdiri daripada dalam dan luar negara.
Terdapat juga sekumpulan pelancong luar negara yang berada di situ. Suasana di
kawasan pantai Klebang sangat meriah dengan adanya gerai-gerai jualan di
sepanjang pantai. Hal ini merupakan antara salah satu tarikan pelancong dan
juga dapat menjadi salah satu sumber ekonomi penduduk setempat di kawasan
tersebut. Setelah selesai berjalan-jalan di sekitar kawasan Pantai Klebang,
kami berhasrat untuk ke kawasan Pantai Klebang yang berada di sudut lain. Di
mana kawasan ini pernah tular dengan pemandangan padang pasir dan sangat
cantik untuk mengambil gambar di
kawasan tersebut. Oleh itu, kami
sekeluarga meneruskan perjalanan dan mencari di aplikasi “waze” kawasan
tersebut. Namun begitu, kami telah sesat dan tidak menjumpai kawasan tersebut.
Oleh kerana kami semua sangat teringin untuk melihat kawasan tersebut, kami tetap
meneruskan perjalanan dengan menanyakan arah kepada penduduk setempat. Kami
menanyakan arah untuk ke kawasan tersebut kepada seorang lelaki yang sedang
duduk santai di bawah pokok berhampiran kawasan yang kami lalui. Beliau
menunjukkan arah yang tepat serta menjelaskan cara untuk kami sampai ke kawasan
tersebut.
Setelah tiba di kawasan padang pasir Klebang, kami
meletakkan kenderaan di kawasan yang disediakan dimana terdapat
kenderaan-kenderaan lain juga disitu. Kami juga
menanyakan arah untuk ke kawasan padang pasir Klebang tersebut kepada
orang tempatan yang berada di kawasan parkir kereta. Pemuda tersebut menyatakan
bahawa kami perlu untuk berjalan kaki kerana untuk kawasan padang pasir Klebang
tidak boleh membawa kenderaan. Oleh kerana, kami amat teruja untuk mengetahui
bagaimana situasi di padang pasir Klebang kami tetap gigih untuk berjalan ke
kawasan tersebut. Perjalanan kami untuk sampai ke kawasan padang pasir Klebang
mengambil masa selama sepuluh minit untuk sampai ke destinasi. Jam menunjukkan
jam 12 tengahari dan cuaca amat panas ketika itu. Setelah penat berjalan
akhirnya kami tiba di destinasi yang dituju. Pemandangan di kawasan tersebut
amat cantik dan menarik perhatian. Terdapat banyak timbunan-timbunan pasir di
kawasan tersebut. Ramai pelancong yang berada di sekitar kawasan berkenaan
untuk mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.
Setelah selesai bergambar di kawasan padang pasir
Klebang kami terus bertolak untuk daftar
masuk ke hotel kami. Hotel kami berada di kawasan Plaza Mahkota. Nama hotel
yang kami duduki ialah SUNSUI Hotel Melaka. Layanan yang diberi oleh penyambut
tetamu di hotel tersebut adalah sangat baik. Setelah selesai daftar masuk kami
terus menuju ke bilik kami. Setelah mendaftar masuk kami berehat seketika di
bilik untuk menyegarkan diri dan solat zohor. Seterusnya pada jam 2.30 petang
kami terus keluar untuk makan tengahari. Kami telah memilih kedai di kawasan
berhampiran dengan hotel kami. Sewaktu makan tengahari kami hanya makan nasi
campur dan kami juga mencuba lauk yang terkenal di Melaka iaitu asam pedas
Melaka.
Hotel penginapan kami di Melaka |
Setelah selesai makan kami berjalan kaki ke kawasan Menara Taming Sari. Menara ini merupakan antara salah satu mercu tanda yang terdapat di Melaka. Sesudah saja kami sampai di dataran berhadapan Menara Taming Sari kami terus membeli tiket untuk menaiki Menara tersebut. Kami beratur panjang untuk menunggu giliran bagi menaiki Menara Taming Sari. Setelah tiba giliran kami, pekerja yang bertugas menunjukkan arah kepada kami untuk duduk di kawasan yang ditetapkan. Ketika menaiki Menara Taming Sari saya dapat melihat pemandangan seluruh Melaka kerana menara ini berpusing 360 darjah. Selain itu, antara tarikan yang dapat dilihat ialah Selat Melaka. Sepanjang tempoh kami berada di dalam Menara Taming Sari itu, kami juga di beri info dan penerangan berkenaan dengan pemandangan yang kami lihat melalui audio yang telah disediakan. Ianya merupakan pengalaman yang menyeronokkan dan mempunyai perisian yang baik.
Menara Taming Sari |
Setelah selesai menaiki Menara Taming Sari kami
kembali semula ke hotel penginapan kami untuk berehat dan membersihkan diri.
Kami meneruskan perjalanan kami di belah malam pula dimana kami merancang untuk
ke Jonker Walk. Di Jonker Walk merupakan antara daya tarikan pada waktu malam
di Melaka. Sepanjang Jonker Walk juga terdapat bermacam kraf-kraf tangan serta
makanan yang unik. Kami juga membeli makan malam kami di kawasan tersebut.
Antara yang menjadi tarikkan di Jonker Walk ialah air kelapa Fatimah yang
terdapat berhampiran dengan pintu gerbang Jonker Walk Street. Ianya menjadi
tarikan kerana pelancong yang berkunjung terpaku dengan persembahan yang
dilakukan oleh penjual tersebut . Seterusnya pada waktu tersebut antara makanan yang telah tular ialah aiskrim pasu.
Saya juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan aiskrim tersebut. Setelah
berjalan sepanjang Jonker Walk Street kami menikmati keindahan lampu-lampu beca
yang terdapat di kawasan tersebut. Suasana pada waktu malam di sana adalah
sangat meriah kerana setiap beca yang terdapat disitu mempunyai muzik dan
lagu-lagu yang dimainkan bagi menarik perhatian pelancong. Kami pulang semula
ke hotel pada jam 11 malam untuk berehat dan meneruskan aktiviti pada hari
seterusnya.
Jonker Walk Melaka |
Kami
bangun pagi dan bersiap seawal sembilan pagi. Oleh kerana pakej hotel
menyediakan sarapan pagi, pada pagi itu kami hanya menikmati sarapan pagi di
hotel sahaja. Sarapan yang disediakan di hotel itu adalah dalam bentuk buffet
dan terdapat pelbagai makanan sarapan pagi yang disediakan dan bersesuaian
dengan citarasa pengunjung. Setelah selesai dengan sarapan kami meneruskan
perjalanan ke “river cruise” Melaka. Sepanjang perjalanan kami melalui susur
air sungai Melaka. Pelbagai pemandangan dan keindahan yang dapat kami lihat.
Antaranya terdapat kincir air lama yang sudah tidak digunakan. Kincir air itu
juga dikenali sebagai Kincir Air Kesultanan Melaka.
Kincir Air Kesultanan Melaka |
Kami meneruskan perjalanan untuk ke A Famosa dan
bangunan-bangunan yang bersejarah. Di bangunan A Famosa terdapat banyak
tinggalan dan tapak-tapak bekas penjajah yang pernah menjajah di negara kita.
Di sepanjang tepi jalan juga terdapat peniaga-peniaga yang menjual
barang-barang cenderamata yang melambangkan negeri Melaka antaranya seperti
rantai kunci yang mempunyai lambang-lambang bangunan bersejarah di Melaka.
Seterusnya kami melalui bangunan-bangunan merah Melaka atau dikenali sebagai
Stadthuys. Di kawasan itu terdapat ramai pelancong-pelancong daripada luar
negara yang sedang mengambil gambar dan bersiar-siar di sekitar kawasan
tersebut.
Bangunan Stadthuys |
Setelah selesai berjalan-jalan di sekitar kawasan
tersebut, kami semua pulang semula ke hotel untuk daftar keluar. Kami daftar
keluar kira-kira jam 12.30 tengahari. Setelah selesai daftar keluar kami telah
pergi untuk makan tengahari di sebuah kedai peranakan atau dikenali sebagai
baba nyonya yang terdapat di kawasan Bandar Hilir Melaka. Makanan yang
dihidangkan sangat sesuai dengan citarasa saya sebagai seorang orang melayu.
Setelah selesai makan kami semua bergerak semula ke Pantai Klebang yang telah
kami kunjungi pada hari Sabtu. Hal ini adalah kerana Melaka sangat terkenal
dengan “coconut shake” Klebang. Oleh itu, kami singgah semula ke Pantai Klebang
untuk menikmati minuman di sana. Suasana di gerai “coconut shake” tersebut
sangat ramai dan kami perlu untuk beratur panjang. Setelah selesai minum di sana kami semua bertolak pulang ke
rumah kira-kira jam 2.30 petang. Trafik ketika itu agak sedikit sesak kerana
pada hujung minggu kebiasaannya Melaka akan sesak dengan pengunjung dan
pengguna jalan raya. Kami tiba di rumah pada jam 5.30 petang dan semuanya
berada dalam keadaan yang selamat.
Berikut
merupakan pengalaman saya ketika melancong di Melaka bersama keluarga. Ini
merupakan antara pengalaman dan kenangan yang tidak dapat dilupakan walaupun
perancangan kami untuk ke sana dilakukan dalam masa yang singkat. Namun begitu,
saya tetap berhasrat untuk kembali semula ke negeri Melaka. Hal ini kerana
Melaka merupakan negeri yang indah dan kaya dengan budaya serta
tinggalan-tinggalan sejarah lama. Terdapat pelbagai cerita yang menarik di
setiap sudut negeri Melaka. Selain itu, saya juga berhasrat untuk kembali
semula ke negeri Melaka kerana terdapat banyak lagi tempat yang saya belum
terokai antaranya taman buaya, taman rama-rama dan juga Zoo Melaka. Selain itu,
saya juga bercadang untuk kembali semula ke Melaka dan menaiki River Cruise
Melaka sekali lagi tetapi di waktu malam. Hal ini kerana ada yang menyatakan
bahawa suasana pada waktu malam adalah lebih cantik berbanding pada waktu
siang. Namun begitu, untuk percutian akan datang kami akan membuat persiapan
dengan lebih terperinci kerana jadual aktiviti kami tidak berlaku sepenuhnya
seperti yang dirancang. Persiapan yang teliti adalah amat penting sebelum kita
memulakan sesuatu pelancongan.
No comments:
Post a Comment