Berdasarkan
pengalaman melancong bersama keluarga setakat ini boleh dikatakan hampir
seluruh negeri di Malaysia sudah saya lawati. Sememangnya keluarga kami minat
bercuti di kawasan yang menarik tetapi masih mengikut bajet yang mencukupi bagi
tidak berlaku lebihan belanja atau pembaziran.Boleh dikatakan setiap tempat
yang kami pergi ini kebiasaannya pergi tanpa dirancang atau sengaja maksudnya
pergi secara terjah asalkan sampai melainkan kawasan yang jauh yang perlu
melibatkan perancangan yang lebih teliti.
Untuk
pengalaman bercuti bersama keluarga, saya akan berkongsi pengalaman ketika
bercuti di negeri di bawah bayu iaitu Sabah pada tahun 2014 atau bersamaan umur
saya mencecah 16 tahun. Sejujurnya ini adalah kali pertama saya menaiki kapal
terbang jadi ini menajdikan percutian yang paling teruja yang pernah saya
lalui. Saya menaiki penerbangan Air Asia di LCCT, Sepang dan mendarat di
Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Sabah. Hendak dijadikan cerita kebetulan
syarikat penerbangan Air Asia pada waktu itu sedang membuat jualan promosi
harga tiket penerbangan dan kami tertarik dengan harga ditawarkan lalu kami
memilih Kota Kinabalu, Sabah sebagai destinasi pilihan kami dengan kadar harha
RM110 untuk tiket pergi dan balik dan ianya sangat murah dan berbaloi untuk
kami sekeluarga.Percutian kami sekeluarga adalah selama 5 hari 4 malam dan
menginap di sebuah ‘homestay’ untuk penginapan yang lebih selesa. Untuk
memudahkan pergerakan kami semas percutian ini, kakak saya telah menempah
kereta sewa bagi memudahkan perjalanan kami. Pada hari pertama, kami tidak
banyak melawat tempat-tempat menarik di Kota Kinabalu memandangkan kami tiba
lebih kurang jam 6 petang dan hanya singgah makan untuk makan malam dan berehat
sahaja untuk perjalanan pada hari berikutnya.
Pada hari kedua pula, destinasi yang
dituju ialah Kundasang iaitu sebuah kawasan peranginan tanah tinggi popular di
Sabah malahan Malaysia. Kami bergerak dalam lingkungan jam 7.30 pagi
memandangkan waktu subuh lebih cepat sejam berbanding di Semenanjung.Perjalanan
telah mengambil masa selama sejam setengah dari homestay kami menginap dan
sepanjang perjalanan pemandangan hijau sememangnya memukau pandangan kami yang
sekurangnya mengurangkan rasa penat berjalan. Sebelum itu, kami telah berhenti
sarapan di Pekan Nabalu, sebuah kawasan yang sangat cantik dan terbaik untuk
melihat puncak Gunung Kinabalu.Setiba di Kundasang kami telah melihat keindahan
Gunung Kinabalu yang tersegam indah dan kami tidak melepaskan peluang untuk
bergambar. Cuaca di sana sememangnya dingin lagi mendamaikan di samping hujan
renyai-renyai pada ketika itu. Kami juga berkesempatan pergi ke kawasan
ternakan lembu yang dikenali sebagai ‘Dairy Farm’ di mana seolah-olah kita
berada di New Zeland yang berlatar-belakangkan Gunung Kinabalu yang indah. Selepas
itu, kami singgah di Memorial Perang Kundasang yang mana memorial ini dibina untuk
didedikasikan kepada tentera
British dan Australia yang meninggal dunia di
Sandakan semasa perjalanan mereka ke Ranau.Uniknya kematian tentera ini
juga mendapat pengiktirafan akan penderitaan dan pengorbanan mereka oleh
penduduk asli Sabah. Setelah puas berjalan di Kundasang, kami pulang ke
homestay kami untuk berehat dan kami juga sempat ke Pekan Tamparuli yang
sememangnya terkenal dengan Jambatan Tamparuli. -+Saya dan sekeluarga tidak
melepaskan peluang untuk merasai sendiri jambatan gantung itu. Selepas itu kami
pulang berehat untuk perjalanan pada hari seterusnya.
Dairy Farm, Kundasang |
Pada hari ketiga percutian, destinasi
yang kami tuju ialah pergi ke Pulau Manukan yang mempunyai keindahan kehidupan
marin. Kami ke sana dengan menaiki bot dan sebelum itu kami membeli tiket di
Jesselton Point. Di sini segala perkhidmatan pengangkutan air disediakan sama
ada bot atau feri. Di sini mereka telah menawarkan beberapa pakej seperti
melawat kesemua pulau yang diwartakan sebagai Taman Marin Tunku Abdul Rahman
yang merangkumi 4 pulau popular iaitu Pulau Mamutik, Pulau Manukan, Pulau Gaya
dan Pulau Sapi. Kami memilih Pulau Manukan berserta aktiviti ‘snorkelling’
memandangkan Pulau Mamutik telah ditutup pada waktu itu kerana dalam
penyelenggaraan. Sewaktu perjalanan ke pulau kami telah menikmati keindahan laut yang membiru. Sampai
di sana saya agak terpegun kerana dapat melihat kejernihan air yang menghijau
sehingga menampakan segala kehidupan di dasar laut di sekitar jeti Pulau
Manukan itu dan antara yang menarik perhatian saya haiwan Landak Laut yang
sememangnya sukar untuk dijumpai di pantai biasa terutama di kawasan
Semenanjung. Setiba di sana kami terus mencari tapak untuk berkelah dan saya
tidak melepaskan peluang untuk bermandi-manda di laut. Air lautnya yang sungguh
jernih sehingga menampakan pelbagai jenis ikan di dalamnya. Dari segi
makanannya pula di pulau ini agak mahal kerana mungkin kawasan tumpuan
pelancongan dan kami sememangnya membuat persiapan awal dengan membawa bekal. Setelah puas bermandi-manda, saya telah bersiar-siar di
kawasan pulau bagi melihat keindahan ciptaan tuhan yang sememangnya tiada
tanding nilainya. Setelah hampir 3 jam berada di Pulau Manukan, kami kembali ke
Jessolton Point untuk makan tengah hari di sebuah restoran dan solat di surau
yang disediakan. Setelah siap kesemuanya, kami meneruskan pergerakan kami ke
kawasan tumpuan di Kota Kinabalu iaitu Pasar Filipina. Di sini boleh dikatakan
hampir 65 peratus barangan yang djual adalah berkaitan kraf tangan dan barangan
tradisional masyarakat Sabah. Keluarga saya tidak melepaskan peluang untuk
membeli sebagai kenangan dan ada yang membeli sebagai cenderamata untuk kenalan
masing-masing. Setelah penat membeli-belah di Pasar Filipina, kami meneruskan
perjalanan ke Menara Jam Atkinson di mana situ mampu melihat hampir keseluruhan
Bandaraya Kota Kinabalu. Akhirnya kami pulang ke homestay setelah penat
berjalan seharian.
Pada hari keempat pula, kami meneruskan
percutian kami untuk berjalan-jalan di sekitar Bandar Kota Kinabalu. Kebetulan pada
hari itu adalah hari minggu dan kami bertuah untuk mengunjungi Pasar Tamu yang
dibuka hanya pada hari minggu dan pada waktu siang hari. Di sini pelbagai jenis
jualan boleh didapati dari jualan jenis barang basah sehingga jenis makanan
yang pelbagai dan menarik. Sememangnya ramai yang mengunjungi Pasar Tamu sehingga
sesak dan padat. Selepas puas berjalan di Pasar Tamu kami terus menuju ke
Muzium Sabah. Sebelum itu kami solat Zohor di Masjid Negeri yang merupakan
masjid terbesar di negeri Sabah. Seterusnya kami terus menuju destinasi yang
dituju iaitu Muzium Sabah. Bagi saya muzium agak besar kerana mempunyai dua
tingkat dan didalamnya mempamerkan pelbagai khazanah dan warisan yang tidak
terhad kepada warisan dan kebudayaan peribumi Sabah tetapi turut mempamerkan etnografi, arkeologi, sejarah,
numismatik, seni-sejarah, botani, koleksi zoologi dan mineralogi dari seluruh
negeri. Ini menjadikan Muzium Sabah tidak memfokuskan kepada sesebuah aspek
tetapi merangkumi kepelbagaian persekitaran dari zaman purba sehingga kemajuan
pada zaman moden ini. Pada sebelah malamnya pula, kami tidak melepaskan peluang
untuk merasai makanan laut di sebelah Pasar Filipina di sebuah kawasan lapang
yang sememangnya syurga ‘seafood’ di sini. Kami telah menjamu makanan laut
antaranya ikan bakar, kupang masak sambal, sotong goring dan banyak lagi.
Kepelbagaian juadah makanan laut di sini sememangnya menarik pengunjung yang
hadir dari dalam atau luar negara. Setelah kenyang makan, kami semua pulang
untuk berehat dan bersiap untuk pulang pada hari keesokannya.
Bandar Kota Kinabalu |
Pada hari terakhir, tidak banyak tempat yang kami tuju memandangkan
tiket berlepas kami pada jam 3.30 petang dan kami ‘checkout’ dari homestay pada
awal pagi untuk memudahkan urusan. Sebelum pergi ke Lapangan Terbang Kota
Kinabalu, kami menikmati pemandangan terkahir di Sabah iaitu di Pantai Tanjung
Aru yang hanya bersebelahan dengan lapangan terbang tersebut. Di sini angin
sepoi-sepoi menerpa kami seolah-olah tahu pemergian pulang kami. Setelah jam
menunjukkan pukul 12 tengah hari, kami kembali ke lapangan terbang dan
memulangkan kembali kereta sewa. Demikianlah sedikit
pengalaman saya bersama ketika bercuti di negeri Sabah.Jika ditanya di mana
destinasi yang saya ingin pergi kembali, sudah tentu saya mahu pergi ke negeri
Sabah kerana di sana keindahan alam semula jadi masih lagi kebanyakkannya
terpelihara dengan flora dan faunanya masih tersergam indah. Selain itu juga
masyarakat Sabah yang mempunyai berbilang kaum wujud suasana yang harmoni dan
melayani pelancong dengan baik sedikit meanarik perhatian saya untuk ke sana
lagi. Sekian pengalaman saya bersama keluarga dalam melancong setakat ini. Yang
pasti saya masih belum pernah menjejakan kaki ke luar negara dan sudah tentu
saya pula mahu membawa keluarga saya untuk melancong di luar negara kerana
itulah hasrat saya jika diberi kesempatan dan peluang pada suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment