Keluarga saya bukanlah seperti
keluarga yang lain. Yang suka pergi melancong, yang suka berjalan ke
tempat-tempat terkenal samada di dalam negara mahupun di luar negara. Mungkin
kerana abah jenis suka duduk dirumah sahaja. Namun, tidak menjadi penghalang
utama untuk keluar dari rumah, melihat keindahan ciptaanNya di muka bumi ini.
Bukanlah kali pertama melancong tetapi ini adalah salah satu cerita yang ingin
saya kongsikan kepada semua, iaitu pada tahun 2010 di Cameron
Highlands, Pahang.
Highlands, Pahang.
Waktu itu saya berusia 12 tahun
iaitu calon UPSR tahun 2010. Saya ingat lagi waktu itu saya baru pulang dari
tuisyen pada waktu lewat petang. Saya keluar bermain di hadapan rumah sekejap
sahaja kerana waktu itu sudah memasuki waktu Maghrib. Mama panggil nama saya
pulang ke rumah. Selesai mandi, saya menolong mama di dapur untuk siapkan makan
malam. Semua ahli keluarga duduk di meja makan menjamu selera. Mama dan abah
memberitahu berita gembira bahawa kami akan pergi bercuti di Cameron Highlands!
Saya dan adik perempuan saya bersorak gembira, membayangkan tempat yang sejuk
berkabus, memakai jaket tebal berbulu dan bercakap mengeluarkan asap. Tidak
dilupakan adik lelaki bongsu saya yang ketawa keriangan tidak mengetahui apa
yang berlaku sebenarnya. Mama beritahu kami akan pergi pada hujung tahun pada
bulan 12. Tetapi, mama dengan abah memberi syarat pada saya bahawa jika saya
mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang barulah dapat pergi melancong.
Saya pegang kata-kata itu dengan harapan saya belajar bersungguh-sungguh dalam
UPSR demi pergi ke Cameron Highlands!
Hari makin hari, peperiksaan makin
dekat. Kelas ganti di sekolah dan tuisyen luar makin giat dilakukan. Tiba hari
peperiksaan, saya menjawab semua soalan dengan baik. Pada hari keputusan
peperiksaan, syukur Alhamdulillah saya mendapat keputusan peperiksaan yang
cemerlang iaitu 5A. Mama dan abah amat bangga dengan keputusan saya. Ramai
mengucapkan tahniah kepada saya. Saya amat gembira kerana dapat keputusan yang
cemerlang dan seterusnya, kami dapat pergi melancong ke Cameron Highlands.
Sebelum terlupa, kami bukanlah pergi dengan keluarga kami sahaja, malah kami
pergi dengan 3 lagi keluarga lain iaitu jiran-jiran kami. Saya amat gembira
kerana dapat pergi dengan rakan-rakan jiran saya. Pada hujung minggu, kami
keluar membeli jaket dan kasut sneaker, saya punya berwarna kuning manakala
adik perempuanku berwarna biru gelap. Kami dua mendapat kasut sneaker berwarna
merah jambu.
Kami bertolak pada awal pagi sekitar
pukul 2 pagi. Mama menyuruh kami adik-beradik untuk makan dahulu takut
kelaparan semasa dalam perjalanan. Saya dan adik perempuanku tiada selera untuk
makan kerana terlalu seronok, tidak sabra untuk pergi melancong. Kami juga
memakai baju jaket baru dan kasut baru di dalam rumah. Tepat pukul 2 pagi, kami
sekeluarga bersama-sama dengan 3 keluarga yang lain bertolak menaiki kereta
menuju ke destinasi. Perjalanan kami agak jauh iaitu dari Kedah ke Pahang
menyebabkan saya dan adik saya kelaparan. Mujurlah mama membawa bekal untuk
dimakan di dalam kereta. Selesai makan, kami pun tertidur kerana menunggu
sampai ke destinasi.
Kami sampai pada waktu Subuh seingat
saya. Kami berhenti di surau yang berdekatan untuk solat Subuh. Suasana di
Cameron Highlands pada waktu awal pagi amat sejuk. Udaranya nyaman dan segar
sekali. Waktu itu baru lepas hujan. Saya ingat lagi waktu itu suhu disana
dibawah 15℃. Selesai solat Subuh, kami mencari kedai makan untuk sarapan pagi.
Kami menikmati makanan yang popular disini untuk sarapan pagi iaitu Nasi Lemak
Sambal Strawberry. Saya merasa pelik kerana buah strawberry dibuat menjadi
sambal nasi lemak. Namun, selepas merasa nasi lemak itu, rasanya sangat sedap
dan mempunyai rasa yang unik. Disertai dengan air panas teh o strawberi. Itulah
air minuman kegemaran saya selepas merasanya sehinggalah ke hari ini kerana
rasanya yang manis buah strawberi dan mempunyai bau buah strawberi. Selepas
sarapan, kami pergi ke Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands.
Mama dan abah pergi membayar tiket
masuk manakala saya dan rakan-rakan yang lain pergi melihat kecantikan
pokok-pokok bunga dan buah-buahan. Di pintu masuk seingat saya ada maskot
Mickey Mouse. Adikku berlari ke mama selepas melihat maskot itu kerana takut.
Suasana di tempat itu sangat sejuk dan segar di waktu pagi. Matahari mula
keluar dari tempat tidurnya. Suhu di tempat mencecah 17℃. Selepas membayar
tiket, kami dapat masuk ke Taman agroteknologi MARDI. Tempatnya sangat cantik
kerana mempunyai pelbagai jenis bunga-bungaan yang saya tidak pernah tengok.
Ada yang saya pernah tengok di televisyen, mungkin di kedai-kedai bunga di
kawasan perumahan saya. Antaranya ialah bunga lavender, bunga ros, bunga
hydrangea, bunga orkid dan lain-lain lagi. Tempatnya agak sedikit kabus dan
basah dengan embun pagi. Terdapat air pancut dan kolam-kolam perhiasan di
mana-mana tempat. Kawasan ini
seolah-olah berada di luar negara kerana reka bentuk bangunan ala-ala Inggeris
dan cuaca yang sejuk berkabus seperti di London! Kami mengambil gambar di arca
berbentuk teko dan cawan teh. Terdapat ladang buah strawberi, buah epal, buah
anggur, tomato, salad dan sebagainya. Pokok-pokok disini sangat sihat dengan
bunganya yang amat mekar dan buah-buahan yang membesar dengan baik. Taman
agroteknologi ini sangat luas, mungkin saya tidak dapat meneroka di pelusuk
tempat. Terdapat kiosk-kiosk kecil yang menjual pelbagai jenis makanan dan
pokok perhiasan. Saya meminta kepada abah saya untuk membeli strawberi celup
coklat, jagung kukus manis, air strawberi dan lain-lain. Usai melawati taman
ini, kami bergerak ke ladang teh.
Sesampainya kami disana, saya
melihat betapa luasnya ladang teh itu. Kawasannya agak berbukit dan tanahnya
agak sedikit lecah kerana cuaca awal pagi tadi hujan. Mujur saya memakai kasut
yang bersesusaian. Ramai orang melawat ladang teh ini untuk melihat
permandangannya yang sangat indah dengan kawasan di bukit serta udara yang
segar. Mama mengambil gambar saya dan adik-adik dengan pelbagai gaya. Entah
kemana gambar itu sekarang ini, mungkin sudah dipadam ataupun hilang. Walau
bagaimanapun, memori itu tetap segar dalam ingatanku. Saya juga bergambar
dengan rakan-rakan jiran yang lain untuk dijadikan memori kami bersama. Selepas
sesi bergambar, kami pergi ke cafe Boh untuk menikmati teh Boh yang segar diambil
dari ladang ini. Kami juga pergi ke Teh Bharat untuk membeli teh yang mempunyai
pelbagai rasa seperti teh strawberi, teh lemon, dan sebagainya. Di bawah itu
terdapat tempat penternakan sarang tebuan dalam penghasilan madu iaitu di Bee
Farm tetapi tempatnya sedikit tidak terurus dan semak samun. Oleh kerana tempat
itu agak membosankan, kami seterusnya pergi ke ladang strawberi.
Kawasan ladang strawberi amat luas
dengan buah strawberi yang masak ranum serta saiznya yang agak besar. Saya
tidak ingat nama ladang strawberi itu, mungkin di Raju Hill, maklumlah
mengimbas kembali tahun 2010. Disitulah kami memborong membeli strawberi dengan
harga yang murah. Kami dibenarkan memetik buah strawberi sendiri bagi memuaskan
permintaan masing-masing. Saya memetik buah strawberi yang besar-besar. Saya
juga berpeluang menikmati makanan yang dijual disitu misalnya waffle strawberi,
strawberi coklat, strawberi dengan krim putar, aiskrim strawberi dan
sebagainya. Saya merasakan saya telah memakan strawberi yang terlalu banyak.
Kami tidak pergi hanya satu ladang strawberi, kami seterusnya pergi ke ladang
strawberi yang lain dimana kawasan tersebut sangat tinggi bukitnya. Kami
terpaksa berjalan kaki untuk naik ke puncak sana. Harga buah strawberi sedikit
mahal berbanding yang sebelum ini. Keluargaku tidak membeli apa-apa, hanya
mengambil gambar sebagai kenangan sahaja. Manakala jiran-jiranku membeli
strawberi disini kerana kualiti buah yang tinggi bersesuaian dengan harga
berkenaan.
Walau bagaimanapun, cuaca ketika itu
membataskan pergerakan kami untuk meneruskan perjalanan. Hujan amat lebat dan
trafik agak sesak. Kami hanya mampu duduk di dalam kereta sambil makan makanan
yang dibeli di pasar. Selepas hujan sedikit reda, kami berhenti di pasar malam
untuk membeli belah sekali lagi sebelum pulang ke rumah. Banyak tempat yang
kami tidak dapat pergi, ada yang terpaksa tutup untuk kerja-kerja pembaikian,
ada yang tutup kerana cuti, dan selebihnya kerana cuaca yang tidak mengizinkan.
Kenangan inin tidak akan saya lupakan sewaktu saya kecil kerana saya anggap ini
adalah hadiah dari mama dan abah memperoleh keputusan yang cemerlang.
Tips bagi melancong dengan keluarga
ini bagi pendapat saya ialah pastikan waktu yang sesuai untuk pergi ke sesuatu
destinasi, misalnya melihat ramalan cuaca terlebih dahulu. Selain itu, tidak
disarankan pergi pada waktu-waktu kemuncak seperti cuti sekolah, hari minggu
dan sebagainya untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Jika destinasi yang
ingin dituju itu adalah kawasan yang suhunya rendah, pastikan membawa pakaian
yang sesuai seperti jaket.
No comments:
Post a Comment