Take a tour of this blog to feel the absolute experiences in Malaysia and the world.
Travelling in the company of those we love is home in motion. -Leigh Hunt
The best education you will never get is travelling. Nothing teaches you more then exploring the world & accumulating experiences. -Mark Paterson
Travel is like an endless university. You never stop learning. -Harvey Lloyd
Of all the books in the world, the best stories are found between the pages of a passport. - A. Nonymous
HOME MALAYSIA ABROAD TIPS PRESENTATION MYLINK DIGITAL LIBRARY ABOUT US

Sunday, October 13, 2019

MENGGAMIT KENANGAN TERINDAH DI LANGKAWI

Nama penulis: Norafiza Suraya Binti Md Jusoh  (A169515)





Melancong merupakan salah satu aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan antara ahli keluarga. Setiap keluarga mengimpikan percutian yang menyeronokkan iaitu satu lokasi yang dapat merehatkan minda dan mententeramkan jiwa. Setiap tahun, keluarga saya sentiasa merancang untuk melancong di sesuatu tempat yang menarik. Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan flora dan fauna yang mana menjadi lokasi tumpuan pelancong untuk berkunjung ke sesuatu lokasi tidak kira di lautan mahupun di daratan. Keunikkan negara Malaysia telah menambahkan lagi
bilangan pelancong dari tahun ke tahun. Sejak kecil lagi saya mempunyai pengalaman yang berharga bersama keluarga iaitu ketika melancong di semanjung Malaysia. Sememangnya, keluarga saya amat mementingkan ikatan kekeluargaan dan saling berinteraksi antara satu sama lain. Oleh sebab itu, saya dan keluarga berpendapat bahawa melancong dapat menambahkan lagi ikatan dan perkongsian antara kami sekeluarga. Pengalaman melancong di Pulau Langkawi sememangnya menyeronokkan bukan sahaja melawati tempat-tempat menarik tetapi boleh merasai keistimewaan yang terdapat di pulau tersebut. Saya ingin berkongsi pengalaman ketika kami melancong di suatu destinasi yang popular di Malaysia iaitu Pulau Langkawi. Sebenarnya, Pulau Langkawi antara destinasi yang sering saya kunjungi iaitu sebanyak 4 kali. Tetapi kali ini sangat berbeza kerana semua ahli keluarga saya berkumpul dan sama-sama menikmati keindahan Pulau Langkawi. Meskipun sering melancong ke Pulau Langkawi tetapi saya masih teruja dan tidak sabar untuk melawati tempat-tempat yang menarik di pulau tersebut. Mana tidaknya, walaupun berulang kali berkunjung ke destinasi tersebut tetapi mereka masih belum puas dan mahu berkunjung lagi di Pulau Langkawi.
Langkawi adalah salah satu daerah Kedah Darul Aman yang mana merupakan satu pulau yang terbesar di Malaysia. Sememangnya Pulau Langkawi kaya dengan keindahan alam semula jadi dan lagenda kisah silam iaitu menampilkan pulau ini sebagai satu tempat yang menarik dan terkenal sebagai tempat pelancongan. Destinasi ini sentiasa menjadi tumpuan pelancong disebabkan oleh keunikkannya yang tersendiri iaitu terdapat pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati di Langkawi dan memiliki pusat membeli-belah yang sering dikunjungi para pelancong. Walau bagaimanapun, sebelum pergi melancong ke Langkawi, masa yang sesuai sangat penting dan perlu diberikan perhatian. Hal ini demikian kerana, sekiranya datang musim hujan, banyak aktiviti akan tergendala.
Persiapan untuk melancong ke Pulau Langkawi telah diuruskan dengan sebaik mungkin bagi memastikan perjalanan dan segala urusan berjalan dengan lancar terutamanya ketika berada di sana. Sememangnya, melancong merupakan aktiviti wajib kepada kami sekeluarga pada setiap tahun. Sebelum kami pergi ke Pulau Langkawi, kami telah berangkat lebih awal sehari sebelum melancong ke pulau berkenaan. Kami menggunakan dua buah kenderaan untuk berangkat ke sana iaitu bertolak pada awal pagi bagi mengelakkan kesesakkan lalu lintas. Semasa perjalanan menuju ke Kedah, kami juga turut menikmati keindahan alam di Tasik Banding yang mana telah mempersonakan pandangan kami. Tumbuhan-tumbuhan hijau yang begitu indah serta tasiknya yang mengamit jiwa memberikan pengalaman terindah bagi kami sekeluarga. Keunikkan ciptaan-Nya membuatkan saya rasa bersyukur dan menghargai alam semula jadi di muka bumi ini. Oleh itu sebab itu, sebagai manusia termasuklah saya perlulah bertindak untuk menjaga dan memelihara alam sekitar supaya tidak pupus ditelan zaman.
Persediaan telah dilakukan dengan sebaik mungkin iaitu telah diuruskan oleh abang sulung saya. Misalnya dalam hal kediaman, pengangkutan dan sebagainya. Hal ini kerana segala aspek perlu diberikan perhatian iaitu menempah dengan lebih awal disebabkan kami telah memilih untuk pergi melancong pada waktu cuti persekolahan. Setelah sekian lama membuat perancangan untuk melancong bersama ahli keluarga, akhirnya kami sampai ke Jeti Kuala Perlis. Feri dari Kuala Perlis hanya mengambil masa 55 minit manakala Kuala Kedah pula mengambil masa 2 jam. Oleh sebab, abang sulung saya membuat tempahan tiket feri dari Kuala Perlis secara atas talian dengan lebih awal, maka kami sekeluarga tidak perlu risau mengenai tempat duduk semasa berada di dalam feri. Pada masa yang sama juga, abang saya turut menempah tiket balik iaitu daripada Jeti Pekan Kuah ke Jeti Kuala Perlis.  Hal ini demikian kerana untuk mengelakkan tiket feri habis dijual atau terpaksa beratur panjang di jeti terutamanya pada musim cuti persekolahan. Semasa perjalanan menuju ke Jeti Pekan Kuah, saya gembira melihat gelagat anak-anak saudara saya yang mana pertama kali menaiki pengangkutan tersebut. Mereka tidak sabar untuk sampai ke sana dan melihat sendiri keindahan Pulau Langkawi. Walaupun ramai pelancong pada ketika itu tetapi segala urusan semasa berada di jeti masih berjalan seperti biasa.
Setibanya kami di Jeti Pekan Kuah, kami disambut oleh seorang lelaki yang mana merupakan pemilik kenderaan sewa. Segala barangan telah dimasukkan dengan tersusun dan kami telah memulakan perjalanan ke tempat yang menarik di Pulau Langkawi. Destinasi pertama yang telah kami lawati ialah Kilang Gamat Nusantara. Kilang ini merupakan sebuah perusahaan yang terkenal di Pulau Langkawi yang mana mempunyai pelbagai jenis produk yang dipasarkan. Semua ahli keluarga saya begitu teruja melihat dan memilih produk yang perlu dibeli. Mana tidaknya, mereka seperti rambang mata melihat produk daripada kilang tersebut. Bukan hanya menjual ubat gamat tetapi ada juga menjual sabun gamat, gel gamat, minuman gamat dan sebagainya. Pada masa yang sama juga, pengunjung boleh melihat sendiri proses pembuatan gamat di kilang tersebut. Saya dan ahli keluarga yang lain tidak melepaskan peluang untuk melihat dan sekaligus mencuba dalam pemprosesan gamat yang mana memberikan pengalaman baharu kepada kami.



Selepas itu, kami sekeluarga tiba di rumah tamu yang ditempah atas secara talian. Saya begitu teruja melihat kediaman tersebut kerana telah dilengkapi dengan kemudahan yang baik dan cantik. Rumah tamu tersebut mempunyai tiga buah bilik dan dilengkapi bilik air. Di samping itu juga, rumah tamu itu mempunyai kolam renang yang luas dan mempunyai kelengkapan yang cukup.

Pada keesokkan harinya, setelah penat berjalan-jalan pada hari pertama, kami sekeluarga telah melawat suatu lokasi yang menarik iaitu Beras Terbakar yang mana salah satu lokasi yang perlu dikunjungi semasa berada di Pulau Langkawi. Lokasi Beras Terbakar ini ialah di Mukim Padang Matsirat. Perjalanan kami kesana menaiki van selama 20 minit daripada tempat kediaman. Keunikkan destinasi Beras Terbakar sememangnya mempunyai kisahnya yang tersendiri iaitu dikaitkan dengan sumpahan Mahsuri, seorang wanita yang tidak bersalah tetapi dizalimi dan dihukum bunuh kerana hasad dengki dan telah muncul kisah beras terbakar selepas kejadian itu berlaku. Meskipun, beras terbakar sebuah lokasi peninggalan sejarah tetapi pelbagai jenis jualan turut dipasarkan di lokasi tersebut. Saya juga berkesempatan untuk membeli buah tangan di Beras Terbakar dan harga barangan di lokasi berkenaan sangat murah dan berbaloi.


Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang terkenal di Pulau Langkawi iaitu kereta kabel Langkawi yang mana terletak di Gunung Mat Chincang. Saya dan ahli keluarga begitu teruja untuk menaiki kereta kabel tersebut. Pengalaman yang paling saya tidak boleh lupakan ialah semasa berada di atas kabel tersebut. Tiba-tiba cuaca pada ketika itu tidak menginzinkan perjalanan kami untuk sampai ke puncak. Mana tidaknya, kereta kabel pada waktu itu tiba-tiba berhenti di pertengahan. Saya dan ahli keluarga ketika itu terasa sedikit takut dan agak gementar apabila melihat kereta kabel itu terhenti dan hujan telah membasahi Pulau Langkawi. Semasa kereta kabel itu terhenti, saya boleh merasakan kereta kabel berkenaan bergoyang disebabkan angin yang kuat. Tidak lama selepas tu, kereta kabel kami kembali bergerak ke puncak. Saya dan ahli keluarga bersyukur kerana semua pelancong telah selamat sampai ke puncak. Walaupun kabus melindungi penglihatan kami untuk melihat keluasan Pulau Langkawi pada ketika itu tetapi kami sekeluarga tetap teruja untuk melihat keindahan dari puncak tersebut. Semasa dalam perjalanan pulang pula, kereta kabel kami sekali lagi berhenti dipertengahkan. Kali ini disertai rebut dan kilat yang mana telah membataskan perjalanan kami untuk turun ke lokasi seterusnya. Bagi saya, pengalaman sebegini tidak semua pelancong boleh merasakan. Walau bagaimanapun, keindahan Gunung Mat Chincang sangat memukau pandangan kami dan tumbuh-tumbuhan hijau yang mampu mendamaikan hati para pelancong termasuklah kami sekeluarga.
Pada sebelah petang pula, saya dan ahli keluarga berangkat ke sebuah lokasi yang mana ditempatkan bot-bot untuk pergi ke Tasik Dayang Bunting. Kami menaiki sebuah bot dengan dilengkapi jaket keselamatan dan diuruskan oleh seorang pekerja disana. Perjalanan ke tasik tersebut mengambil masa yang agak lama kerana perlu mengharungi cerun dan tangga yang tinggi untuk sampai ke sana. Walaupun penat, kami begitu gembira dan kagum melihat keindahan tasik tersebut dan keistimewaannya ialah tidak ada ditempat lain. Pengalaman yang paling berharga bagi kami sekeluarga adalah melihat burung helang di Pulau Langkawi. Kami mengambil peluang untuk memberi makanan kepada burung helang dan tidak sampai satu minit, burung helang itu datang berhampiran bot kami.




Lokasi yang seterusnya ialah mandi manda di Pulau Beras Basah yang mana destinasi yang sangat menyeronokkan. Tambahan lagi, air yang jernih di pulau tersebut memudahkan kami untuk menyelam dan melihat kehidupan di dalam laut. Pengalaman mandi manda di Pulau Beras Basah sangat seronok menyebabkan saya dan keluarga ingin berkunjung lagi di lokasi tersebut.

Pada waktu malam pula, kami telah berkunjung ke Pekan Kuah untuk membeli belah. Oleh sebab Pulau Langkawi dikenali sebagai lokasi bebas cukai, sudah pasti para pelancong tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan di Pulau Langkawi. Harga barangan di sana sangat murah dan berpatutan. Saya dan keluarga juga telah berkunjung ke sebuah perusahaan yang terkenal di pulau tersebut iaitu dikenali sebagai Kompleks Haji Ismail Group. Perusahaan ini telah menjadi tumpuan pelancong tempatan serta pelancong asing iaitu menjual pelbagai jenis coklat yang menarik dan barangan dapur yang bermutu tinggi.
Hari terakhir kami di Pulau Langkawi ialah kami telah berkunjung ke suatu lokasi yang sering menjadi tumpuan pelancong iaitu Pantai Cenang. Pantai ini sememangnya mempunyai pelbagai aktiviti yang menarik khususnya untuk golongan orang muda. Keindahan pantainya begitu cantik dan mempersonakan menambahkan lagi bilangan pelancong untuk berkunjung ke Pantai Cenang.


Seterusnya, Makam Mahsuri merupakan lokasi yang wajib dilawati. Hal ini demikian kerana, sejarah kisah silamnya menjadi bualan orang ramai dan ditempatkan muzim yang boleh dilawati bagi sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kisah tersebut. Saya dan ahli keluarga turut berkunjung ke gerai berdekatan untuk membeli buah tangan sebagai tanda kenangan kepada sanak saudara dan rakan-rakan. Akhirnya, kami berangkat pulang meninggalkan Pulau Langkawi dan menaiki boat di Jeti Pekan Kuah.
Pengalaman melancong sememangnya membawa sebuah kebahagiaan kepada kami sekeluarga. Sememangnya, kami memilih untuk melancong ke Pulau Langkawi kerana tempat ini sesuai untuk bersama keluarga bukan hanya boleh melawati tempat-tempat bersejarah malahan boleh membeli-belah di pusat bandar yang menjadi tumpuan para pelancong. Bagi saya, masa bersama keluarga terlalu berharga dan tidak mungkin saya sia-siakan. Oleh sebab itu, melancong adalah salah satu cara untuk meluangkan masa bersama keluarga tersayang.

No comments:

Post a Comment