Take a tour of this blog to feel the absolute experiences in Malaysia and the world.
Travelling in the company of those we love is home in motion. -Leigh Hunt
The best education you will never get is travelling. Nothing teaches you more then exploring the world & accumulating experiences. -Mark Paterson
Travel is like an endless university. You never stop learning. -Harvey Lloyd
Of all the books in the world, the best stories are found between the pages of a passport. - A. Nonymous
HOME MALAYSIA ABROAD TIPS PRESENTATION MYLINK DIGITAL LIBRARY ABOUT US

Sunday, October 13, 2019

MELAKA, NEGERI WARISAN

Nama penulis: Muhammad Yazid Bin Samion (A169846)


            Bandar Hilir Melaka menjadi destinasi pelancongan buat kami sekeluarga pada Mac 2013. Percutian pada kali ini adalah percutian sempena meraikan kejayaan abang saya yang mendapat keputusan yang cemerlang peringkat SPM. Ayah saya memilih lokasi ini kerana Melaka adalah berdekatan dengan rumah kami iaitu di Muar Johor. Kami bercadang untuk melancong pada waktu
malam kerana kami ingin menikmati keindahan bandar hilir pada waktu malam yang serba bewarna-warni.
            Mengenai persiapan kami sebelum melancong adalah serba sederhana kerana kami hanya melancong satu hari pada waktu malam. Kami bertolak dari rumah pada jam 5 petang selepas menunaikan solat asar. Destinasi pertama yang kami tiba adalah di Masjid Selat Melaka untuk menunaikan solat waktu magrib dan menyaksikan keindahan matahari terbenam. Lokasi Masjid ini adalah di tepi pantai dan sangat strategik untuk menyaksikan keindahan matahari terbenam. Melihat kejadian alam  ini sungguh memukau mata kami yang melihatnya. Seusai melihat keindahan matahari terbenam, kami tiba di Sungai Melaka atau Melaka River Cruise dan kami meletakkan kenderaan di Kampung Morten untuk melihat dengan lebih dekat keunikan rumah tradisional di Melaka. Kampung ini terletak di tengah bandaraya Melaka. Kampung Morten merupakan satu-satunya kampung melayu yang masih kekal di bandaraya Melaka. Ayah saya menyatakan bahawa nama Kampung Morten diambil sempena nama Pesuruhjaya Inggeris iaitu Morten yang membina kampung ini. Oleh itu, penduduk di sini menamakan kampung ini sebagai Kampung Morten. Suasana di kampung ini amatlah bersih kerana sangat dijaga dengan penuh rapi serta kedengaran bunyi deruan bot River Cruise yang membelah Sungai Melaka. Kelihatan setiap ceruk rumah di kampung ini dipenuhi dengan lampu-lampu hiasan memeriahkan lagi keindahan kampung ini seolah-olah berada pada waktu malam raya.
            Setelah puas melihat keunikan Kampung Morten kami pergi ke jeti muara untuk menaiki bot yang meredah Sungai Melaka. Bot dari jeti muara ini akan pergi ke jeti Taman Rempah dan akan kembali ke jeti muara. Kami dimaklumkan bahawa perjalanan pergi dan balik memakan masa sekitar 45 minit sahaja. Di sini juga terdapat kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) di atas River Cruise. Secara jujurnya saya tidak mengingati mengenai harga tiket yang dikenakan kerana pada waktu itu ayah saya yang membayar keseluruhan harga tiket. Ketika menaiki River Cruise kelihatan banyak bangunan bersejarah, gudang, kampung morten, gereja dan kedai kedai makan.
            Destinasi kami yang seterusnya adalah melancong ke Bandar Hilir Melaka lebih kurang jam 10.30 malam selepas selesai menaiki River Cruise. Setibanya di Bandar Hilir kelihatan bangunan-bangunan di sini berwarna-warni yang sangat cantik dan juga beca yang berwarna-warni yang sedia menerima pelanggan untuk bersiar-siar mengelilingi Bandar Hilir. Destinasi kami yang pertama yang kami lawati adalah di Kota A Famosa. Kota A Famosa merupakan peninggalan Portugis yang dibina oleh Alfonso Alburqueque pada masa dahulu yang menjadi kemegahan Portugis. Bangunan Kota A Famosa sangatlah unik kerana bangunan di sini menggunakan batu laterit dan bukan menggunakan batu bata. Terdapat kubur-kubur pembesar Portugis yang ditanam di Kota A Famosa.
            Seterusnya kami pergi ke Jonker Walk sebagai destinasi pelancongan terakhir kami sekeluarga memandangkan jam pada waktu itu menunjukkan sekitar pukul 11 tengah malam. Tujuan kami pergi ke Jonker Walk adalah sebagai membeli sedikit cenderahati sebagai tanda kenang kenangan melancong di Bandar Hilir Melaka. Pada jam yang sudah menunjukkan pukul 11 masih ramai lagi pelancong yang membeli belah di sini. Terdapat banyak kedai-kedai yang menjual barangan antik, tekstil, makanan, kraftangan dan cenderahati. Saya hanya membeli Keychain yang bertulis A Famosa. Lebih kurang jam 12 tengah malam kami pulang ke rumah akak saya di Bukit Katil, Melaka untuk bermalam di sana sebelum pulang ke rumah.
            Kesimpulannya, pengalaman melancong ke Bandaraya bersejarah Melaka amat berharga bagi diri saya kerana saya dapat mengetahui banyak pengetahuan sejarah lampau di tanah melayu suatu ketika dahulu. Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya akan mencontohi semangat juang tanpa berputus asa dalam kalangan pejuang tanah air melayu demi mempertahankan tanah air yang tercinta agar dapat menjadikan saya seorang rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri yang kukuh serta semangat patriotik yang tinggi.


No comments:

Post a Comment