Cuti
semester bakal tiba tidak lama lagi. Setelah berjuang dan berhempas pulas
selama enam bulan, kini tiba masanya untuk saya beristirehat bersama keluarga
yang tercinta. Memandangkan bapa saya merupakan anak jati Johor, saya telah
mencadangkan kepada ahli keluarga saya untuk bercuti di Johor Bahru. Walaupun kami selalu pulang ke Johor Bahru
untuk menziarahi atuk dan nenek kami di
Kampung Majidee, tapi kali ini kami pulang ke Johor Bahru untuk bercuti sambil jalan-jalan cari makan “JJCM”.
Kampung Majidee, tapi kali ini kami pulang ke Johor Bahru untuk bercuti sambil jalan-jalan cari makan “JJCM”.
Johor
Darul Takzim merupakan sebuah negeri
yang sedang pesat membangun, kaya dengan pelbagai keunikan dan tarikan
pelancong. Sekiranya anda ingin mencari tempat pelancongan di Malaysia yang
terdiri daripada keindahan pulau, pantai dan gunung, keenakan dan keasilan
makanan tempatan, mahupun bangunan-bangunan yang tersegam indah dan monumen
bersejarah, Johor adalah antara negeri yang patut anda lawati. Namun, pada
percutian bersama keluarga saya kali ini kami hanya akan ke Johor Bahru yang
merupakan ibu negeri Johor. Kami akan singgah
di beberapa daerah untuk menikmati keindahan makanan-makanan tradisi orang
Johor. Di samping itu, Johor Bahru juga
terdapat banyak tempat-tempat yang menarik yang boleh dilawati bersama keluarga
anda.
Anda tidak akan salah untuk memilih
destinasi Johor Bahru sebagai destinasi pelancongan anda bersama keluarga
mahupun bersama rakan-rakan anda. Ini kerana, saya akan menceritakan pengalaman
saya sepanjang bercuti di Johor Bahru. Secara tidak langsung, anda akan jatuh
cinta dengan keindahan negeri Johor malah akan menjadi satu keinginan untuk
bercuti di negeri yang gah ini.
Sebelum itu, mari kita ketahui tips-tips
penyediaan sebelum bercuti, semasa dan selepas bercuti bersama keluarga. Melalui
tips ini anda akan lebih teratur dan gembira bercuti bersama keluarga mahupun
bersama rakan-rakan anda. Semasa saya memilih negeri Johor Bahru Darul Takzim
sebagai destinasi pelancongan kami, saya telah melakukan sedikit penyelidikan
terhadap negeri tersebut. Dengan dunia yang serba canggih ini, kita hanya boleh
mendapatkan segala maklumat di hujung jari sahaja. Ya, saya tahu bahawa anda
akan berkata “eh sebentar tadi dia mengatakan bapanya anak jati Johor”, tetapi
dengan sedikit penyelidikan ini saya dapat mengetahui tempat-tempat baru yang
menarik yang boleh kami terokai bersama-sama.
Tip kedua ialah menempah hotel
seminggu atau sebulan sebelum percutian anda. Ini bagi memudahkan kita untuk memilih
hotel yang bersesuaian dengan harga yang berpatutan dengan keluarga kita. Pada zaman teknologi canggih ini, kita boleh
mencari bermacam-macam maklumat mengenai tempat-tempat penginapan yang
bersesuaian dengan citarasa kita dan mengikut bajet kita melalui
aplikasi-aplikasi yang sedia ada seperti trivago, traveloka, Kayak dan
sebagainya.
Seterusnya,
pemeriksaan terhadap kenderaan kita amat penting sebelum memulakan perjalanan agar ianya dijamin selamat. Sebagai
contohnya, memastikan tayar berada dalam keadaan baik, memeriksa minyak brek,
minyak hitam dan sebagainya. Perjalanan ke Johor Bahru akan mengambil masa
selama 4 jam dan bapa saya akan memastikan segala urusan kereta kami akan
berada dalam keadaan baik. Disamping itu juga, bapa saya akan menyediakan air
mineral dan makanan ringan supaya kami tidak akan merasa lapar atau dahaga
sepanjang perjalanan kami nanti. Namun, kemudahan seperti solat, tandas dan jika
kita mengalami keletihan sewaktu memandu boleh lah berhenti seketika di kawasan rehat dan rawat atau lebih dikenali sebagai
R&R yang disediakan. Malaysia merupakan satu negara yang terbaik kerana
menyediakan kemudahan kawasan rehat dan rawat (R&R) yang sangat selesa
untuk pengguna lebuh raya jika dibandingkan dengan negara luar.
Kalander pada telefon pintar saya
menunjukkan bahawa tarikh percutian kami semakin hampir. Saya dan seluruh ahli
keluarga saya tidak sabar dan sangat teruja untuk bercuti bersama-sama. Pada
hari yang dinantikan telah tiba dan kami telah merancang untuk berkumpul di tol
Kajang sebelum bertolak ke destinasi pertama kami iaitu Muar. Kami tidak sabar untuk bersarapan di sana dan
menikmati makanan seperti mee bandung Muar, satay warisan, roti bakar kawin dan
mee rebus. Juga menikmati kehangatan
kopi 434 yang terkenal di sana.
Muar merupakan sebuah bandar yang menarik
untuk dikunjungi tidak kisahlah dari sudut makanan atau sudut tempat tarikan,
ianya merupakan antara destinasi pelancongan utama di Johor. Ia juga dikenali
sebagai Bandar Maharani, bandar bersejarah yang mempunyai tarikan alam semula
jadi yang istimewa seperti misteri Gunung Ledang dan pemandangan cantik di
Pantai Leka. Perjalanan kami ke Muar mengambil masa selama
satu jam setengah. Setibanya kami di Pekan Muar, kami telah singgah di restoran
Abu Bakar Hanifah untuk menikmati minum pagi bersama-sama. Restoran Abu Bakar Hanifah menyajikan mee
bandung Muar yang sukar didapati di mana-mana. Ini kerana, keistimewaan utama
terletak pada kuahnya yang dikatakan sangat seimbang rasanya, dan menjadikannya
enak tak terkata. Nama restoran Abu Bakar Hanifah sudah tidak asing lagi di
kalangan pencinta mee bandung, terutamanya mee bandung Muar. Malah, anda juga
boleh mendapatkan perencah mee bandung di sini, terubat juga rindu pada mee
bandung ini apabila kita pulang ke rumah. Masa beroperasi Restoran Abu Bakar
Hanifah adalah pada setiap hari dan dibuka seawal pukul 7 pagi sehingga petang.
Setelah
itu, kami telah singgah ke Restoran murtabak JD Singapore bagi menikmati
kelazatan murtabak Singapore. Bagi sesiapa yang ingin melancong ke Johor,
jangan lepaskan peluang untuk menikmati murtabak Singapore. Sekiranya anda
mencari murtabak bersaiz besar, sini adalah tempatnya. Restoran ini dikatakan
restoran pertama yang membawa murtabak Singapore ke Muar. Malah, jangan khuatir
terdapat pelbagai pilihan saiz murtabak yang boleh kita nikmati bersama
keluarga. Yang membuatkan murtabak Singapore ini istimewa adalah sos cilinya
kerana sos cilinya dibuat sendiri. Jadi, rasanya mestilah lebih asli dan enak.
Rasa ketebalan dengan inti daging atau ayam yang padat membuatkan murtabak itu
sedap, dan dicicah dengan sos cilinya menjadikan kita termimpi-mimpi sewaktu
tidur.
Setelah
itu, kami telah meneruskan perjalanan ‘jalan-jalan cari makan’ kami ke Sai Kee
kopi 434. Sai Kee kopi 434 merupakan sebuah café yang wajib dikunjungi apabila
datang ke Muar. Sebaik sahaja kami melangkah ke dalam café tersebut, kami sudah
jatuh cinta dengan aroma kopi yang mengasyikkan. Tidak dapat dinafikan bahawa,
ramai pelanggan yang datang ke café ini menggemari kopi yang disediakan kerana
mereka menggunakan resepi turun-termurun. Kopi kegemaran pelanggan yang sering
datang ke café ini adalah ‘Elephant Coffee’ dan ia enak dimakan bersama roti
bakar. Rasa kepekatan dan tidak terlalu pahit, memang sempurna. Kami sangat
berpuas hati dan jatuh cinta dengan keenakkan dan kelazatan makanan-makanan
yang terdapat di Muar ini. Namun, di sebabkan perut kami sudah kenyang kami
memutuskan untuk meneruskan perjalanan kami iaitu ke Batu Pahat. Kami akan mengunjungi Muar lagi untuk menikmati
asam pedas yang amat terkenal di sana.
Setelah
beberapa jam kami berpusing-pusing dan menikmati kelazatan makanan di Muar,
kami meneruskan perjalanan kami ke Batu Pahat untuk menikmati makanan tengah
hari iaitu nasi briyani. Sekiranya anda bercuti ke Johor Bahru, nasi briyani
merupakan makanan wajib anda patut rasa bersama keluarga mahupun rakan-rakan
anda. Batu Pahat terkenal dengan masakan
nasi briyani yang sangat sedap. Setibanya kami di Batu Pahat kira-kira pada
pukul dua petang, bapa saya telah membawa kami ke Medan Selera Peserai yang terletak
berhadapan Hospital Pakar Putra. Di
sinilah terletaknya nasi briyani terkenal iaitu nasi briyani Mohd Shah. Kedai
ini sangat terkenal di Batu Pahat. Sebut sahaja nasi briyani Mohd Shah pasti
ramai yang akan kenal. Bukan sahaja dikenali oleh penduduk tempatan, malahan
dari Melaka, Kuala Lumpur, Singapura turut datang ke Batu Pahat semata-mata
ingin menikmati nasi briyani dari gerai Mohd Shah ini. Gerai Mohd Shah ini
dibuka seawal lapan pagi. Yang membuatkan kedai ini lain daripada yang lain
adalah, kedai ini dibuka sehingga pukul sepuluh malam, namun lauk sudah habis
seawal pukul dua petang. Ini menunjukaan bahawa kedai nasi briyani Mohd Shah
ini sangat dikenali dan menjadi pilihan orang ramai. Keistimewaan nasi briyani
Mohd Shah ini adalah pada lauk daging, kambing dan ayamnya yang sangat lembut
dan banyak. Rempah yang digunakan untuk memasak lauk juga terasa enaknya kerana
telah dimasak dalam tempoh yang lama agar rasanya sebati di dalam lauk. Kalau
nak tambah keenakan nasi briyani tersebut, boleh lah ditambah dengan acar buah
yang disediakan.
Setelah menikmati kelazatan makanan
di kedua-dua daerah ini, kami meneruskan perjalanan ke Johor Bahru untuk
mendaftar masuk di tempat penginapan kami yang terletak tidak jauh daripada
pusat bandar. Kami mengambil beberapa jam untuk berehat dan membersihkan badan
kerana keletihan sewaktu perjalanan ke Johor Bahru.
Pada pukul
4.30 petang, kami telah pergi ke JPO iaitu Johor Premium Outlet yang terletak
di daerah Kulai tidak jauh dari tempat penginapan kami. Siapa sahaja yang tidak
kenal akan JPO. Bagi sesiapa yang kaki membeli belah pasti tidak ketinggalan
untuk berkunjung ke JPO kerana harga yang ditawarkan agak murah daripada harga
di pusat beli belah. Johor Premium Outlet dibuka pada tahun 2011, tempat ini
antara pusat membeli belah yang terkenal dengan menjual barangan yang berjenama
mewah dan eksklusif dengan harga yang berpatutan. Tambahan pula, hampir setiap
hari kedai-kedai di sini menyediakan potongan harga dari 25% hingga 65%. Pada
musim perayaan, pasti JPO ini dikunjungi ramai pelanggan kerana mereka mungkin
berpeluang untuk mendapatkan barangan mewah dengan potongan harga sebanyak 90%.
Potongan harga yang ditawarkan ini membuatkan orang ramai lebih tertarik untuk
singgah ke JPO. Termasuklah kami yang tidak melepaskan peluang untuk membeli
belah di JPO ini.
Setelah berjalan-jalan dan membeli
belah di JPO kami telah pergi ke Senibong untuk makan malam bersama-sama.
‘Senibong Seafood Village’ merupakan lokasi terkenal dengan makanan laut.
‘Senibong Seafood Village’ terdapat beberapa restoran yang menyediakan masakan
laut dalam satu kawasan. Pelanggan boleh memilih kedai mana yang ingin mereka nikmati
mengikut cita rasa masing-masing. Konsep yang disajikan daripada kesemua kedai
yang terdapat di sini adalah dari segi pilihan makanan ‘seafood’yang hampir
sama. Antara makanan yang laut yang disajikan adalah ketam, sotong, udang,
pelbagai jenis ikan dan sebagainya untuk dipilih oleh pelanggan. Malah, tanda
harga juga di letakkan untuk setiap makanan segar ini supaya para pelanggan
dapat menikmati makanan laut melakukan
bajet mereka. Kami telah memilih kedudukan meja makan kami menghadap Selat
Tebrau, sambil menikmati makanan laut
yang lazat, kami juga dapat menikmati sepoi-sepoi angin dari selat tersebut.
Ibu saya telah membuat pilihan terhadap makanan yang disajikan kepada kami
sekeluarga melalui ‘menu’ yang disediakan. Ibu saya telah memesan set kombo
yang menawarkan makanan untuk tujuh ke
sembilan orang. Sementara menunggu hidangan sampai, kami mengambil kesempatan
untuk menikmati dan mengambil gambar kenangan
pemandangan Selat Tebrau yang dimandikan dengan cahaya dari negara jiran
Singapura. Tempat makan di sini sungguh selesa dan dijaga dengan bersih. Hari
sudah menunjukkan lewat malam, badan kami sudah mula merasa amat letih. Kami
pulang ke tempat penginapan kami untuk berehat dan tidak sabar untuk menunggu
hari keesokkannya.
Pada keesokkan harinya, kami telah
pergi ke medan selera bomba Larkin untuk menikmati sarapan pagi di situ.
Setelah membuat penyelidikan, ramai yang mengatakan bahawa perkara yang wajib
apabila tiba di Johor Bahru adalah untuk menikmati kacang pool Haji Larkin
Bomba yang terletak di medan selera Larkin. Medan selera ini beroperasi
daripada tujuh pagi sehingga satu pagi. Kacang pool Haji Larkin Bomba merupakan
salah satu tempat makan di Johor Baru yang patut anda nikmati. Ianya terletak
di medan selera Larkin. Medan selera ini beroperasi dari pukul tujuh pagi
sehinggalah satu pagi.
Apakah
itu kacang pool? Kacang pool merupakan makanan yang berasal dari Timur Tengah.
Namun, kacang pool yang ada di Malaysia sedikit berbeza. Di Timur Tengah, ianya
mungkin menggunakan telur rebus atau tiada telur. Tetapi, di Johor, anda dapat
lihat telur mata yang digoreng separuh masak diletakkan di tengah-tengah kacang
pool. Biasanya kacang pool ini dimakan
bersama roti bakar. Kuahnya yang pekat adalah hasil daripada kacang sama
seperti yang digunakan oleh masyarakat Timur Tengah. Kuah ini juga adalah
gabungan daripada daging. Sedikit berbeza dengan versi yang ada di Timur Tengah
di mana ianya adalah sayuran kebiasaannya.
Kembali
kepada kacang pool yang terdapat di medan selera ini adalah, menu kacang pool yang
merupakan ilham dari Tn. Hj Makpol Kairon. Set lengkap kacang pool pula terdiri daripada
roti bakar lembut, telur mata lembu dan semangkuk kuah pekat kacang pool.
Malah, di medan selera ini juga terdapat pelbagai pilihan makanan iaitu mee
rebus, air batu campur, kacang pool dan sebagainya. Di sini juga terdapat kedai
yang menjual t-shirt dan barangan cendaramata dari negeri Johor yang merupakan
salah satu daya tarikan pelancong. Ramai pelancong akan mengambil kesempatan
untuk membeli barangan ini untuk dijadikan sebagai cenderamata untuk keluarga
dan rakan-rakan di rumah.
Selepas mengisi perut kami meneruskan
percutian kami dengan melawat kawasan-kawasan yang menarik di sekitar Johor
Bahru. Destinasi pertama kami adalah Istana Bukit Serene . Bagi sesiapa yang
datang ke Johor Bahru, perkara pertama yang akan anda lihat adalah istana yang
tersegam indah. Istana Bukit Serene merupakan sebuah istana diraja dan kediaman
rasmi buat Sultan Johor sejak 1998, istana ini terletak di atas Bukit Serene
dan boleh dilihat dari Danga Bay. Laman
mahkota yang terletak di hadapan pagar utama Istana Bukit Serene juga merupakan
satu lagi mercu tanda Diraja yang menarik.
Landskap tamannya yang cantik
selalu dijadikan tempat untuk upacara diraja. Di samping itu, Angkatan Tentera
Johor bertugas untuk melindungi istana ini. Walaupum Istana Bukit Serene tidak
dibuka untuk kunjungan awam, ramai yang gemar datang ke sini untuk bergambar
dan melihat sendiri keindahan istana ini. Kami mengambil kesempatan untuk
mengambil foto sebanyaknya untuk dijadikan kenangan bersama.
Setelah
penat mengambil gambar, kami meneruskan perjalanan kami ke Masjid Sultan Abu
Bakar, Johor Bahru untuk menunaikan solat zohor. Kami mengambil kesempatan
untuk solat di masjid yang tersegam indah ini. Masjid yang dirasmikan pada
tahun 1900 oleh Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar ini juga merupakan masjid
negeri Johor. Mengambil nama semepena Almarhum Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim,
masjid ini dibina mengikut seni bina Islam Barat dan mempunyai empat buat
Menara di setiap sisi masjid. Masjid ini mampu menampung sehingga 3,000 umat
Islam dalam satu masa, malah tidak rugi untuk datang ke sini untuk bersolat dan
berehat bersama penduduk-penduduk tempatan di sini. Saya berasa sangat tenang
dan bangga dengan seni bina masjid ini.
Setelah menunaikan solat, kami
menuju ke restoran Abah Briyani House untuk makan tengah hari. Abah Bryiani
House ini teletak di Bandar Baru Uda berdekatan dengan LHDN. Restoran Abah
Briyani House ini sering kali dipenuhi dengan pelanggan dari Johor mahupun dari
negeri-negeri lain. Ini kerana, restoran Abah Briyani House ini mempunyai
konsep kedai makan ala-ala arab namun dihidangkan dengan nasi briyani. Kami
telah memesan pelbagai jenis lauk antaranya lauk ayam, daging dan daging
kambing. Set ini didatangkan bersama papadom, jelatah timun nenas, kuah kari
dan yang menambat hati kami adalah restoran ini menghidangkan telur pindang
bersama nasi briyani. Bapa saya telah memesan air sirap bandung sebagai air
minuman. Air bandung merupakan air yang wajib di minum bersama nasi briyani.
Katanya tidak ‘kick’ sekiranya tidak minum air bandung. Secara keseluruhannya,
nasi briyani di sini sungguh enak dari nasinya, lauk sehingga ke air. Nasi
briyani di sini telah menambat hati kami sekeluarga dan bakal menjadi tempat
kegemaran kami sekeluarga apabila datang ke Johor.
Seterusnya, kami telah pergi ke
Danga Bay, Johor Bahru sebelum pulang ke tempat penginapan untuk membersihkan
badan dan rehat seketika. Bagi sesiapa yang datang Johor Bahru pasti tahu
tentang Danga Bay. Ya lah siapa tidak kenal dengan tempat ini yang menjadi
tumpuan penduduk Johor Bahru tidak kira siang atau malam. Kawasan perairan yang
giat membangun ini menyediakan pelbagai tarikan seperti tempat rekreasi,
aktiviti kebudayaan, dan taman permainan untuk kanak-kanak. Selain itu,
terdapat banyak pilihan makanan di sini di mana pelancong boleh memilih
daripada gerai tepi jalan sehingga ke restoran mewah bertaraf lima bintang.
Namun, di sebabkan kami telah makan tengah hari di Restoran Abah Briyani House
kami hanya berjalan-jalan dan tangkap gambar sahaja sebagai kenangan. Malah, terdapat
Danga City Mall iaitu pusat membeli belah yang terletak berdekatan dengan
kawasan ini. pemandangan indah dengan limpahan lampu pada waktu malam, pelbagai
pilihan makanan, dan angin nyaman dari laut. Danga Bay sudah pasti menjadi
salah satu tempat yang wajib dilawati jika anda datang ke Johor Bahru. Kami
pulang ke tempat penginapan untuk rehat dan bersihkan badan. Ini kerana, pada
malam hari kami akan pergi ke Bazar Karat, Johor Bahru yang dikenali oleh orang
ramai.
Tepat pukul 10.00 malam kami sekeluarga
memutuskan untuk pergi ke Bazar Karat, Johor Bahru untuk malam terakhir kami di
sini. Kami memilih masa yang agak lewat, kerana Bazar Karat merupakan sebuah
uptown yang makin lewat malam makin meriah. Kami tidak melepaskan peluang untuk
merasakan pengalaman itu sendiri. Walaupun, nenek, ibu dan bapa saya telah
meningkat usia, mereka tetap menyokong kami dan ikut sahaja apa yang kami
sekeluarga mahukan. Bagi peminat ‘uptown’ atau pasar malam, anda boleh datang
ke sini pada setiap hari. Kemeriahan kehidupan malam di sini telah menarik
perhatian penduduk sekitar mahupun Singapura untuk datang menikmati suasana di
sini. Terdapat pelbagai jenis barangan dijual di sini, antaranya pakaian,
cenderamata, kasut, sandal, wangian dan bermacam lagi. Bazar Karat ini menjadi
tumpuan ramai kerana pengunjung boleh tawar menawar ketika berurus niaga dengan
penjual di sini. Selain itu, anda boleh berehat di gerai-gerai makanan yang
terdapat di sekitar bazar ini sambil menikmati dendangan persembahan muzik
jalanan yang berbakat. Bagi peminat barangan bundle dan rare, Bazar Karat pasti
menjanjikan satu pengalaman yang berharga untuk anda mencari barang-barang
pilihan anda. Kami telah membeli beberapa baju t-shirt berlogo JDT sebagai kenangan.
Setelah penat berjalan di Bazar
Karat, kami telah singgah di restoran Banafee Village, Johor Bahru untuk
makan-makanan ringan sambil bersembang bersama ahli keluarga. Jangan risau,
restoran Benafee Village di buka 24 jam, jadi bagi sesiapa yang melacong di
Johor Bahru yang ingin makan lewat malam namun mahukan makanan selain daripada
mamak boleh la singgah di sini. Terdapat pelbagai pilihan makanan yang
disajikan di sini. Antaranya, masakan arab, minang, goreng-gorengan, makanan
barat sehingga seafood. Suasana di sini sungguh selesa, nyaman dan sangat luas.
Malah, di sini juga terdapat hiburan yang disajikan kepada para pelanggan yang
kunjung ke restoran ini. Tidak salah, restoran ini dijadikan sebagai destinasi
makan bersama keluarga mahu pun rakan-rakan. Namun, diingatkan bahawa makanan-makaann
yang disajikan di sini agak mahal tetapi rasanya sungguh enak. Kami telah
pulang ke tempat penginapan kami untuk berehat kerana pada keesokkan harinya
kami akan pulang ke Kuala Lumpur.
Pada hari terakhir kami di Johor
Bahru, sebelum bertolak ke Kuala Lumpur kami telah membeli kuih putu piring
yang terkenal di Jalan Langkasuka, Larkin.
Kedai ini beroperasi di dalam kawasan rumah pemiliknya dan menyediakan
pandu lalu untuk pelanggan yang datang menggunakan kereta. Selain itu, terdapat
pelbagai jenis kuih yang dijual di sini. Antaranya, naga sari, donut, lepat
pisang, epok-epok dan banyak lagi. Selepas membeli putu piring, kami juga singgah
ke Restoran Murtabak Majid, Kampung Kurnia. Restoran ini terletak di tepi jalan raya.
Restoran ini menyediakan pelbagai pilihan makanan kepada pelanggan-pelanggan.
Istimewa di restoran ini adalah murtabak cheese. Murtabak di sini menawarkan
tiga pilihan iaitu murtabak daging, murtabak ayam dan murtabak kambing. Murtabak
di sini juga menawarkan murtabak biasa, spesial dan jumbo. Malah, ia juga boleh
ditambah cheese. Setiap satu jenis ini harganya adalah berlainan.
Kami merasa sangat berpuas hati
dengan percutian kami pada kali ini.
Walaupun hanya 3 hari 2 malam, ianya meninggalkan satu kenangan yang
sungguh menyeronokkan. Disamping itu
hubungan kekeluargaan kami semakin erat.
Malaysia mempunyai banyak destinasi percutian dan kita tidak perlu
menghabiskan wang dan masa untuk keluar negara untuk bercuti.
No comments:
Post a Comment