Sejak
kecil lagi sehingga sekarang, setiap kali tibanya cuti sekolah, saya dan
keluarga sering meluangkan masa bersama-sama berkunjung ke pantai yang terdapat
di negeri Kelantan. Walau bagaimanapun, pada cuti sekolah penggal kedua tahun
2015, saya dan keluarga merancang untuk bercuti di Pulau Langkawi, Kedah selama
1 minggu.
Saya memilih Pulau Langkawi disebabkan terdapat banyak tempat menarik dan bersejarah yang boleh dikunjungi bersama-sama keluarga. Saya dan keluarga merancang untuk bertolak pada 31 Mei 2015 selepas habis sahaja peperiksaan pertengahan tahun. Saya mula membuat persiapan awal sejak dua bulan daripada tarikh bertolak ke sana kerana pada masa tersebut kemungkinan penginapan serta pengangkutan penuh disebabkan tibanya musim cuti sekolah. Saya mula membuat tempahan penginapan untuk empat hari tiga malam di Cenang View Hotel. Saya dan keluarga merancang untuk bertolak satu hari lebih awal dengan menaiki kereta sebelum menumpang untuk semalaman di rumah saudara sebelah ayah. Keesokkan barulah kami menaiki feri di Jeti Kuala Kedah untuk ke Pulau Langkawi. Seminggu sebelum tarikh bertolak, saya serta ahli keluarga masing-masing mula mengemas barangan yang ingin dibawa semasa bercuti. Hal ini bagi mengelakkan kami sekeluarga membuat persiapan terburu-buru yang boleh menyebabkan ketinggalan barangan penting dan sebagainya untuk urusan di sana. Saya juga turut membeli sedikit makanan ringan untuk dibawa bersama manakala ayah pula memilih untuk menservis kereta di bengkel sebelum bertolak ke sana.
Saya memilih Pulau Langkawi disebabkan terdapat banyak tempat menarik dan bersejarah yang boleh dikunjungi bersama-sama keluarga. Saya dan keluarga merancang untuk bertolak pada 31 Mei 2015 selepas habis sahaja peperiksaan pertengahan tahun. Saya mula membuat persiapan awal sejak dua bulan daripada tarikh bertolak ke sana kerana pada masa tersebut kemungkinan penginapan serta pengangkutan penuh disebabkan tibanya musim cuti sekolah. Saya mula membuat tempahan penginapan untuk empat hari tiga malam di Cenang View Hotel. Saya dan keluarga merancang untuk bertolak satu hari lebih awal dengan menaiki kereta sebelum menumpang untuk semalaman di rumah saudara sebelah ayah. Keesokkan barulah kami menaiki feri di Jeti Kuala Kedah untuk ke Pulau Langkawi. Seminggu sebelum tarikh bertolak, saya serta ahli keluarga masing-masing mula mengemas barangan yang ingin dibawa semasa bercuti. Hal ini bagi mengelakkan kami sekeluarga membuat persiapan terburu-buru yang boleh menyebabkan ketinggalan barangan penting dan sebagainya untuk urusan di sana. Saya juga turut membeli sedikit makanan ringan untuk dibawa bersama manakala ayah pula memilih untuk menservis kereta di bengkel sebelum bertolak ke sana.
Setelah beberapa bulan, tiba masanya
saya dan keluarga bertolak ke Kedah sebelum ke Pulau Langkawi. Kami sekeluarga
bertolak dari Kota Bharu pada pukul 10:00 pagi selepas bersarapan. Perjalanan
yang mengambil masa selama lima ke enam jam membuatkan kami menikmati pemandangan
sepanjang jalan sambil berbual supaya dapat mengelakkan ayah daripada terlelap.
Pada pukul 4:00 petang, saya dan keluarga sampai di rumah saudara untuk
menginap semalaman sebelum dihantar oleh bapa saudara keesokkan hari ke jeti.
Ketika sampai di rumah saudara, masing-masing memilih untuk berehat sebelum
meneruskan aktiviti pada hari esok. Keesokkannya, pada pukul 8:00 pagi, bapa
saudara sebelah ayah menghantar kami ke Jeti Kuala Kedah kerana pada pukul 9:30
pagi kami perlu menaiki feri.
Perjalanan
kami menaiki feri mengambil masa selama satu jam 40 minit sebelum sampai di Pulau
Langkawi. Setelah sampai, ada sebuah van pelancong yang disewa telah tersedia menunggu
untuk membawa kami sekeluarga ke tempat penginapan sebelum memulakan aktiviti
yang dirancang pada hari seterusnya. Setelah sampai di Cenang View Hotel, saya
dan keluarga mendaftar masuk. Saya memilih untuk tinggal sebilik dengan tiga
orang adik beradik perempuan manakala umi dan ayah serta adik lelaki saya
memilih untuk tinggal sebilik. Setelah sampai di bilik, saya mula mengeluarkan
pakaian untuk disusun ke dalam almari manakala adik saya memilih untuk mandi
dan yang lain mula berehat di atas katil masing-masing sebelum menunggu giliran
untuk membersihkan diri. Beberapa jam kemudian kami sekeluarga berkumpul di
lobi utama untuk mencari makanan di restoran hotel sahaja kerana masing-masing
sudah lapar. Saya dan keluarga memilih untuk makan di restoran kerana mempunyai
pemandangan yang indah dan nyaman di samping dapat menghilangkan penat lelah
setelah beberapa jam melalui perjalanan yang jauh. Pada masa yang sama, saya
dan keluarga turut berbual santai untuk menghidupkan suasana percutian kami.
Setelah makan, saya memilih untuk berjalan-jalan di sekitar tempat penginapan
yang kami tinggal manakala ayah dan umi serta adik-beradik mula masuk ke dalam
bilik untuk berehat.
Pada
1 Jun 2015 iaitu hari Isnin, saya dan keluarga keluar bersarapan bersama di restoran
hotel sebelum bergerak ke destinasi yang pertama iaitu Makam Mahsuri yang
sangat terkenal dengan kisah hidupnya. Kami sekeluarga mula bergerak pada pukul
9:00 pagi ke sana dengan menaiki van pelancong yang telah disewa untuk membawa
kami melawat tempat-tempat menarik di Pulau Langkawi. Makam Mahsuri yang
terletak kira-kira 12 kilometer dari Pekan Kuah merupakan destinasi yang wajib
dikunjungi oleh sesiapa sahaja kerana di situlah ikon lagenda Langkawi ini
dikatakan dikebumikan. Sepanjang berada di sana, saya dan keluarga didedahkan
dengan sejarah yang berlaku ke atas Mahsuri. Berdasarkan cerita, Makam Mahsuri
ini sebenarnya telah dibina semula di bekas tapak rumah Mahsuri yang dahulu
selain turut ditemui sebuah perigi yang digelar perigi Mahsuri. Saya dan
keluarga meluangkan masa kira-kira satu jam di sana sebelum berehat sekejap
untuk menikmati makan tengah hari di kedai makan yang terdapat di kawasan
tersebut.
Pada
hari kedua berada di sana, saya dan keluarga memilih untuk menyertai aktiviti
island hopping. Kami bergerak ke Jeti Pulau Baru pada pukul 8:30 pagi untuk
menaiki bot. Destinasi pertama island hopping adalah ke Pulau Dayang Bunting
yang memakan masa selama 25 minit dari jeti. Di Pulau Dayang Bunting, terdapat
tasik air tawar di tengah-tengah pulau tersebut. Di sana, kami diberi peluang
untuk menjalankan beberapa aktiviti. Saya dan adik beradik memilih untuk
menaiki bot kecil untuk menikmati keindahan Pulau Dayang Bunting manakala umi
dan ayah selesa untuk mengambil gambar serta merendam kaki ke dalam tasik
tersebut. Selepas satu jam berada di sana, saya dan keluarga dibawa berjalan
pulau lain iaitu Pulau Beras Basah. Di sana kami sekeluarga seronok bermain di
gigi air sambil melihat keindahan kawasan sekitar yang turut dipenuhi dengan
pelancong lain. Adik lelaki saya dan bongsu memilih untuk mandi manda di sana
manakala saya lebih suka berjalan di sekitar kawasan tersebut. Kami meluangkan
masa selama satu jam di sana sebelum kembali ke jeti.
Setelah
menyertai aktiviti island hopping, kami mencari restoran yang terdekat untuk
makan tengah hari sambil berehat sebentar. Selepas menunaikan solat, kami
berkunjung ke Bird Paradise, Langkawi. Kami berkunjung ke sini untuk melihat
burung yang pelbagai jenis serta hidupan liar yang lain yang turut terdapat di
sana. Saya dan keluarga juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar
bersama haiwan tersebut. Pada sebelah malam, kami memilih untuk berehat kerana
umi dan ayah keletihan selepas seharian berjalan. Oleh itu, saya memilih untuk
tinggal di dalam bilik sambil meluangkan masa berbual-bual bersama adik-beradik
dan melayari internet.
Pada
hari ketiga di sana, saya dan keluarga berkunjung ke Oriental Village kerana di
sana terdapat pelbagai kemudahan dan antaranya adalah kemudahan kereta kabel
untuk menaiki puncak Gunung Mat Cincang. Saya dan keluarga berasa teruja untuk
menaiki kereta kabel tersebut untuk pergi ke puncak Gunung Mat Cincang yang
mempunyai ketinggian 713 meter. Walaupun berasa sedikit takut dan gayat tetapi
saya cuba melawan perasaan tersebut dengan menikmati pemandangan di sekitar.
Setelah sampai di puncak gunung, saya berasa kagum kerana dapat melihat
pemandangan di sekitar Pulau Langkawi yang begitu indah dengan udaranya yang
nyaman. Saya juga dapat melihat Teluk Burau dari atas puncak gunung. Kami
sekeluarga tidak berhenti mengambil gambar keindahan dari atas puncak gunung
tersebut. Setelah itu, kami turun kembali untuk ke destinasi seterusnya. Kami
sekeluarga kemudian melawat Telaga Tujuh yang lokasinya tidak jauh dari
Oriental Village.
Saya
berasa teruja ketika tiba di sana kerana Air Terjun Telaga Tujuh merupakan
rangkaian air terjun yang berasal dari tujuh mata air mengalir ke tujuh telaga
semula jadi. Air Terjun Telaga Tujuh
yang mempunyai ketinggian 91 meter boleh didaki melalui 900 anak tangga yang
curam yang mengambil masa kira-kira 45 minit sehingga sejam untuk sehingga
sampai ke puncak air terjun. Walau bagaimanapun, kami memilih untuk melihat di
sekitar bawah sahaja kerana keadaan umi yang tidak selesa untuk mendaki. Ketika
berada di sana, kami sekeluarga memilih untuk mandi manda selama satu jam. Setelah
puas bermandi manda, saya dan keluarga membersihkan diri untuk mencari makanan
sebelum ke destinasi seterusnya iaitu Tanjung Rhu.
Ketika
tiba di Tanjung Rhu, kami sekeluarga dibawa menaiki bot untuk melihat
pemandangan di sekitar Kilim Geoforest Park. Di sana kami dapat melihat
panorama gua di kawasan tersebut. Kami sekeluarga juga berpeluang singgah ke
kilang gamat. Di sana kami dapat melihat bagaimana penternakan gamat dijalankan
serta menghasilkan minyak gamat. Umi dan ayah mula memborong ubat gamak yang
mempunyai khasiat seperti menghentikan pendarahan dan sebagainya. Kami
meluangkan kira-kira 30 minit untuk membeli belah sebelum kembali ke hotel.
Pada malam terakhir, kami sekeluarga bersepakat untuk menikmati makan malam di
Medan Selera Nelayan yang terletak di Kampung Kedawang. Di kedai makan tersebut
kami memilih untuk makan makanan laut yang disediakan. Saya pula lebih memilih untuk
menikmati juadah nasi bersama tomyam ayam kerana mempunyai alahan terhadap
makanan laut seperti udang. Setelah satu jam di sana, kami pulang semula ke
hotel untuk berkemas kerana esok perlu bertolak pulang. Kami tidur agak lewat
sekitar jam 12 tengah malam kerana masing-masing sibuk berkemas sambil
berbual-bual.
Keesokkannya,
kami sekeluarga bersarapan terlebih dahulu di restoran sebelum mendaftar keluar
pada pukul 10:00 pagi dan bergerak ke jeti. Walaupun berasa sedih untuk
meninggalkan Pulau Langkawi tetapi turut berasa gembira kerana dapat bercuti
bersama-sama keluarga menikmati keindahan yang ada di Pulau Langkawi. Setelah
kami sampai di jeti, bapa saudara saya sudah menunggu kerana kami akan tumpang
bermalam sebelum pulang ke rumah pada hari esok.
Sepanjang
berada di Pulau Langkawi, terdapat pelbagai kenangan manis yang tidak dapat
dilupakan kerana merupakan kali pertama sampai di sana. Salah satu kenangan
yang tidak dapat dilupakan di mana saya dapat sampai ke Gunung Mat Cincang yang
mempunyai ketinggian beratus meter. Ketika berada di atas sana, saya berasa
teruja dan kagum akan keindahan ciptaan Allah SWT yang begitu cantik dan gah. Selain itu, saya berasa gembira kerana dapat
meluangkan masa bersama ahli keluarga sebelum kembali sibuk dengan urusan
sekolah dan kerja. Saya amat berharap pada masa akan datang dapat berkunjung
lagi ke sana kerana terdapat beberapa tempat lagi yang masih belum dikunjungi
walaupun akan berlaku perubahan dan pembangunan di sana. Bukan itu sahaja, saya
berhasrat untuk melancong juga di seluruh pelosok negeri Kedah lagi. Saya
berharap dapat berkunjung kembali bersama keluarga atau ditemani rakan-rakan.
No comments:
Post a Comment