Pada
tahun 2017, saya dan keluarga telah bercuti ke Pulau Langkawi. Percutian ini
adalah rancangan secara mengejut oleh ayah saya. Percutian ini juga hanyalah
selama tiga hari dua malam iaitu pada hari jumaat, sabtu dan ahad. Malam sebelum
bertolak, kami mengemas barang keperluan masing-masing dengan perasaan yang
sangat gembira. Pada keesokkan harinya, perasaan yang sangat tidak
dapat digambarkan ialah perasaan yang sangat teruja kerana ini adalah kali pertama saya menjejaki Pulau Langkawi. Terdapat dua buah jeti untuk pergi ke Pulau Langkawi iaitu di Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Jadi Kami sekeluarga mengambil keputusan untuk pergi ke jeti Kuala Kedah dengan menaiki kereta kerana jaraknya adalah lebih dekat dengan tempat tinggal saya. Setelah sampai di jeti, abah dan saya pergi ke kaunter untuk membeli tiket bot yang berharga RM23.00 seorang (dewasa). Masa yang diambil untuk ke Pulau Langkawi adalah selama 2 jam dari jeti.
dapat digambarkan ialah perasaan yang sangat teruja kerana ini adalah kali pertama saya menjejaki Pulau Langkawi. Terdapat dua buah jeti untuk pergi ke Pulau Langkawi iaitu di Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Jadi Kami sekeluarga mengambil keputusan untuk pergi ke jeti Kuala Kedah dengan menaiki kereta kerana jaraknya adalah lebih dekat dengan tempat tinggal saya. Setelah sampai di jeti, abah dan saya pergi ke kaunter untuk membeli tiket bot yang berharga RM23.00 seorang (dewasa). Masa yang diambil untuk ke Pulau Langkawi adalah selama 2 jam dari jeti.
Tiket dari Jeti Kuala Kedah |
Semasa
dalam perjalanan ke pulau, saya tidak menyangka yang saya akan mengalami mabuk
laut. Kepala saya berasa sangat pening dan mual. Ibu, ayah dan adik-adik hanya ketawa
sahaja dengan keadaan saya yang tidak bermaya. Walaupun sudah meletakkan
minyak, tetapi masih tidak berkesan sehinggalah sampai di jeti Pulau Langkawi.
Oleh itu, bagi sesiapa yang mempunyai masalah ‘mabuk laut’, disarankan untuk
membeli ubat di farmasi yang berhampiran bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.
Kehadiran kami ke pulau itu disambut oleh sahabat baik ibu saya yang menetap di
situ. Kami di bawa ke rumahnya dan bermalam di situ. Selesai solat maghrib,
kami makan malam bersama keluarga sahabat baik ibu. Suasana memang sangat
meriah pada malam itu kerana keluarganya melayan kami dengan baik. Juadah
masakan mereka amatlah menyelerakan.
Keesokkan paginya, selepas sahaja
sarapan, kami terus keluar bersiar-siar. Tempat pertama yang kami tuju adalah
Langkawi Geopark Center. Di sana, kami menaiki ‘Sky Cab’ atau lebih dikenali
‘Cable Car’. Percutian di pulau ini di akan lengkap sekiranya tidak mencuba
aktiviti ini kerana ia memberikan satu pengalaman yang berbeza berbanding
kereta kabel di tempat lain. Kami menaiki gondola ‘Bottom Glass Gondola’ yang hanya
berlantaikan kaca dan kami dapat melihat dengan jelas hutan-hutan di bawah. Perasaan
yang tidak dapat digambarkan adalah ayah dan adik saya sangat gayat. Raut wajah
mereka berdua sangatlah pucat dan tidak bergerak langsung kerana takut akan ketinggian.
Keindahan suasana dari atas gunung tersebut, saya seakan-akan dapat melihat
seluruh Pulau Langkawi. Udaranya yang sangat nyaman dan sejuk membuatkan saya
lebih mengagumi ciptaan Tuhan. Tetapi malangnya, kami tidak dapat berkunjung
lama di kawasan itu kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Hujan turun
dengan lebat. Jadi kami terpaksa untuk turun kerana takut perkara yang tidak
diingini berlaku.
Suasana ketika menaiki 'Sky Cab' |
Selepas
itu, kami terus pergi ke Taman Buaya. Terdapat pelbagai jenis buaya dan bilangannya
hampir 4000 ekor. Jika bercuti di Langkawi dengan anak-anak, sangat rugi jika
tidak mengambil peluang untuk melihatnya dari jarak yang dekat. Di sana, kami mendapat peluang melihat pertunjukan memberi buaya makan.
Yang lebih melucukan adalah ketika kami berjalan di atas jambatan yang bawahnya
dipenuhi buaya, tiba-tiba terdapat seekor buaya yang besar melibaskan ekornya.
Kami berlari sekuatnya kerana terlalu terkejut dengan pergerakan buaya yang
tidak pernah dijangka. Selepas berhenti daripada lari, kami sekeluarga dan
pekerja-pekerja di situ ketawa sesama sendiri kerana berasa sangat lucu dengan
telatah spontan itu. Itulah pengalaman yang paling indah susah untuk dilupakan.
Seterusnya, kami terus pergi ke
pusat membeli-belah di salah satu tempat yang dikenali ramai. Lain tidak bukan ialah
Haji Ismail Group (HIG). Di sana, terdapat pelbagai jenis barangan seperti
cenderahati, set pinggan mangkuk, set peralatan dapur, kain batik, pakaian,
gula dan coklat yang terdiri daripada pelbagai jenis jenama. Ibu sangat teruja
apabila berkunjung di HIG. Perasaan apabila berada disitu amat menyukarkan kami
untuk beransur pulang kerana harga yang sangat berpatutan dan mampu milik
selain lokasinya sangat mudah untuk diakses. Ibu dan ayah membeli beberapa set
pinggan kegemaran mereka dan juga membeli baju yang bercorak tulisan “Langkawi”
kepada kami untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan apabila sudah besar nanti.
Selain
daripada itu, kami juga tidak terlepas melawat tempat yang diberi nama Beras
Terbakar yang berkait dengan sejarah zaman dulu kala. Di sana, terdapat ramai
pelancong dari luar negara yang datang dan mencampakkan duit syiling kerana mereka
mempercayai bahawa ia dikatakan sebagai tempat dimana setiap hajat yang dibuat
akan tertunai. Tidak lupa juga hasil kraftangan seperti barangan kraftangan,
kaiin tradisional dan sebagainya yang dihasilkan oleh penduduk yang menjalankan
perniagaan di situ sangat menarik perhatian dan cantik-cantik belaka. Saya dan
adik-adik juga tidak melepaskan peluang dengan membeli beberapa cenderahati
untuk diberikan kepada rakan-rakan karib untuk dijadikan sebagai kenangan.
Hari
sudah beransur lewat petang, kami pulang dan berehat ke chalet yang telah
ditempah oleh ayah yang terletak di Pantai Chenang seminggu sebelum kami
berangkat ke Pulau Langkawi. Kami menikmati makan malam daripada makanan laut
yang segar yang sangat menyelerakan di sebuah restoran berdekatan dengan chalet
kami. Tambahan pula, makanan laut adalah makanan kegemaran saya dan adik-adik.
Saya dapat melihat raut wajah gembira pada insan-insan yang saya sayangi.
Selepas makan, kami pulang ke chalet dan berehat.
Pada
hari terakhir di sana, kami berkesempatan melawati ke Makam Mahsuri yang
mempunyai sejarah. Seperti yang kita sedia maklum bahawa Langkawi juga
merupakan tempat lagenda ada cerita uniknya di mana Mahsuri dikuburkan di Pulau
Langkawi. Pelbagai maklumat saya dan keluarga perolehi sepanjang kami berada di
sana seperti perkara yang terjadi disebalik kemajuan Pulau Langkawi, contoh
replika rumah beliau, telaga yang digunakan oleh Mahsuri, makamnya, pameran
visual seperti muzium dan sebagainya. Ianya sangat menarik kerana pameran yang
ditunjukkan menjadikan kita berasa lebih dekat dengan Mahsuri. Justeru, saya
dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang sejarah Mahsuri yang sebelum ini
saya hanya dengar namanya sahaja. Sebelum berangkat pulang, kami mengambil kesempatan
untuk pergi ke Dataran Lang. Ternyata disitu lebih ramai pengunjung berada di
situ untuk mengambil gambar kerana ia merupakan mercu tanda Langkawi yang
mempunyai patung helang setinggi 12 meter.
Sesungguhnya,
kenangan bercuti di Pulau Langkawi adalah pengalaman yang menarik yang pernah
saya kunjungi walaupun belum sempat untuk mengunjungi di semua tempat kerana
bagi saya pulau ini mempunyai keistimewaan dan auranya yang tersendiri. Jika
ingin melancong di pulau ini, saya sarankan jika boleh elakkan datang sekitar
bulan Disember hingga Februari kerana kebiasaannya pada ketika itu adalah musim
hujan. Selain itu, anda perlulah merancang waktu percutian anda dengan
sebaiknya jika ingin melancong pada musim kemuncak seperti ketika LIMA
Langkawi, cuti sekolah ataupun cuti umum. Hal ini kerana, biasanya waktu
sebegini tempat-tempat tarikan akan dipenuhi pengunjung yang boleh membantutkan
‘mood’ percutian. Saya berharap saya dapat berkunjung lagi ke Pulau Langkawi
dengan ahli keluarga yang dicintai. Sebagai penutup, saya ingin menggambarkan
perasaan saya yang amat gembira dan berterima kasih kepada ayah saya kerana
memberi peluang kepada kami untuk mengunjungi ke tempat yang saya idamkan
selama ini dan dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga yang tersayang.
No comments:
Post a Comment