Take a tour of this blog to feel the absolute experiences in Malaysia and the world.
Travelling in the company of those we love is home in motion. -Leigh Hunt
The best education you will never get is travelling. Nothing teaches you more then exploring the world & accumulating experiences. -Mark Paterson
Travel is like an endless university. You never stop learning. -Harvey Lloyd
Of all the books in the world, the best stories are found between the pages of a passport. - A. Nonymous
HOME MALAYSIA ABROAD TIPS PRESENTATION MYLINK DIGITAL LIBRARY ABOUT US

Monday, October 14, 2019

BANDARAYA BERSEJARAH, MELAKA

Nama penulis: Muhammad Sazwan Bin Ramli (A171716)



Melancong menjadi sebuah kesempatan untuk kami sekeluarga melarikan diri dari kesibukan rutin harian, dan membina semangat baharu untuk meneruskan rutin pada hari-hari yang mendatang. Hidup dalam keluarga yang serba sederhana, tidak menghalang kami untuk mempunyai momen yang menggembirakan bersama-sama. Walaupun percutian kami tidak mengambil jarak yang terlalu jauh, namun sudah cukup untuk kami menghela nafas lega kerana dapat menikmati saat indah bersama-sama.
Pelancongan yang paling bermakna bagi saya adalah ketika saya berumur 16 tahun. Mak dan ayah merancang untuk ke negeri Melaka walaupun sudah acapkali kami melancong ke negeri tersebut. Walau bagaimanapun, pelancongan kali ini tidak tertumpu kepada kawasan pelancongan biasa, kita akan pergi ke kawasan yang jarang dikunjungi orang lain, begitulah rancangan ayah. Saya dan adik beradik hanya menurut kerana beliau mempunyai perancangannya yang tersendiri.
Kami memulakan perjalanan seawal jam 9.00 pagi menaiki Toyota Unser berwarna gangsa yang biasa digunakan untuk perjalanan yang jauh. Saya mula mendengar lagu menggunakan earphone sementara dua orang kakak saya berbual tentang hal perempuan di tempat duduk tengah. Mak pula berbincang hal-hal pejabat dengan ayah bagi mengelakkan ayah mengantuk ketika memandu. Kami tidak berhenti di mana-mana R&R memandangkan jarak di antara Bandar Baru Bangi dan Melaka yang tidak sejauh mana.
Perjalanan dijangka sampai pada jam 11.00 pagi, namun kerana keadaan trafik yang sesak pada hujung minggu dan kedudukan rumah penginapan yang agak terlindung menyebabkan kami sampai pada jam 12.30 tengah hari. Saya dan adik beradik yang lain agak teruja apabila melihat kolam renang yang terletak betul-betul berhadapan dengan rumah penginapan kami. Selepas mendaftar masuk, kami melangkah masuk ke dalam rumah penginapan dan membawa masuk segala perkakasan yang dibawa ke dalam rumah penginapan.
Pada petang itu, kami hanya beristirehat dan menonton televisyen bagi menghilangkan penat perjalanan. Seusai solat fardhu Asar berjemaah bersama keluarga, saya dan adik beradik pergi ke kolam renang dan bermandi manda dengan gembira. Keluarga lain turut bersama-sama mandi di kolam renang. Ada yang bat pertandingan menyelam paling lama, berenang dan juga hanya berendam dalam air. Ayah turut menyertai kami dan menunjukkan kemahirannya berenang dengna pelbagai gaya. Kami agak tergamam kerana tidak pernah tahu tentang kebolehan ayah. Mak pula hanya memerhati di tepi sambil tersenyum. Apabila senja mula berlabuh, kami dan penyewa lain mula pulang ke rumah penginapan masing-masing.
Malam itu kami bersiap secara ala kadar untuk pergi makan malam. Kami singgah di sebuah warung kecil dan makan makanan bergoreng. Suhu malam yang sejuk, sesuai digandingkan dengan makanan panas yang enak dan menikmatinya bersama keluarga. Dalam diam saya berasa amat bersyukur kerana dapat menikmati saat itu. Selesai menjamu selera, kami pergi ke Jonker Street yang menjadi salah satu tarikan pelancongan di Melaka. Sebagai remaja, saya lebih tertarik pada cenderahati seperti rantai kunci dan baju, manakala mak dan kakak pula mencari kipas tradisional Cina yang mempunyai pelbagai corak. Ayah pula lebih suka berjalan-jalan.
Keesokan harinya, kami memulakan perjalanan menuju ke taman burung atau dipanggil Melaka Bird Park. Taman tersebut dipenuhi dengan sangkar-sangkar setinggi beberapa meter. Antara spesies burung yang paling saya suka lihat adalah burung merak dan burung kakaktua kerana warna bulunya yang berwarna warni. Seterusnya kami masuk ke dalam sebuah sangkar yang teramat besar yang menyimpan pelbagai spesies burung bersaiz kecil hinggalah yang bersaiz besar. Memandangkan saya tidak mempunyai telefon bimbit yang canggih, maka saya menikmati pemandangan berwarna warni dengan sepenuh hati.
Sesudah mengunjungi Taman Burung Melaka, kami meneruskan perjalanan menuju ke Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park. Turut berlokasi di Ayer Keroh, tempat ini menghidangkan pemandangan yang terdiri dari model rumah-rumah tradisional yang terdapat di Malaysia. Di dalam rumah-rumah tersebut juga terdapat patung yang menonjolkan aktiviti harian masyarakat ketika itu, seperti sedang bermain congkak, memasak di dapur, menatap pemandangan dari tingkap dan sebagainya. Bagi rumah seperti Rumah Panjang pula terdapat penjaganya yang berasal dari Sarawak. Beliau akan menceritakan latar belakang Rumah Panjang dan memberi penerangan mengenai sisem hierarki yang terdapat dalam Rumah Panjang,
Kami terus berjalan hingga terjumpa sebuah pentas yang dipanggil Pentas Tun Teja. Pentas tersebut menjadi tempat persembahan tarian tradisional daripada pelbagai kaum dan etnik. Kami mengambil tempat dan teruskan menonton persembahan tarian sebelum ayah mengajak kami pulang.
Ketika dalam perjalanan pulang, ayah ternampak sebuah papan tanda yang tertulis ‘Serama Adventure Park’. Tertarik dengan apa yang diilustrasikan pada papan tanda itu, ayah mengajak kami mencari lokasi taman pengembaraan tersebut. Taman ini terletak sedikit jauh kerana berlokasi di Durian Tunggal tetapi ayah tetap berhasil mencarinya. Ketika kami menjumpainya, taman pengembaraan tersebut masih belum  dibuka mungkin atas faktor penyelenggaraan. Tetapi restorannya telah dibuka. Berdekatan dengan restoran adalah beberapa ekor burung yang dibela dalam sangkar dan juga seekor keldai.
Pada waktu malamnya ayah mengajak saya menemaninya untuk ke restoran yang terletak di Serama Adventure Park kerana menurutnya terdapat menu makanan yang jarang dijumpai. Setelah sampai dan membelek buku menu, saya terjumpa makanan yang baru bagi saya iaitu nasi goreng burung unta. Ayah beli untuk kami sekeluarga dan kami makan bersama-sama di rumah penginapan dengan rasa teruja.
Hari ketiga, mak mengejutkan kami adik beradik kerana mahu kami mandi kolam sepuasnya sebelum berangkat pulang. Kami mandi dan berenang sehinggalah tiba waktu untuk bertolak pulang. Kami bersihkan diri dan akhirnya mendaftar keluar dari rumah penginapan. 
 

No comments:

Post a Comment