Setelah penat berjalan–jalan di Bandaraya Melaka kami pergi
makan sebelum menaiki feri. Kemudian, apabila feri sudah berlabuh kami menaiki
feri untuk ke Dumai dan itu merupakan kali pertama saya menaiki feri.
Rupa-rupanya saya seorang yang mabuk laut, jadinya saya tidak dapat untuk
melihat pemandangan di luar. Walaupun begitu, menaiki feri di waktu
pagi merupakan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan kerana cuaca yang
tenang, ombak dan angin yang sangat sejuk. Setelah beberapa jam kami di dalam
feri, akhirnya tiba juga di Dumai dan beberapa kali saya dan mama muntah
kerana mabuk laut yang agak teruk.
Sewaktu
kami tiba di Dumai, ayah sedara atau lebih mesra dipanggil Pak Lang telah
menjemput kami menaiki van kerana dia sekeluarga tinggal di Medan. Seingat saya
ketika itu, jalan raya terlalu sesak walaupun masih lagi pukul 7.00 pagi. Semasa
van kami sedang berhenti di lampu merah dengan jalan yang sesak, terdapat
beberapa budak sedang menjual makanan ke setiap kereta sambil bernyanyi. Ada di
antara mereka yang menyanyi sambil meminta sedekah daripada setiap pemandu
kenderaan yang berhenti di lampu merah. Lebih kurang satu jam setengah kami
sekeluarga tiba di rumah Pak Lang. Rumah Pak Lang terletak di kawasan kampung
dan dikelilingi dengan ladang kelapa sawit. Sebenarnya Pak Lang telah berkahwin
dengan orang Indonesia iaitu yang berasal dari Medan.
Setibanya
di rumah, kami sekeluarga di sambut baik oleh keluarga belah isteri Pak Lang.
Mereka sangat baik dan peramah orangnya. Kami sekeluarga berehat setelah penat
menghabiskan seharian waktu berjalan di Bandraya Melaka dan duduk di dalam
feri. Kebetulan sewaktu kami pergi melancong ke situ hanya ada lagi seminggu
untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kami sekeluarga mengambil kesempatan
untuk melihat budaya orang Medan ketika bulan Ramadhan dan hari raya.
Pada
keeseokan harinya, kami pergi ke Taman Bukit Gelanggang. Ianya terletak di
Kecamatan Dumai Timur, Kota Dumai. Taman Bukit
Gelanggang ini merupakan taman hijau yang berada di tengah – tengah kota Dumai.
Kebiasaannya tempat ini sering digunakan sebagai tempat untuk masyarakat setempat
bersukan atau untuk melakukan sesuatu program. Seterusnya, kami sekeluarga
singgah ke Tugu Lancang Kuning yang berada di dalam Taman Bukit Gelanggang
Kecamatan Dumai Timur. Ketika mengunjungi Tugu Lancang Kuning ini, kita
akan melihat tugu itu berbentuk seperti kapal laut. Apa yang menarik di tugu ini
adalah, kami sekeluarga mejumpai sebuah perpustakaan mini dibawahnya. Ianya
bukan setakat tempat untuk menarik pelancong, malah boleh digunakan oleh
masyarakat setempat untuk menambahkna ilmu pengetahuan. Perpustakaan mini ini
kerap dikunjungi yang terdiri daripada setiap lapisan umur.
Di malam hari pula, kami pergi ke
pasar malam dan funfair. Pasar malam mereka lebih kurang sama sahaja dengan
Malaysia, hanya yang membezakan adalah makanan. Terdapat makanan yang dijual
seperti pecel lele, mee balap, nasi ambeng dan pelbagai jenis makanan lagi.
Kami juga sempat untuk bermain funfair yang ada berdekatan dengan pasar malam
tersebut.
Seterusnya,
kami banyak menghabiskan masa di rumah Pak Lang untuk persiapan hari raya yang
akan menjelang tidak lama lagi. Baru saya tahu, budaya orang Medan adalah semua
masakan mereka pedas dan mama terpaksa memasak menu lain bagi saya dan
adik-beradik yang lain. Mereka sedang bertungkus–lumus mengemas rumah kerana
membeli perabot baharu. Pada waktu petang, saya akan dibawa ke kandang lembu
dan kambing yang terletak di belakang rumah.
Di
malam raya, ramai keluarga Pak Lang yang pulang ke kampung halaman dan
suasananya sangat riuh rendah dengan percakapan mereka yang tidak kami faham.
Hanya ayah sahaja yang memahami perbualan mereka dengan menggunakan loghat
orang jawa. Keesokan kami beramai-ramai berjalan kaki menuju ke masjid untuk
menunaikan solat sunat aidilfitri. Ramai orang di masjid sehinggakan kami
terpaksa menunaikan solat di luar masjid. Selepas itu, seperti biasa akan
mengunjung ke rumah sanak saudara. Makanan yang dihidangkan di pagi raya
sangatlah berbeza dengan makanan di Malaysia. Antara menu yang dihidangkan di
pagi raya adalah mee soto, bakso, sate, nasi berlauk beserta pecal dan
semestinya semuanya pedas.
TAHUN
2018
Pengalaman
melancong pada tahun lepas pula, juga tempatnya di Indonesia tetapi kali ini ke
Jakarta dan Surabaya. Namun, pelancongan kali ini adalah bersama Pak Ngah saya,
kerana kesibukan keluarga dan adik-adik tengah sesi persekolahan. Pak Ngah
mengajak saya ke Indonesia sebagai tanda hadiah bagi keputusan cemerlang SPTM.
Pada ketika itu, saya tengah menunggu tawaran untuk masuk ke universiti dan
tarikh pelancongan adalah perancangan di saat-saat akhir.
Semasa
itu, saya tengah bekerja sambilan sementara menunggu tawaran untuk masuk ke
universiti dan mendapat panggilan daripada Pak Ngah bahawa beliau sudah membeli
tiket penerbangan ke Surabaya dalam tempoh dua hari lagi. Saya terus mengambil
surat untuk berhenti kerja dan membuat persiapan untuk pergi melancong setelah
sekian lama. Alhamdulillah saya sudah mempunyai passport seminggu lebih awal.
Keesokan harinya saya terus membeli tiket bas untuk ke rumah Pak Ngah di
Puchong.
Setibanya
di rumah Pak Ngah, saya membantu keluarganya membuat persediaan sebelum pergi
ke Indonesia. Pak Ngah memberitahu bahawa harga tiket penerbangan bagi seorang
penumpang adalah RM1,200.00. Harga itu merupakan paling murah dan terpaksa
transit di Jakarta dahulu sebelum tiba ke Surabaya. Inilah akibat apabila
semuanya di saat-saat akhir dan harga tiket penerbangan juga akan menjadi
mahal. Namun, saya bersyukur kerana semua kos perbelanjaan ditanggung oleh Pak
Ngah. Tepat jam 4.00 pagi kami bergerak menuju ke KLIA 1 dengan menaiki grab.
Perasaan
saya kali pertama menjejakkan kaki ke KLIA 1 sewaktu itu ibarat rusa masuk kampung
kerana ianya kali pertama saya akan merasai menaiki kapal terbang. Kami tiba
dua jam lebih awal dari masa penerbangan. Pada pukul 6.00 pagi kami bertolak
dari KLIA 1 dan transit di lapangan terbang Soekarno – Hatta, Jakarta. Pada
mulanya saya sangat takut apabila kapal terbang sudah mula ingin berlepas,
tetapi bila sudah ada di udara pemandangan di luar sangatlah cantik. Kami
mengambil kesempatan dengan masa yang ada untuk berjalan-jalan di sekitar
Jakarta kerana tidak tahu bila lagi akan sampai ke situ.
Oleh
kerana kami berasa bosan menunggu penerbangan yang seterusya, kami mengambil
grab dan menuju ke Museum Benteng Herritage. Museum ini merupakan hasil
pemulihan bangunan seni bina tradisional Cina yang terletak di tengah – tengah
pasar Tangerang lama. Bangunan yang digunakan sebagai muzium ini merupakan
bangunan yang tertua di Tangerang dan merupakan pusat kota Tangerang yang
dahulunya dikenali sebagai Kota Benteng. Ianya merupakan muzium keturunan Cina
yang pertama di Indonesia. Lokasi muzium ini dari Lapangan Terbang Soekarno
Hatta adalah lebih kurang 7km. Di sini saya dapat mengetahui serba sedikit
sejarah Kota Tangerang dan budaya Cina. Kami hanya sempat untuk melawat satu
tempat sahaja kerana masa yang tidak mengizinkan.
Selepas
itu kami menyambung penerbangan dari Soekarno Hatta, Jakarta ke Juanda,
Surabaya. Apabila tiba di Lapangan Terbang Juanda, anak Pak Ngah menjemput kami
dan membawa kami ke rumahnya. Dari segi kos tempat tinggal, kami dapat berjimat
kerana anak Pak Ngah menetap di situ dan
berkahwin dengan seorang anggota polis. Setibanya di rumahnya, kami
terus merehatkan diri kerana penat menunggu transit dan berjalan-jalan di
sekitar Jakarta. Pada waktu petang, anak Pak Ngah iaitu Kak Long telah membawa
saya pergi ke pasar berdekatan dengan menaiki motor. Kebanyakan orang di
Surabaya lebih memilih untuk menaiki motor apabila keluar rumah kerana keadaan
yang terlalu sesak dan jangan lupa untuk memakai penutup muka untuk mengelakkan
menghidu bau asap kenderaan yang terlalu banyak.
Pada
waktu malam pula, tempat yang kami tuju adalah Taman Remaja Surabaya. Jangan
tersalah anggap pula, ianya boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja tanpa mengira
usia kerana keseronokannya mampu membuatkan para pelancong kembali remaja. Antara kemudahan yang menarik
di sini adalah kiddy boat, boom boom car, roller coaster mini, flying fox,
rumah hantu dan sebagainya. Selain tarikan ini, kemudahan lain yang ideseiakan
adalah cafe dengan persembahan muzik live dan kedai cenderamata. Di sini,
berlaku pengalaman paling pahit iaitu saya kehilangan telefon yang baru saya
beli dengan menggunakan duit gaji pertama. Hal ini disebabkan kecuaian saya
yang tidak membawa beg dan meletakkan telefon di poket seluar yang kecik serta
senang terjatuh. Ketika sedang leka bermain, saya ingin merakam video dan baru
saya perasan bahawa telefon saya sudah tiada. Kami semua telah menggeledah
semua tempat dan tidak jumpa juga dan menambah rasa kecewa saya telefon
tersebut tidak boleh dihubungi kerana kehabisan bateri. Pengalaman ini
memberikan pengajaran kepada saya bahawa perlu membawa beg ‘travel’ yang kecil
sudah memadai untuk meletakkan passport,
beg duit dan telefon.
Di
samping itu, destinasi yang dituju adalah pulau Madura dan tidak ketinggalan
kami melalui Jambatan Suramadu iaitu jambatan yang terpanjang di Indonesia.
Jamabatan yang gah ini dibina untuk menghubungkan pulau Jawa dan pulau Madura.
Pada waktu malam, suasana di jambatan ini akan dihidupkan dengan sinaran cahaya
yang berwarna – warni. Tempat terakhir yang kami lawati sebelum pulang ke
Malaysia adalah Gua Koneng yang terletak di Sumenep berhampiran dengan pulau
Madura. Di sini, para pelancong bebas untuk masuk ke dalam gua, namun terdapat
larangan iaitu tidak boleh duduk di batu yang sama seperti kerusi tersebut. Gua
Koneng ini memang sesuai untuk percutian keluarga dan para pencinta alam kerana
suasananya yang indah, sejuk dan aman.
No comments:
Post a Comment