Melancong adalah sesuatu aktiviti yang menarik untuk kita mengisi
masa lapang dan berjalan sambil melihat keindahan ciptaan Allah. Ianya lebih
seronok apabila kita dapat melancong bersama-sama keluarga kerana itu merupakan
peluang untuk kita meluangkan masa setelah sibuk dengan kehidupan seharian.
Oleh itu, di sini saya ingin menceritakan pengalaman melancong yang pernah saya
lalui bersama-sama keluarga di tanah air tercinta iaitu Malaysia itu sendiri.
Sebagaimana yang kita tahu, Malaysia merupakan negara yang kaya dengan keindahan alam dan juga
tempat yang menarik untuk dilawati. Tetapi kita sebagai rakyat Malaysia
sendiri suka melancong ke luar negara sedangkan tempat menarik di Malaysia
belum lagi habis untuk diterokai. Jadi sebagai rakyat Malaysia jangan lepaskan
peluang untuk pusing satu negara kita kerana pelancong luar juga turut memilih
Malaysia sebagai tempat destinasi untuk mereka lawati.
Kami
sekeluarga telah memilih bandar yang penuh bersejarah iaitu Bandaraya Melaka
sebagai destinasi pelancongan. Saya yakin setiap pelancong dan rakyat Malaysia
itu sendiri pasti akan memilih Bandaraya Melaka sebagai tempat yang wajib untuk
mereka lawati. Selain merupakan tempat untuk melawati bangunan bersejarah,
Bandaraya Melaka juga mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati. Ini
menyebabkan lebih ramai pelancong yang datang ke Bandaraya Melaka pada setiap
tahun.
Pengalaman
melancong bersama – sama keluarga di Bandaraya Melaka adalah pada tahun 2002.
Walaupun ketika itu saya masih berumur 4 tahun, tetapi pengalaman melancong
bersama – sama keluarga waktu ini tidak dapat dilupakan. Ianya merupakan pengalaman melancong kali pertama
kami sekeluarga kerana kesibukan ayah dan ibu bekerja mencari rezeki. Ketika
itu kami hanya ada empat bilangan adik beradik dan kami sekeluarga baru mendapatkan
seorang adik perempuan. Sewaktu itu kami sekeluarga singgah ke Bandaraya Melaka
dahulu sebelum menaiki feri untuk ke Dumai.
Kami
bertolak dari Kuantan pada pukul 3.00
petang dan tiba di Melaka pada pukul 9.00 malam. Tiket feri kami untuk ke Dumai
adalah pada pukul 3.00 pagi. Oleh kerana kami sekeluarga tiba awal, jadi kami
mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar Bandaraya Melaka. Ketika
itu saya berasa sangat teruja kerana itu merupakan kali pertama kami sekeluarga
pergi berjalan-jalan dan sewaktu saya masih kecil. Perasaan kami adik – beradik
sewaktu itu tidak dapat digambarkan kerana teruja melihat suasananya yang
sangat cantik pada waktu malam diterangi lampu – lampu.
Antara
tempat yang kami lawati di Melaka adalah pertama sekali mestilah kami menaiki
beca berlampu dan pusing-pusing di kawasan sekitar Bandaraya Melaka. Sebelum
itu, ada satu peristiwa di Kuantan, semasa kami sekeluarga sedang sibuk membeli
– belah saya ternampak satu beca sedang membawa penumpang. Jadi saya merengek
dan meraung kepaada ibu sehingga ibu
bersetuju untuk menaiki beca tersebut. Jadi ketika itu, ibu dan saya terpaksa
menaiki beca untuk pulang ke rumah manakala adik – beradik yang lain menaiki
kereta bersama ayah. Bila teringat peristiwa itu, saya berasa kesian pada ibu
tapi itulah seorang ibu sanggup membuat
apa sahaja demi memenuhi kehendak anaknya.
Berbalik semula kepada cerita menaiki beca berlampu di Bandaray Melaka.
Apabila sampai sahaja di situ, memang kena perli dengan keluarga. “Hah Lina
naiklah beca berlampu tu sampai pakcik beca penat nak bawak kau pusing satu
Melaka nanti ibu pula jadi mangsa kena balik rumah naik beca” kata abang kepada
saya. Saya pun mengambil kesempatan dan
peluang di depan mata untuk menaniki beca sambil pusing-pusing melihat
bandaraya Melaka.
Setelah
puas menaiki beca berlampu, kami sekeluarga singgah di Jonker Walk Melaka untuk
mencuci mata dan membeli sedikit cenderamata sebagai kenangan di Bandaraya yang
penuh dengan sejarah. Ini kerana kami tidak tahu bila lagi kami dapat singgah
ke sini. Ayah kata artifak asli yang berumur sehingga 300 tahun yang lalu boleh
dijumpai di samping barang – barang antik yang lain, setiap satu mempunyai
sejarahnya yang tersendiri. Saya pun tidak tahu betul atau tidak kerana waktu
itu apa maksud artifak pun saya tidak tahu cuma mengiyakan apa yang dikatakan
oleh ayah sahaja. Hahahah….. Jonker Walk Melaka ni memang sesak dengan ramai
pelancong ditambah pula dengan hujung minggu. Jadi kepada keluarga yang ada
anak kecil pastikan mereka tidak lepas daripada pandangan dan jagaan ibu bapa.
Akhir
sekali, bagi tempat yang wajib kita lawati apabila tiba di Melaka adalah Kota
A’Famosa. Kata orang tidak sah kalau pergi ke Bandaraya Melaka tetapi tidak
singgah atau mengambil gambar di kota yang penuh dengan sejarah dan pengajaran
bagi kita sebagai rakyat Malaysia. Untuk
pengetahuan umum, Kota A’Famosa ini telah dibina pada zaman penjajahan Portugis
pada tahun 1511 dan hanya saki baki dari kubu asal kota ini yang tinggal kerana
ianya telah diruntuhkan oleh British. Walaupun kami hanya sekejap kami singgah
di Melaka tetapi ianya telah memberikan pengajaran dan pengalaman yang manis
bagi saya walaupun ketika itu saya baru berusia empat tahun.
No comments:
Post a Comment