Take a tour of this blog to feel the absolute experiences in Malaysia and the world.
Travelling in the company of those we love is home in motion. -Leigh Hunt
The best education you will never get is travelling. Nothing teaches you more then exploring the world & accumulating experiences. -Mark Paterson
Travel is like an endless university. You never stop learning. -Harvey Lloyd
Of all the books in the world, the best stories are found between the pages of a passport. - A. Nonymous
HOME MALAYSIA ABROAD TIPS PRESENTATION MYLINK DIGITAL LIBRARY ABOUT US

Tuesday, October 8, 2019

PULAU LANGKAWI, KOTA MAHSURI

Nama penulis: Noor Asheeqa Aquila bt Ab Aziz (A164326)
         Pada 14 Mei 2005, ketika itu saya berumur 8 tahun. Kami sekeluarga berpeluang bercuti ke sebuah tempat peranginan iaitu Pulau Langkawi. Sebelum bertolak dari rumah ke tempat percutian kami, ayah menghantar kereta untuk servis supaya tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini 3 hari sebelum hari kami bertolak. Saya berasa sangat seronok dan tidak sabar untuk bercuti di Pulau Langkawi pada waktu itu kerana itu kali pertama saya ke sana.  Sebelum bertolak, ibu saya mengemaskan barang- barang keperluan dan baju kami adik beradik. Ibu mengemas segala peralatan
dengan penuh kesabaran manakala kami adik beradik membantu menyusun barang tersebut ke dalam bag. Kami membawa baju lebih supaya jika berlaku kecemasan kami tidak perlu bersusah payah. Saya sekeluarga menaiki kereta yang dipandu oleh ayah saya. Seperti kebiasaan, kami akan mulakan perjalanan dengan membaca doa ketika dalam kenderaan yang diketuai oleh abang saya. Situasi di dalam kereta apabila dalam perjalanan yang jauh, kami sekeluarga akan menghiburkan diri dengan menyanyi di dalam kereta untuk menghilangkan rasa mengantuk. Selain itu, ayah saya juga akan berhenti di perhentian sekiranya perlukan berehat sementara. Kami bertolak awal pagi kerana ingin mengejar feri yang pertama. Setelah sampai di jeti, kami perlu menaiki feri dan ayah saya beratur membeli tiket untuk sampai ke Pulau Langkawi. Masa yang diambil untuk sampai ke Pulau Langkawi selama satu jam dari jeti. Pada waktu itu, kepala saya berasa pening dan ibu memberi minyak panas untuk melegakan rasa pening kepala. Ini juga adalah tips apabila kita berada di atas feri, perlu bawa minyak panas kerana untuk mengelakkan mabuk ketika berada dalam situasi tersebut. Kami adik beradik sangat gembira dan teruja apabila menaiki feri tersebut. Ayah saya merakam setiap perlakuan anaknya dan saya memilih untuk duduk di luar feri kerana dapat melihat pemandangan yang cantik sebelum tiba di Pulau Langkawi. Saya memegang tangan adik saya dengan erat kerana saya diberi amaran oleh ayah supaya menjaga adik dengan baik kerana takut adik saya berleari ketika berada di atas feri tersebut. Sepanjang perjalanan tersebut, saya tidak berhenti tersenyum kerana terlampau teruja melihat pemandangan tersebut sambil merasakan angin yang meniup dengan kuat.
Saya bersama adik kesayangan saya di feri menuju ke Pulau Langkawi.

Di dalam van sewa yang telah ditempah sebelum tiba di Pulau Langkawi.
          Apabila sampai di jeti, ayah segera menelefon penyewa van yang telah ditempah awal sebelum sampai ke Pulau Langkawi ini untuk pergi ke hotel yang ditempah awal sebelum tiba di Pulau Langkawi. Selain itu, ayah saya telah membuat berbandingan harga sewa van serta hotel yang sangat berbaloi untuk menjimatkan masa serta pengurusan kewangan yang baik sebelum tiba di Langkawi. Ini adalah tips yang sangat berguna apabila kita sekeluarga bercuti di sini supaya dapat permudahkan segala pengurusan setelah sampai di tempat tersebut. Setelah sampai di hotel, saya terus merehatkan diri dahulu kerana badan letih. Ayah menyuruh kami rehatkan diri sebelum ke destinasi seterusnya bertujuan untuk melawati tempat-tempat yang menarik di Pulau Langkawi ini. Tempat pertama yang kami lawati ialah Makam Mahsuri yang mempunyai banyak sejarah.  Pelbagai maklumat yang saya perolehi sepanjang berada di sana Ketika itu, kami adik beradik kurang fokus akan penjelasan yang diberikan kerana kami berasa tidak minat untuk mendengar penjelasan tersebut. Seterusnya, adik saya menangis dan ibu membawa adik saya keluar untuk hilangkan tangisannya. Namun begitu, ayah dan ibu saya menerangkan semula kepada kami di dalam van tersebut dengan cara penyampaian yang sangat mudah supaya kami memahami serba sedikit tentang sejarah Makam Mahsuri tersebut. Saya berasa sangat gembira kerana dapat mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang sejarah Mahsuri yang sebelum ini saya hanya mendengar namanya sahaja tetapi tidak mengetahui sejarah tentang Mahsuri. Terima kasih kepada ayah dan ibu saya kerana bersabar melayan sikap kami dan sudi menceritakan tentang sejarah tersebut kepada kami.  Kebiasaanya di tempat bersejarah seperti ini, kanak-kanak mudah bosan akan suasananya. Tetapi ibu bapa mempunyai pelbagai cara untuk menarik minat anak-anak supaya dapatkan pengetahuan yang jelas ketika di tempat tersebut. Peranan ibu bapa sangat penting untuk memastikan anak-anak mereka mendapat sesuatu yang sangat bermakna setiap perjalanan yang dituju. 



Pada hari kedua, kami berkesempatan untuk menaiki kereta kabel. Saya berasa sangat seronok kerana pertama kali menaiki kereta kabel tersebut.  Saya dapat melihat pemandangan di seluruh Pulau Langkawi. Pemandangan tersebut sangat cantik dan sangat indah. Kami merakam detik-detik indah di dalam kereta kabel kerana kami sangat teruja berada di dalam kereta kabel tersebut. Saya seorang yang gayat dan sangat takut ketika berada di tempat yang tinggi tetapi pada waktu tersebut, ayah saya memeluk tubuhku sepanjang berada di dalam kereta kabel dan perasaan takut saya semakin pudar. Kasih sayang ayah saya pada waktu itu, membuatkan saya tidak lagi takut di tempat tinggi sampai sekarang kerana ayah saya memberi kata-kata semangat supaya anaknya sentiasa mencabar diri dan berani. Saya dapat menghirup udara yang segar dan nyaman di sini. Setelah selesai mengambil gambar dan kenangan di sana, kami pun turun ke tempat asal kerana kami semua kelaparan dan cari tempat makan yang sesuai untuk makan tengah hari. Seterusnya, pada waktu petang pula, kami pergi ke Dataran Helang. Terdapat ramai pelancong yang mengunjungi Dataran Helang tersebut. Bak kata ibu saya, ‘tak lengkap percutian ke Pulau Langkawi kalau tak singgah ke Datarang Helang’ kerana disini lah tempat landmark yang kita sekarang berada di Pulau Langkawi. Kebanyakan mereka datang ke Dataran Helang untuk mengambil gambar termasuklah keluarga saya. Mata saya seolah olah terpegun melihat patung helang tersebut kerana sangat besar dan pertama kali saya melihatnya. Cuaca waktu tersebut senja Alhamdulillah dan kami sekeluarga menikmati suasana waktu senja tersebut di Dataran Helang. Selain itu, ini juga adalah pengalaman yang menarik bagi saya yang baru pertama kali bercuti di Langkawi ini. Saya memanggil burung helang itu sebagai ‘burung gergasi’ dan keluarga saya gelak mendengar panggilan tersebut. Gambaran suasana di Dataran Helang itu masih segar dalam ingatan saya walaupun ianya sudah lama berlalu.




Selain itu, kami sekeluarga membeli belah membeli coklat di Haji Ismail Group (HIG). Ini adalah detik di mana saya dan adik beradik saya tunggu kerana kami semua adalah hantu coklat. Harga coklat di kedai tersebut sangat murah berbanding dengan tempat lain, saya mengambil kesempatan itu untuk membeli banyak coklat. Ibu pesan kepada kami untuk memilih pelbagai jenis coklat. Tetapi setiap orang tidak melebihi lima jenis coklat sahaja kerana ibu takut terlebih budget. Ketika itu, masih segar dalam ingatan saya kerana saya seakan-akan ingin membeli kesemua coklat yang terjual di dalam kedai itu kerana coklat itu menjadi tarikan utama saya ketika jejak kaki saya ke dalam kedai tersebut. Manakala, abang-abang saya membawa bakul dengan laju kerana terlampau teruja melihat semua coklat tersebut. Setelah beberapa minit, kami selesai memilih coklat yang telah ditetapkan, kami kumpulkan dan masukkan ke dalam bakul. Tiba-tiba adik saya menangis kerana hendak membeli mainan yang diisikan bersama coklat tetapi ibu saya tegas untuk tidak membelinya kerana sudah penuh satu bakul. Walaubagaimanapun, ibu terpaksa mengalah kerana adik saya tidak berhenti menangis dan ibu terus ambil permainan trsebut lalu bayar di kaunter pembayaran. Selepas itu, masing-masing membawa plastik yang berisi penuh dengan coklat itu dengan hati yang sangat puas dan gembira. Saya tidak dapat gambarkan perasaan saya ketika itu apabila dapat membeli coklat iaitu kegemaran saya dan adik beradik saya. Walaupun saya tahu harganya sangat mahal, tetapi ayah dan ibu saya sanggup korbankan duit mereka semata- mata ingin melihat anak mereka gembira. Saya sangat bersyukur dan gembira ketika itu. Tips ketika berada di dalam kedai coklat, kita perlu menghadkan setiap anak membeli kuantiti yang telah ditetapkan seperti ibu saya mengajar kami supaya tidak membazir membeli terlampau banyak coklat. Seterusnya, kami terus ke hotel kami untuk simpan kesemua coklat ke dalam peti sejuk supaya tidak cair. Sebahagian daripada coklat tersebut kami buka untuk makan kerana tidak sabar untuk menikmati coklat yang dibeli tadi. Wajah kami kelihatan sangat gembira ketika menikmati coklat tersebut.



Keesokan harinya, kami mengemas keperluan masing- masing kerana hendak pulang ke rumah. Ketika itu hati rasa sangat berat. Ayah mengejut kami awal pagi untuk persiapan diri supaya keluar dari hotel itu awal. Sebelum kami ke feri, kami berpeluang ke sekitar pulau sebentar untuk sarapan pagi. Sarapan pagi di situ sangat tenang kerana anginnya yang kuat. Pakcik dan makcik di kedai makan itu sangat peramah. Seterusnya, ayah mengambil kesempatan untuk ke Underwater World Langkawi yang terletak berdekatan dengan Pantai Chenang sebelum berangkat pulang. Ayah terus ke kaunter tiket manakala kami pula tidak sabar untuk memasukinya. Apabila melangkah masuk ke dalam Underwater World Langkawi itu, saya melihat banyak ikan- ikan yang sangat besar. Saya sangat teruja dan terasa diri ini seolah-olah berada di dalam air kerana dapat melihat kehidupan organisma di dalam lautan. Di Underwater World Langkawi ini, terdapat beberapa bahagian yang menempatkan hidupan asal susatu tempat. Selain itu, terdapat juga beberapa galeri yang memaparkan gamba serta info- info berkaitan dengan binatang-binatang yang hidup di bahagian –bahagian tersebut. Banyak info yang menarik serta pengetahuan yang baharu saya perolehi di sini. Kami dipimpin tangan kerana ramai orang berada di dalam tempat tersebut. Sebelum ini saya hanya melihat di televisyen sahaja tetapi kali ini saya sangat gembira kerana dapat melihat di depan mata. Tambahan pula, selain ikan- ikan yang berenangan dikiri kanan dan atas kepala, terdapat juga mural- mural 3D yang sangat cantik dilukis di dinding- dinding dan terowong- terowong di situ. Kami mengambil kesempatan ini untuk mengambil gambar sebagai kenangan terindah di sini. Tetapi di dalam Underwater World Langkawi ini, suasananya agak gelap oleh itu gambar yang diambil tidak begitu memuaskan tetapi gambaran di dalam itu masih segar dalam ingatan saya.Kenangan manis di dalam ini adalah saya seronok dapat melihat gelagat Rockhopper iaitu sepsis penguin yang suka melompat dari satu batu ke batu yang lain. Penguin tersebut memiliki bulu kening yang sangat unik dan sangat comel. Saya suka melihat gerak geri yang ditunjukkan.
 
Kami bergambar di pintu masuk Underwater World Langkawi.

Selepas itu, kami sambung perjalanan kami ke feri dan membeli tiket. Perasaan saya ketika hendak berangkat pulang meninggalkan pulau yang indah, bersih dan menarik ini sangat sedih kerana banyak memori indah tercipta di sini. Tempoh beberapa hari kami disini tidak mencukupi untuk melawat sebuah pulau yang agak luas ini. Namun, pengalaman percutian ini amat besar maknanya bagi saya. Walaupun tidak lama saya dan keluarga berada di Pulau Langkawi ini, tetapi banyak kenangan manis yang saya dapat peroleh semasa percutian ini. Kenangan buruk semasa percutian ini tiada kerana kami masing gembira dan teruja apabila sampai di Pulau Langkawi ini. Saya berharap agar saya berpeluang pergi ke Pulau Langkawi ini lagi pada masa yang akan datang bersama keluarga tercinta.

No comments:

Post a Comment