Take a tour of this blog to feel the absolute experiences in Malaysia and the world.
Travelling in the company of those we love is home in motion. -Leigh Hunt
The best education you will never get is travelling. Nothing teaches you more then exploring the world & accumulating experiences. -Mark Paterson
Travel is like an endless university. You never stop learning. -Harvey Lloyd
Of all the books in the world, the best stories are found between the pages of a passport. - A. Nonymous
HOME MALAYSIA ABROAD TIPS PRESENTATION MYLINK DIGITAL LIBRARY ABOUT US

Saturday, October 12, 2019

BANDUNG, INDONESIA: PARIS DI JAWA

Nama penulis: Nur Dania Asyiqin Binti Zulkifli (A170946)

Selepas setahun setengah berjuang di tingkatan enam kini telah tiba masanya untuk bercuti bersama keluarga untuk merehatkan minda dan mengeratkan lagi tali silaturrahim bersama keluarga. Ibu saya telah menawarkan tiga pilihan negara untuk dikunjungi bagi percutian kami yang akan datang. Antara negara yang ditawarkan ialah Korea, Australia dan Indonesia. Saya telah membuat penyelidikan terhadap ketiga-tiga negara tersebut dan saya mendapati bahawa Indonesia merupakan
negara yang paling tepat untuk dikunjungi bersama keluarga. Ini kerana, Indonesia merupakan sebuah negara Islam yang mudah untuk kami mencari makanan dan mudah untuk kami berkomunikasi bersama penduduk tempatan di situ. Dalam masa yang sama, dengan keadaan ekonomi yang kurang stabil saya merasakan bahawa Indonesia merupakan sebuah negara yang paling tepat untuk dikunjungi. Setelah membuat perbincangan bersama, kami akan melancong ke Bandung Indonesia selama empat hari tiga malam. Setelah membuat penyelidikan terhadap kota ini terdapat banyak perkara, tempat dan makanan yang hebat dan memikat hati kami. Sebelum saya berkongsikan pengalaman saya melancong ke Indonesia mari kita ketahui serba sedikit mengenai Bandung, Indonesia yang menjadi daya tarikkan kami untuk melancong di sana.
Bandung semestinya sebuah tempat terkenal di Indonesia dan merupakan tumpuan bagi para pelancong apabila ke Jawa. Jika ditanya kepada penduduk-penduduk tempatan, pastinya mereka akan mencadangkan Bandung sebagai destinasi untuk membeli belah, makanan dan lokasi menarik. Bandung boleh digelar sebagai syurga untuk membeli belah di Indonesia. Ramai pelancong apatah lagi peniaga akan ke sini untuk membeli belah. Dengar sahaja Bandung, pasti ramai yang mengenalinya sebagai destinasi membeli belah yang cukup meriah dengan harga yang murah.
Namun begitu, jangan hadkan pengetahuan kita tentang Bandung setakat itu sahaja, sebab banyak lagi tarikan-tarikan lain yang mampu memukau perasaan kami sekeluarga apabila ke sana. Bandung bukan sahaja untuk kita membeli belah malah banyak lagi tempat menarik yang pelancong boleh lewati di Bandung. Seperti yang dikatakan, tarikan Bandung bukan terhenti di lokasi pusat membeli belah nya sahaja yang begitu banyak, malahan kafe-kafe dengan konsep yang menarik, alam semulajadi dengan pemandangan yang mengasyikkan dan lain-lain lagi. Indahnya bukan kepalang, terletak di antara tiga buah gunung, udara di sekitar Bandung cukup menyegarkan.
Selain itu, Bandung juga merupakan satu destinasi hujung minggu yang popular bagi sesiapapun yang ingin mengasingkan diri daripada kesibukan Kota Jakarta. Ramai pelancong mengatakan bahawa pengalaman Indonesia adalah pengalaman yang terbaik apabila bercuti di Bandung. Di Bandung makanannya agak murah dan lazat, barang-barang jualan murah dan dalam kepelbagaian malahan tempat-tempat menarik di Indonesia juga berada berdekatan. Oleh itu, adalah tidak mengejutkan bahawa kawasan ini berkembang untuk aktivti pelancongan untuk melancong dan rasai keseronokkan itu sendiri. Bandung juga menawarkan pelbagai jenis daya tarikan dari alam semula jadinya yang pelbagai, taman temanya dan yang paling diminati adalah membeli belah kerana harga barang di sini agak murah. Bandung juga terbahagi kepada tiga kawasan iaitu bahagian utara iaitu Lembang, bahagian selatan iaitu Ciwadey dan Bandarraya Bandung.
Setelah kami membuat penelitian terhadap kota Bandung, kami telah membuat keputusan untuk melawati Kota Bandung selama tiga hari dua malam. Terdapat banyak persiapan awal yang kami lakukan sebelum berkunjung ke negara jiran. Antara persiapan awal yang kami buat adalah tiket penerbangan, tempat penginapan, pemandu pelancong, lokasi yang ingin dituju, makanan, bagasi dan sebagainya. Seramai empat orang yang mengikuti untuk melancong di Indonesia iaitu ibu saya, saya, mak cik dan pak cik saya. Memandangkan kami pergi seramai empat orang dan hampir semuanya meningkat usia kami telah mengambil pemandu pelancong untuk membawa kami melawat sekitar Kota Bandung. Rakan ibu saya telah mengesyorkan pemandu pelancong ini kepada kami kerana dia seorang yang peramah, baik, ringan tulang dan mesra dengan pelancong-pelancong yang datang ke Indonesia. Pemandu pelancong atau lebih dikenali sebagai supir bagi perkataan Indonesia itu merupakan seorang warga Bandung, Indonesia yang telah menetap lama di Kota Bandung. Ini memudahkan kami untuk melawati Kota Bandung dengan lebih nyaman.



Seterusnya kami telah memilih AirAsia sebagai penerbangan pergi dan balik kami kerana AirAsia menawarkan harga yang murah untuk melancong ke Indonesia. Pemilihan penerbangan tambang murah AirAsia Indonesia dengan promosi yang sangat murah dan berpatutan ketika itu. Selama ini saya hanya mempunyai pengalaman menaiki pesawat di dalam Malaysia sahaja dan ini adalah pengalaman pertama say amenaiki pesawat AirAsia Indonesia. Ruang duduk yang agak sempit, rapat dan tidak selesa namun kami berjaya mendapat tempat duduk di tepi tingkap pesawat. Dengan kedudukan itu, saya dapat melihat keindahan ruang udara yang sangat indah dan menakjubkan pada waktu pagi. Sewaktu di dalam pesawat, pramugara dan pramugari memberi taklimat panduan jika berlaku sebarang kecemasan atau kejadian yang tidak diingini.
Kami telah melakukan pertukaran matawang di Mid Valley setelah membuat beberapa perbandingan di ‘money changer’ sekitar Kuala Lumpur. Tukaran matawang Indonesia pada ketika itu ialah Rp 1 juta bersamaan dengan RM 290.00.



Penerbangan ke Bandung mengambil masa selama dua jam setengah di mana waktu perlepasan iaitu jam 6.45 pagi waktu Malaysia dan sampai ke destinasi jam 8.05 pagi waktu tempatan. Setibanya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Husein Sastranegra terletak di Kota Bandung, ibu kota Jawa Barat di Indonesia, pemandu pelancong (supir) atau lebih dikenali sebagai Mas Muliadi telah menanti kami di lapangan terbang tersebut. Mas Muliadi akan menjadi pemandu pelancong sepanjang kami berada di sana. Suasana dan cuaca ketika di Kota Bandung sangat indah, sejuk dan nyaman walaupun jalan raya agak sesak ketika itu. Kami sangat teruja dengan sikap pemandu-pemandu di sana yang sangat berhemah dan bertolak ansur.


 Mas Muliadi telah membawa kami ke sebuah kafe yang sangat menarik dan cantik di Kota Bandung untuk  menikmati sarapan pertama kami sebelum  meneruskan aktiviti  kami di Kota Bandung. Kami telah dihidangkan dengan pelbagai juadah yang sungguh enak dan memikat selera kami. Kami telah dihidangkan sarapan pagi ala-ala ‘English breakfast’, mee ayam, bakso dan jus alpukat untuk santapan kami. Jus alpukat merupakan sejenis minuman alvocado yang dicampurkan dengan susu segar dan dihiasi dengan coklat di atasnya. Dengan suasana yang nyaman dan sejuk, alpukat adalah minuman yang senantiasa menjadi pilihan kami ketika berada di sana.  Saya mengesyorkan anda untuk mencuba jus ni sekiranya  datang ke Indonesia.


 Setelah itu, mas Muliadi telah membawa kami ke Pasar Baru Trade Centre untuk kami membeli belah di sana. Kami bersyukur kerana mendapat pemandu pelancong (supir) yang baik kerana dia akan senantiasa mengingati kami supaya berhati-hati ketika membeli belah di Pasar Baru Trade Centre dan memastikan bag tangan kami senantiasa berada di depan.  Banyak kejadian kecurian dan pukau yang berlaku kepada para pelancong ketika membeli belah. Mas Muliadi khuatir kami akan terleka sewaktu kami membeli belah.  Pasar Baru Trade Centre ini telah dibina pada tahun 1884 dan terletak di pusat bandar Kota Bandung.  Ia amat terkenal kepada pelancong-pelancong seluruh negara terutama dari Malaysia.  Dengan harga barangan yang ditawarkan cukup murah dan menarik berbanding di Malaysia. Pasar ini mempunyai lapan tingkat kesemuanya yang penuh dengan barangan kesukaan wanita seperti kain ela, tudung, telekung, pakaian, barang-barang cenderahati serta batik tempatan dengan pelbagai pilihan. Harga di Pasar Baru Trade Centre ini boleh dikatakan sangat murah. Sebagai tips tambahan, sediakan wang yang secukupnya dan anda bolehlah cuci mata sambil cuci poket di sini.  Anda juga harus mengingati pintu keluar masuk untuk mengelakkan tersesat ketika berada di dalam bangunan tersebut.


Hampir setengah hari kami berada di Pasar Baru Trade Centre dan kami perlu mendaftar masuk ke tempat penginapan kami di Kota Bandung selama tiga hari dua malam. Kami telah memilih Hotel Chara sebagai tempat penginapan kami dengan harga yang berpatutan termasuk pakej sarapan. Suasana di hotel amat selesa  buat kami sekeluarga. Hotel Chara ini sangat cantik, selesa dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti televisyen, telefon, peti ais.  Ia juga mempunyai ruang yang luas menjadikan kami lebih selesa walaupun empat orang di dalam satu bilik. Walaupun hotel ini hanyalah bertaraf tiga bintang sahaja tetapi layanan yang diberikan oleh pihak hotel sangat baik dan peramah membuatkan kami lebih selesa untuk tinggal di sini. Kami menempah satu bilik yang mempunyai dua katil yang bersaiz besar, cukup untuk kami berempat. Setelah selesai urusan pendaftaran masuk ke hotel, kami berehat seketika dan membersihkan badan sebelum memulakan ekspedisi kami di Kota Bandung.


Setelah berehat selama dua jam kami meneruskan perjalanan ke Rumah Mode.  Sebelum itu kami telah dibawa ke sebuah tempat di mana kami disaji dengan makanan tradisional Indonesia iaitu nasi ayam penyet di warung yang berdekatan dengan hotel kami menginap. Menurut Mas Mulyadi, warung ini biasa sahaja tapi keenakan makanannya bertaraf hotel lima bintang.  Kami telah memesan tiga nasi ayam penyet, mee goreng dan teh botol. Makanannya sungguh enak dan menyelerakan.   Sambal yang pedas merupakan tarikan utama kepada nasi ayam penyet ini tambahan dimakan dengan ulam-ulaman.


Rumah Mode adalah sebuah pusat membeli belah pakaian berjenama dengan identiti tersendiri yang terlihat dari segi reka bentuknya yang memiliki pengaruh tradisional Jawa. Keunikan seni binanya dan fesyen pakaian yang rata-rata mengikut trend terbaru menarik ramai kaki ‘shopping’ terutama hujung minggu. Rumah Mode adalah pusat membeli belah seperti Pasar Baru. Ia adalah ‘factory outlet’ yang terbesar di Bandung dan ianya memang sentiasa dikunjungi ramai orang terutama pada hari minggu. Di sini terdapat pakaian wanita, pakaian lelaki dan pakaian kanak-kanak.


Pada hari pertama di Kota Bandung kami telah menghabiskan banyak wang dengan membeli-belah pakaian dan cenderamata untuk rakan-rakan di Malaysia. Setelah itu, kami di bawa ke gerai penduduk tempatan untuk makan malam. Mas Muliadi mengatakan bahawa gerai ini selalunya di datangi oleh penduduk-penduduk tempatan sahaja dan bukan untuk para pelancong. Namun begitu, makanan yang disajikan kepada kami amat sedap dan menyelerakan. Suasana yang bersih juga telah memikat hati kami untuk menjamu selera di gerai tersebut. Suasana gerai tersebut seperti ‘food court’, ia mempunyai banyak pilihan makanan yang boleh kami pilih untuk makan. Kami telah memesan murtabak Indonesia, alpukat dan air batu campur untuk makan malam kami. Murtabak Indonesia merupakan murtabak manis yang sukar untuk dicari di Malaysia. Intinya yang manis dan mempunyai banyak perisa seperti coklat, susu, strawberry, keju dan banyak lagi. Malah terdapat dua jenis murtabak iaitu murtabak manis nipis atau murtabak manis tebal. Kami telah memesan murtabak manis tebal perisa coklat. Dengan harga yang berpatutan dan rasanya telah membuatkan kami jatuh cinta dengan Indonesia. Waktu berjalan begitu pantas, walaupun jam menunjukkan pukul 6 petang tetapi suasananya telah beransur gelap. Kami pulang ke hotel untuk berehat dan akan menyambung ekspedisi kami keesokkan harinya. Kami telah melalui satu hari yang sungguh memenatkan tambahan pengalaman yang sangat banyak serta manis di Kota Bandung.
Pada hari kedua kami di Bandung, pihak hotel telah menyediakan juadah sarapan dengan pelbagai jenis makan secara buffet, diantaranya, ‘English breakfast’, nasi goreng sunda, bubur ayam, buah-buahan, jus buah oren, roti bakar dan banyak lagi. Saya amat tertarik dengan nasi goreng sunda dan ayam goreng sunda kerana makanan seperti ini sukar di dapati di Malaysia, tambahan rasanya yang sungguh enak.



Kami meneruskan perjalanan ke Dusun Bambu yang terletak di lokasi yang berdekatan dengan tarikan Bandung yang lain. Pada hari kedua kami telah menghabiskan masa dengan melihat alam semulajadi dan keindahan Bandung, Indonesia. Sebelum kami meneruskan perjalanan ke Dusun Bambu, kami telah singgah ke gerai penduduk tempatan yang berada berdekatan dengan Dusun Bambu. Kami telah membeli tauhu bergedil dan beberapa jenis kuih yang agak unik dan tidak pernah kami merasakannya. Tauhu tersebut dimakan bersama kicap pedas yang merupakan kombinasi yang sangat sedap. Saya bukanlah seorang penggemar  tauhu namun apabila saya cuba memakan tauhu bergedil di sini, ia membuatkan saya jatuh cinta dengannya.
Dusun adalah kawasan tanah tinggi yang sentiasa dinyamankan dengan udara bersih dan sejuk. Di Dusun Bambu turut disediakan penginapan villa dan juga kemudahan glamping untuk para pelancong menikmati keindahan flora dengan sepuas hati. Terdapat banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini seperti menaiki perahu menyelusuri sungai, bermain bermacam jenis permainan yang terdapat di booth, berjalan-jalan di sekitar sawah padi dan banyak lagi.



 Dusun Bambu ini merupakan ‘Leisure Park’ yang sesuai untuk seisi keluarga yang terletak di kawasan kaki gunung. Konsep ‘eco tourism’ nya sangat sesuai kepada mereka yang meminati keindahan alam semula jadi. Di sini juga terdapat restoran untuk pengunjung menjamu selera. Tempat lawatan di kawasan selatan Bandung ini terletak di tanah tinggi di mana kebanyakkannya berada di 1,500 atas paras laut. Jika anda bercadang untuk ke sini, saya nasihatkan kepada anda untuk memakai pakaian yang agak tebal, terutamanya sekiranya cuaca hujan, ia menjadikan suasananya bertambah sejuk.
Setelah selesai melawat di Dusun Bambu kami telah pergi ke Kawah Putih Ciwidey, namun sebelum itu kami telah singgah ke kilang pembuatan tauhu susu yang berdekatan dengan Dusun Bambu. Di situ, kita dapat lihat cara mereka melakukan tauhu susu dengan lebih dekat. Tidak ketinggalan juga, kami mengambil kesempatan untuk makan tauhu susu dan air tauhu yang dijual di situ. Ia amat lembut dan segar di makan. Suasana kedai yang sungguh indah, sejuk tambahan suasana kehijauan menjadikan tempat ini bertambah menarik kepada pelancong-pelancong yang datang. Sambil menikmati keenakan tauhu susu, kami juga dihiburkan dengan nyanyian dari busker dengan dendangan lagu-lagu asli Indonesia yang menghiburkan hati kami. 


Kami meneruskan perjalanan ke Kawah Putih Ciwidey. Walaupun perjalanan agak sesak dengan kenderaan-kenderaan penduduk tempatan namun kami tidak putus asa untuk meneruskan perjalanan ke sana. Kawah Putih Ciwidey yang memiliki warna air yang cukup unik kerana kebolehannya bertukar-tukar warna seperti warna hijau epal, coklat susu dan warna kebiruan sekiranya terkena pancaran matahari. Tapi Kawah Putih Ciwidey ini lebih kerap menunjukkan air berwarna putih yang diselaputi kabus tebal di permukaannya. Disebabkan keindahan yang unik ini Kawah Putih Ciwidey sering dijadikan lokasi fotografi pra-perkahwinan. Kawah Putih Ciwidey ini adalah danau berbentuk kawah yang tercipta akibat letusan Gunung Patuha. Ia dipercayai sebagai danau misteri oleh warga setempat kerana dahulu setiap burung yang terbang melintas di sekitarnya pasti akan mati. Akibatnya semua orang enggan untuk mendekatinya. Namun, pada abad ke-19 seorang ahli botani dari Jerman menjelajah kawasan ini dan menemui danau kawah yang amat cantik. Airnya jernih bak kristal, namun akan berubah warna mengikut perubahan cuaca. Bahagian tepinya pula terdapat pasir yang begitu putih. Malah, tumbuhan yang terdapat di kawasan ini juga jarang dijumpai di tempat lain. Ia membuatkan Kawah Putih Ciwidey ini punyai tarikan yang tersendiri dan unik.
Perkara yang membuatkan kami tertarik untuk melawat Kawah Putih Ciwidey kerana keindahan tasik yang seolah-olah di dalam sebuah filem. Kawasan ini sejuk namun harus berjaga-jaga kerana kulit akan terbakar kerana cahaya matahari yang agak terik meskipun kita tidak menyedarinya. Kawah Putih Ciwidey terletak di selatan Bandung di daerah Ciwidey boleh dikatakan antara destinasi yang wajib apabila datang ke Bandung. Jarak dari pusat Bandung lebih kurang 50 km, tetapi mengambil masa perjalanan hampir dua jam dengan separuh perjalanan perlu mendaki bukit. Apabila kita datang ke sini, boleh membuatkan kita berasa sungguh tenang dengan pemandangannya yang cukup cantik. Sambil mensyukuri dan menikmati keindahan yang dijadikan oleh Allah S.W.T.  Setelah selesai melawat ke Kawah Putih kami ingin melawat ke Tangkuban Perahu namun dengan jalan yang sesak dan hari makin lewat kami memutuskan untuk tidak pergi ke sana.


 Pada malam hari, kami telah meminta Mas Muliadi untuk membawa kami makan satay di Kota Bandung. Mas Muliadi telah membawa kami ke sebuah warung yang terkenal iaitu satay Maulana Yusuf. Di warung tersebut terdapat pelbagai pilihan makanan seperti bakso, mee ayam, tauhu semedang dan berbagai jenis satay.  Kami memesan satay ayam, kambing dan satay sapi namun satay sapi telah habis dijual.  Saya sekali lagi jatuh cinta dengan keenakkan satay dan kuah kacang yang disediakan. Sungguh menyelerakan kerana rasa yang jauh berbeza dengan satay yang ada di Malaysia. Rasa kuah kacang yang tidak berapa manis dan kacang yang ditumbuk halus di tambah pula dengan daging dan isi ayam yang sungguh lembut. Suasana pada malam tersebut sungguh indah dan tenang sambil menikamti satay yang kami pesan. Dua hari berlalu dengan begitu pantas, selepas makan malam kami telah pulang ke hotel untuk berehat dengan secukupnya.
Pada hari terakhir kami di Bandung, kami ingin membeli juadah ringan untuk di bawa balik seperti emping, kacang bandung, gula-gula, pisang keju, pisang salai dan sebagainya.  Mas Muliadi telah membawa kami ke Pasar Jatinegara untuk membeli barang-barang tersebut.  Kami sungguh gembira kerana kami mendapat harga yang sungguh murah dan berpatutan. Mas Muliadi juga membawa kami membeli kek Kartika Sari yang merupakan juadah wajib untuk dibawa pulang.  Setelah segala persiapan untuk pulang ke Malaysia telah lengkap, kami mendaftar keluar dari hotel kami pada tengahari tersebut.
            Mas Muliadi menghantar kami ke lapangan terbang  2 jam awal sebelum waktu berlepas kerana bimbang akan kesesakan jalanraya.  Perasaan sedih ketika kami ingin mengucapkan selamat tinggal kepada Mas Muliadi yang telah kami anggap seperti ahli keluarga kami.   Layanan yang diberikan amat memuaskan hati kami sekeluarga.  Kami sekali lagi memastikan passport dan tiket penerbangan balik berada di tangan masing-masing.  Alhamdulillah, bagasi kami tidak terlebih muatan seperti yang diperuntukkan iaitu 40 kg seorang.
Indonesia merupakan sebuah negara yang sungguh kaya dengan keunikannya dan keaslian yang tersendiri.  Saya kagum dengan keindahannya, sejarah dan kelembutan orang-orang di sana.  Sekiranya di beri peluang untuk bercuti ke Indonesia sekali lagi, saya ingin melawati tempat-tempat yang belum saya kunjungi seperti Jogjakarta, Bali, Padang dan sebagainya.  Itulah pepatah orang tua berkata “Jauh perjalanan, luas pemandangan”  sambil menimba ilmu dan pengalaman, kita juga harus mensyukuri dengan nikmat yang Allah berikan kepada kita.



No comments:

Post a Comment