Percutian
yang paling diingati ialah semasa kami sekeluarga ke Pulau Salang, Tioman pada
tahun 2013. Pekerjaan ayah dan ibu memikul tanggungjawab kepada negara
menyebabkan kami jarang bercuti bersama. Namun pada suatu hari, ayah membuat
kejutan dengan merancang percutian kami ke Pulau Salang, Tioman selama dua
hari. Keluarga kami tidak gemar percutian yang terlalu padat dengan aktiviti
sehingga menyebabkan kepenatan. Percutian bagi kami merupakan masa untuk
berehat dalam masa yang sama menikmati pemandangan yang indah. Boleh dikatakan
ia lebih kepada ‘healing vacation’.
Kami bergerak
dari Kuala Lumpur pada waktu lewat malam dan sampai di Pulau Salang Tioman pada
pukul 9 pagi. Pulau Salang merupakan pulau terakhir dari semua pulau yang ada
di Tioman. Pada mulanya kami pelik kerana ayah memilih pulau yang paling
hujung, namun sesampai di sama kami mula faham selepas melihat kecantikan
pemandangan dan kejernihan air laut di kawasan itu.
Kami
turun dari feri dengan membawa semua beg pakaian dan meninjau kawasan
penginapan kami. Semasa ayah sedang menguruskan urusan di kaunter pendaftaran,
sesuatu yang amat pelik telah menarik perhatian kami. Boleh dikatakan ia
sesuatu yang pelik hanya bagi kami kerana tidak pernah melihatnya. Kami lihat
lebih kurang 10 atau lebih ekor biawak yang sangat besar sedang bergerak di
sekitar kawasan penginapan. Adik-adik saya yang hanya melihat biawak itu di
saluran Discovery Channel sebelum ini sangat teruja dan mula membuat bunyi –
bunyi menggunakan mulut untuk menarik perhatian biawak-biawak yang sedang
berehat itu. Walaupun adik-adik saya teruja namun tidak begitu bagi saya. Satu
persoalan yang timbul di dalam kepala saya ialah adakah kemungkinan bahawa
biawak sebesar itu akan menjadikan manusia sebagai makanan tengaharinya?
Selesai
pendaftaran, kami sekeluarga menyimpan beg pakaian dan keluar untuk meninjau
kawasan sekitar pulau yang indah ini. Tidak jauh dari ‘chalet’, ada sebuah
restoran makanan laut yang amat menarik perhatian dengan muzik yang dibuka
kuat, kami membuat keputusan untuk makan tengahari di sana. Sejurus selepas
makan kami pulang ke bilik, dan berehat. Sebelah malam, selepas menikmati makan
malam kami duduk di tepi pantai jauh dari kebisingan tempat tumpuan pelancong
dan mula menikmati bunyi ombak laut pada waktu malam. Pada ketika itu, tidak
digambarkan bunyi air laut yang menenangkan, bau air laut serta pemandangan
langit malam yang dihiasi bintang. Ia merupakan satu terapi yang sangat baik
untuk kami yang ingin lari dari bau asap dan perindustrian di ibu kota.
Pada
keesokan harinya, kami mula bergerak untuk melakukan aktiviti air yang
ditunggu-tunggu iaitu ‘snorkelling’ dan selam skuba. Kami berpecah kepada dua
kumpulan di mana ayah, saya dan angah yang mempunyai lesen skuba mula menaiki
bot untuk ke tengah laut. Manakala, ibu dan adik-adik melakukan aktiviti
‘snorkelling’ di bahagian pantai. Perjalanan di atas bot laju selama lebih
kurang 10 minit untuk ke kawasan skuba mula kelihatan pada pandangan mata.
Sebelum turun kami mula membuat pemeriksaan terakhir segala alatan dan
memastikan ia dapat berfungsi dengan baik. Setiap orang bergilir-gilir masuk ke
dalam laut dan mula bersedia untuk menyelam. Perasaan dibuai air laut tidak
dapat digambarkan dengan kata-kata. Setelah turun secara berperingkat ke dalam
kedalaman 13 meter, saya terlihat banyak gamat di dasar laut. Gamat yang
digunakan untuk membuat minyak gamat kelihatan seperti lintah yang sangat besar
tetapi mempunyai pelbagai warna. Di kedalaman ini, tidak banyak ikan yang dapat
dilihat namun ia lebih kepada pergerakan di dalam laut itu sendiri. Ia membantu
kami memahami dan bersatu dengan dunia bawah laut yang lebih menenangkan
berbanding dunia di atas darat. Boleh dikatakan selam skuba lebih menepati
istilah ‘short escape’.
Pada
pagi hari terakhir kami di Pulau Tioman kami sekali lagi melakukan selaman di
bahagian jeti. Hanya turun pada kedalaman 5-7 meter, apa yang menarik perhatian
saya ialah terdapat banyak ikan di kawasan ini. Ada sekumpulan ikan yang sedang
berpusing di bahagian hujung kaki jeti. Terdapat juga banyak landak laut yang
sangat besar di kawasan tersebut. Semasa kami sedang berpusing di bahagian
bawah jeti, satu kawasan batu karang yang berwarna warni amat menarik perhatian
saya, namun alangkah terkejutnya kami apabila tiba-tiba ada seekor ular laut
yang berenang dengan sangat laju dan keluar dari kawasan batu karang yang
cantik itu. Kami memutuskan untuk naik ke darat setelah puas menyelam di kawasan
laut Pulau Tioman. Selepas makan tengahari, kami sekeluarga mula menaiki feri
untuk bergerak balik ke Kuala Lumpur.
Melalui
sedikit pengalaman yang saya ada dengan menyelam di dasar laut, boleh dikatakan
Malaysia mempunyai antara suasana laut dan batu karang yang cantik. Percutian
kami lebih fokus kepada ‘healing vacation’ melalui ketenangan yang diberikan
oleh alam sekitar. Kehijauan tumbuhan serta kebiruan laut merupakan komponen
yang sangat membantu dalam percutian yang diimpikan oleh warga kota yang
menginginkan ketenangan untuk lari dari tekanan kerja. Percutian ini amat
bermakna bagi kami sekeluarga memandangkan kami jarang bercuti bersama-sama, ia
akan menjadi satu kenangan yang sangat terindah dan diingati selamanya.
Beautiful island, beautiful story. Will definitely goint to pulau tioman one day!
ReplyDelete